Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

233

Pengenalan dan sejarah

                                        

Foto 1: Sakit Gigi

Sumber: T. Y. Lim diambil daripada shutterstock


Sakit gigi merupakan salah satu masalah kesihatan mulut yang paling biasa dihadapi oleh masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Kesakitan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti kerosakan gigi (karies), jangkitan pada gusi, gigi retak, atau masalah saraf gigi. Rasa sakit yang dialami sering kali mengganggu aktiviti harian, malah boleh menjejaskan selera makan dan kualiti tidur seseorang.


Dalam konteks perubatan moden, rawatan sakit gigi lazimnya dilakukan melalui pemeriksaan doktor gigi di klinik atau hospital. Antara bentuk rawatan yang disediakan termasuklah tampalan gigi untuk menutup kerosakan akibat karies, rawatan saluran akar bagi masalah saraf gigi yang terjejas, serta pencabutan gigi sekiranya kerosakan terlalu serius. Selain itu, ubat penahan sakit, antibiotik, atau ubat kumur antiseptik juga digunakan bagi meredakan kesakitan dan mengawal jangkitan. Pendekatan moden ini dilihat lebih efektif untuk memberikan penyelesaian jangka panjang kerana ia bukan sahaja meredakan kesakitan, tetapi juga merawat punca utama penyakit gigi dan gusi.


Namun, sebelum wujudnya kemudahan perubatan moden, masyarakat Melayu tradisional telah lama mengamalkan pelbagai kaedah semula jadi untuk meredakan sakit gigi secara sementara. Petua-petua ini muncul kerana pada zaman dahulu, masyarakat tidak mempunyai akses yang mudah kepada klinik atau doktor gigi, terutamanya di kawasan pedalaman. Oleh itu, mereka bergantung kepada sumber alam sekitar seperti herba, rempah ratus, dan bahan dapur yang dipercayai mempunyai sifat anti-radang, antibakteria, dan analgesik.


Antara rawatan tradisional yang sering diamalkan termasuklah penggunaan cengkih (Syzygium aromaticum), Ia mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai eugenol, iaitu sejenis sebatian yang mempunyai sifat analgesik (penahan sakit) dan antibakteria. Cara penggunaannya boleh dilakukan dengan dua kaedah: pertama, dengan meletakkan sebiji cengkih terus pada gigi yang sakit untuk memberi rasa kebas semula jadi; kedua, menggunakan minyak cengkih yang dititiskan pada kapas dan disapu pada kawasan gigi atau gusi yang bermasalah. Kaedah ini berkesan untuk mengurangkan kesakitan sementara dan mengawal jangkitan kuman.


Selain itu, penggunaan bawang putih juga dikenali sebagai antibiotik semula jadi kerana kandungan allicin yang bersifat antibakteria, antifungal, dan anti-radang. Dalam rawatan sakit gigi, bawang putih biasanya ditumbuk hingga lumat sebelum diletakkan pada gigi yang sakit atau digigit perlahan-lahan untuk melepaskan jusnya. Selain membantu mengurangkan kesakitan, ia juga dipercayai dapat mencegah penyebaran jangkitan pada gusi dan gigi. Walaupun rasanya agak kuat dan pedas, keberkesanannya telah diakui dalam banyak amalan perubatan tradisional.


Sementara itu, sesetengah orang turut menggunakan aloe vera. Walaupun aloe vera lebih dikenali sebagai tanaman penyembuh luka dan penjaga kulit, namun gelnya juga bermanfaat untuk kesihatan mulut. Ia mempunyai sifat anti-radang, antibakteria, serta memberikan rasa sejuk yang menenangkan. Gel aloe vera boleh disapu terus pada gusi atau kawasan gigi yang sakit untuk mengurangkan bengkak dan kesakitan. Selain itu, aloe vera turut membantu mempercepat proses penyembuhan luka kecil di dalam mulut.


Tidak kurang daripada itu, salah satu petua melegakan sakit gigi yang popular adalah menggunakan daun sirih. Ia telah lama digunakan dalam budaya Melayu untuk menjaga kesihatan mulut. Ia mengandungi sebatian antiseptik semula jadi yang mampu menghalang pertumbuhan bakteria. Terdapat dua cara utama penggunaannya: air rebusan daun sirih boleh dijadikan larutan kumur untuk menyegarkan mulut dan melegakan sakit gigi, manakala daun sirih segar pula boleh dikunyah secara langsung bagi mendapatkan khasiatnya. Amalan ini bukan sahaja melegakan sakit gigi, tetapi juga membantu mengekalkan kebersihan mulut dan mencegah bau yang tidak menyenangkan.


Akhir sekali adalah dengan rawatan asas yang paling mudah iaitu menggunakan arutan air garam sebagai salah satu kaedah yang paling mudah dan berkesan untuk meredakan sakit gigi. Garam mempunyai sifat antiseptik yang membantu membunuh bakteria, mengurangkan keradangan, serta mengeluarkan sisa makanan yang terperangkap di celah gigi. Cara penyediaannya sangat mudah: larutkan satu sudu kecil garam dalam segelas air suam, kemudian gunakan untuk berkumur selama 20–30 saat. Amalan ini boleh diulang beberapa kali sehari untuk mendapatkan kelegaan dan mengekalkan kebersihan mulut.


Amalan ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu terdahulu memiliki kreativiti dan kearifan tempatan dalam menguruskan masalah kesihatan berasaskan pengetahuan tradisional. Bahan seperti cengkih, kunyit, halia, bawang putih, dan daun sirih bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi juga dijadikan penawar semula jadi untuk meredakan sakit gigi. Walaupun rawatan ini hanya memberi kelegaan sementara, ia telah menjadi sebahagian daripada warisan perubatan tradisional yang masih diamalkan hingga kini sebagai ikhtiar sebelum mendapatkan rawatan moden.

Fungsi dan Peranan

Rawatan sakit gigi secara tradisional dalam masyarakat Melayu memainkan peranan penting sebagai ikhtiar awal untuk meredakan penderitaan akibat kesakitan, berikut adalah fungsi dan peranan petua-petua tradisional ini;


  1. Mengurangkan Kesakitan

Fungsi paling utama rawatan tradisional sakit gigi ialah untuk meredakan kesakitan yang dirasakan pesakit. Dalam masyarakat Melayu, bahan semula jadi seperti cengkih sering digunakan kerana kandungan eugenol di dalamnya mampu mengebaskan saraf gigi, sekali gus memberikan kelegaan segera terhadap rasa sakit yang berdenyut. 


Biji cengkih yang diletakkan terus pada gigi yang sakit atau minyak cengkih yang disapu menggunakan kapas bertindak sebagai penahan sakit semula jadi. Selain itu, bahan lain seperti bawang putih dan aloe vera turut digunakan kerana sifat anti-radang dan penyejukannya yang membantu mengurangkan keradangan gusi, sekali gus menambah keselesaan kepada pesakit. Walaupun kesannya bersifat sementara, fungsi ini penting kerana memberikan kelegaan awal sebelum mendapatkan rawatan yang lebih menyeluruh.


  1. Merawat dan Mencegah Jangkitan

Selain mengurangkan kesakitan, rawatan tradisional sakit gigi juga berfungsi untuk merawat dan mencegah jangkitan yang sering menjadi punca utama masalah mulut. Bawang putih digunakan kerana kandungan allicin yang bersifat antibakteria semula jadi, berkesan dalam mengawal pertumbuhan kuman yang menyebabkan kerosakan gigi dan bengkak gusi. Dalam sesetengah petua, bawang putih ditumbuk lumat lalu diletakkan pada gigi yang sakit atau digigit perlahan untuk mengeluarkan jusnya, sekali gus bertindak sebagai antibiotik tradisional. 


Selain itu, daun sirih turut menjadi pilihan kerana mengandungi sebatian antiseptik yang dapat membersihkan mulut serta menghalang pembiakan bakteria. Air rebusan sirih dijadikan ubat kumur untuk menyegarkan mulut, manakala sirih segar boleh dikunyah untuk menguatkan gusi dan meredakan sakit gigi. Aloe vera pula memberi manfaat tambahan dengan sifat antibakteria dan penyejukannya yang membantu mempercepatkan proses penyembuhan tisu mulut. Dengan itu, peranan bahan-bahan tradisional ini bukan sahaja mengawal jangkitan, tetapi juga memperkukuh daya tahan mulut terhadap masalah kesihatan yang lebih serius.


  1. Mengurangkan Keradangan dan Bengkak

Keradangan pada gusi atau tisu di sekitar gigi sering menjadi punca utama kesakitan bertambah teruk. Dalam perubatan tradisional Melayu, beberapa bahan semula jadi digunakan untuk mengurangkan bengkak secara semula jadi. Aloe vera misalnya, terkenal dengan sifat anti-radang dan penyejukannya; gelnya disapu terus pada gusi yang bengkak untuk memberikan rasa sejuk dan melegakan keradangan. Bawang putih juga memainkan peranan penting kerana kandungan allicin bukan sahaja membunuh bakteria, tetapi turut mengurangkan keradangan pada gusi yang terjejas. 


Selain itu, larutan air garam digunakan sebagai kumuran untuk mengurangkan bengkak dengan membersihkan kawasan sekitar gigi daripada kuman serta menenangkan tisu yang meradang. Dalam sesetengah amalan tradisi, daun sirih yang direbus turut dijadikan kumuran kerana sifat antiseptiknya yang membantu menenangkan keradangan. Kesemua ramuan ini berfungsi memberikan kelegaan segera, mengurangkan bengkak, serta mempercepatkan proses penyembuhan semula jadi pada bahagian mulut yang terjejas.


  1. Pemeliharaan Kebersihan Mulut

Pemeliharaan kebersihan mulut merupakan aspek penting dalam rawatan tradisional sakit gigi kerana ia membantu mencegah jangkitan berulang serta mengekalkan kesihatan gigi dan gusi. Dalam tradisi Melayu, larutan air garam menjadi salah satu kaedah paling mudah dan berkesan. Berkumur dengan air garam dipercayai bukan sahaja dapat membunuh bakteria, tetapi juga membantu menyingkirkan sisa makanan di celah gigi, mengekalkan keseimbangan pH mulut, serta mengurangkan bau yang tidak menyenangkan. 


Selain itu, daun sirih turut digunakan secara meluas sama ada dengan cara direbus untuk dijadikan air kumuran atau dikunyah secara langsung. Sifat antiseptik semula jadi daun sirih berfungsi membersihkan mulut, menguatkan gusi, serta mengawal pembentukan plak. Kedua-dua kaedah ini menunjukkan bagaimana masyarakat Melayu dahulu telah mengamalkan langkah pencegahan yang mudah, murah, dan berkesan untuk menjaga kebersihan mulut, sekali gus melengkapi fungsi rawatan tradisional sakit gigi.


  1. Alternatif Semula Jadi dan Warisan Budaya

Bagi masyarakat Melayu tradisional, petua merawat sakit gigi bukan sahaja berperanan sebagai ikhtiar kesihatan, tetapi juga sebagai simbol kearifan lokal yang diwarisi turun-temurun. Amalan ini muncul daripada keperluan hidup pada zaman dahulu, ketika klinik gigi moden masih belum wujud atau sukar diakses, terutamanya di kawasan pedalaman. Oleh itu, masyarakat bergantung kepada ramuan berasaskan alam seperti cengkih, bawang putih, daun sirih, aloe vera, dan air garam sebagai alternatif semula jadi untuk mengurangkan kesakitan, mengawal keradangan, dan mencegah jangkitan. 


Walaupun kesannya bersifat sementara, peranan rawatan ini amat signifikan kerana ia menyediakan kelegaan awal kepada pesakit sebelum mendapatkan rawatan moden. Lebih daripada itu, amalan ini melambangkan hubungan erat masyarakat Melayu dengan alam sekitar, di mana setiap tumbuhan dan bahan semula jadi diyakini mempunyai khasiat tersendiri. Justeru, petua tradisional sakit gigi bukan sekadar rawatan fizikal, tetapi juga menjadi sebahagian daripada warisan budaya dan identiti perubatan tradisional Melayu yang masih relevan sehingga hari ini.


  1. Penyelesaian Jangka Panjang

Walaupun rawatan tradisional berasaskan bahan semula jadi seperti cengkih, bawang putih, aloe vera, daun sirih, dan air garam berkesan untuk memberi kelegaan segera, ia hanya berfungsi sementara kerana tidak menangani punca utama sakit gigi. Penyelesaian jangka panjang tetap bergantung kepada rawatan moden yang dilakukan oleh doktor gigi. Sebagai contoh, gigi berlubang perlu ditampal atau dicabut, gusi bernanah perlu dibersihkan, dan rawatan saluran akar dapat menyelamatkan gigi yang terjejas. 


Dalam hal ini, rawatan moden menonjol kerana mampu merawat punca sebenar masalah, bukannya sekadar mengawal simptom. Oleh itu, petua tradisional boleh dianggap sebagai ikhtiar awal yang penting untuk meredakan kesakitan, manakala rawatan moden tetap menjadi keperluan bagi memastikan kesihatan mulut lebih terjamin dalam jangka panjang.

Busana/ Aksesori


Peralatan/ Bahan-Bahan

Semua bahan-bahan ini mudah didapati kerana kebanyakannya merupakan bahan masakan harian yang sering digunakan dalam kehidupan seharian. Malah, ada juga yang ditanam sendiri di halaman rumah sebagai tanaman kegunaan dapur dan ubatan tradisional. Berikut ialah bahan-bahan utama yang digunakan dalam rawatan tradisional untuk melegakan sakit gigi:


  1. Cengkih (Syzygium aromaticum) / Minyak Cengkih

  2. Bawang Putih (Allium sativum)

  3. Aloe Vera (Aloe barbadensis miller)

  4. Daun Sirih (Piper betle)

  5. Larutan Air Garam


                                    Foto 2: Cengkih/Minyak Cengkih

    Sumber: Yana Tatecosian diambil daripada gettyimages.com


    Foto 3: Bawang Putih

    Sumber: Charlote Lake diambil daripada gettyimages.com


    Foto 4: Aloe vera

    Sumber: Apomares diambil daripada gettyimages.com

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Proses penyediaannya bahan-bahan melibatkan langkah asas seperti menumbuk, merebus, mengunyah, atau membuat larutan kumuran, bergantung kepada jenis bahan yang digunakan. Berikut adalah kaedah atau cara penyediaannya;


  1. Cengkih/Minyak Cengkih

  • Ambil sebiji cengkih kering, letakkan terus pada gigi yang sakit dan gigit perlahan sehingga keluar minyaknya.

  • Alternatif lain, gunakan kapas yang disapu dengan minyak cengkih lalu tekapkan pada kawasan gigi yang sakit. Cara membuat minyak cengkih amat mudah iaitu dengan menumbuk kasar cengkih kering supaya minyak pati mudah keluar. Kemudian, panaskan minyak di dalam periuk kecil menggunakan api perlahan. Masukkan cengkih yang telah ditumbuk, biarkan direneh perlahan selama 5–10 minit sehingga minyak berubah warna dan beraroma. Setelah itu, sejukkan, tapis, dan simpan minyak cengkih dalam botol kaca bersih bertutup rapat.

  • Kaedah ini membantu mengebaskan saraf gigi dan mengurangkan rasa sakit berdenyut.


  1. Bawang Putih

  • Ambil seulas bawang putih, tumbuk sehingga lumat untuk mengeluarkan jusnya.

  • Sapukan bawang putih yang telah ditumbuk pada gigi yang sakit, atau gigit perlahan-lahan bawang putih mentah.

  • Amalan ini membunuh bakteria di sekitar gigi serta membantu mengurangkan bengkak pada gusi.


  1. Aloe Vera

  • Potong sehelai daun aloe vera dan ambil gel yang jernih di bahagian dalamnya.

  • Sapukan gel tersebut secara terus pada gusi yang bengkak atau kawasan gigi yang sakit.

  • Gel aloe vera memberikan kesan sejuk, mengurangkan keradangan, dan mempercepatkan penyembuhan tisu mulut.


  1. Daun Sirih

  • Ambil beberapa helai daun sirih, basuh bersih, lalu rebus dengan air sehingga mendidih.

  • Gunakan air rebusan itu untuk berkumur ketika masih suam.

  • Alternatif lain, daun sirih segar boleh dikunyah terus untuk menyegarkan mulut dan mengurangkan sakit gigi.

  • Khasiat antiseptik sirih membantu mengurangkan bakteria dan mencegah jangkitan.


  1. Larutan Air Garam

  • Campurkan setengah sudu teh garam ke dalam segelas air suam dan kacau hingga larut.

  • Gunakan larutan tersebut untuk berkumur selama 30–60 saat, kemudian ludahkan.

  • Amalkan beberapa kali sehari bagi mengurangkan keradangan, membersihkan mulut, serta memberi kelegaan pada gigi yang sakit.


Tokoh dan Pencapaian


Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

Ali, I., Wajid, A., & Khan, S. (2021). Therapeutic uses of Syzygium aromaticum (clove): A review. Journal of Medicinal Plants Studies, 9(2), 44–48.

Ankri, S., & Mirelman, D. (1999). Antimicrobial properties of allicin from garlic. Microbes and Infection, 1(2), 125–129. https://doi.org/10.1016/S1286-4579(99)80003-3

Colgate. (n.d.). How to use garlic to cure toothache. Colgate. Retrieved September 1, 2025, from https://www.colgate.com/ms-my/oral-health/brushing-and-flossing/how-to-use-garlic-to-cure-toothache

eCentral. (n.d.). Bunga cengkih. eCentral. Retrieved September 1, 2025, from https://ecentral.my/bunga-cengkih/

Gupta, R., & Malhotra, S. (2012). Healing properties of Aloe vera: A review. Indian Journal of Dermatology, 57(1), 30–32. https://doi.org/10.4103/0019-5154.92652

Health.com. (2023). The truth about sodium and your health. Health. https://www.health.com/sodium-8637548

Hello Doktor. (2024). Cara hilangkan sakit gigi: 7 tip mudah di rumah. Hello Doktor. https://hellodoktor.com/kesihatan-mulut/keadaan-gigi/cara-hilangkan-sakit-gigi-7-tip/

Hello Sehat. (2024). Manfaat daun sirih untuk gigi. Hello Sehat. https://hellosehat.com/gigi-mulut/manfaat-daun-sirih-untuk-gigi/

Nair, R., Chanda, S., & Bhagat, N. (2005). Evaluation of antibacterial activity of Piper betle leaves. Indian Journal of Pharmaceutical Sciences, 67(1), 25–28.

Stellar Dental. (2023). Cara hilangkan sakit gigi. Stellar Dental. https://www.stellardental.my/ms/cara-hilangkan-sakit-gigi/

WebMD. (2023, September 15). Toothache: Causes, remedies, and treatments. WebMD. https://www.webmd.com/oral-health/guide/toothaches


  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Lokasi

Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
Dapatkan Arah

Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

Pegawai Kebudayaan

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

atau

Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!