British telah menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan pada abad ke-18. Hal ini menjadikan para pedagang mula tertarik untuk berhijrah ke Pulau Pinang, termasuk kaum India Muslim (yang menghasilkan keturunan Mamak atau India Peranakan). Golongan India Muslim sangat pandai berdagang. Mereka handal bukan sahaja dalam kulinari, bahkan tekstil, peniaga barangan runcit, kedai kopi, kedai emas dan pelbagai lagi. Mereka jugalah yang berdagang rempah ratus di alam Melayu sejak kurun ke-15. Bermakna, hidangan kari semestinya dibawa oleh golongan India Muslim, dan pada kurun ke-18, mereka menjadikan masakan kari dengan nasi putih yang dikandar (dibawa di dalam bakul atas bahu) sebagai bahan jualan untuk pekerja buruh kasar. Perkataan Nasi Kandar berasal daripada perlakuan penjaja nasi yang menjinjing (mengandar) kayu panjang di bahu. Pada kedua-dua hujung kayu berkenaan, tergantung dua bekas yang mengandungi nasi dan lauk-pauk.
Menurut sejarah, nasi kandar merupakan menu sarapan sebelum orang keluar bekerja. Hal ini demikian kerana, para buruh terutamanya akan melakukan kerja-kerja berat. Oleh hal yang demikian, mereka mencari nasi sebelum memulakan kerja-kerja fizikal yang memerlukan tenaga seharian. Nasi kandar pada zaman dahulu merupakan makanan ruji buruh kasar. Terdapat cerita yang menyatakan Nasi Kandar merupakan makanan harian yang cepat dan mudah untuk pekerja-pekerja buruh Pelabuhan Weld Quay di Pulau Pinang yang dibina sebagai pelabuhan antarabangsa utama di Pulau Pinang. Nasi untuk dijadikan Nasi Kandar, biasanya mempunyai bau tersendiri, diletakkan dalam bekas kayu berukuran kira-kira tiga kaki tinggi. Campuran kuah kari dituang pada nasi dan dipanggil kuah 'banjir' yang memberikan kepelbagaian rasa pada Nasi Kandar dan menggamit selera ramai.
Nasi kandar merupakan makanan seimbang kerana menyajikan nasi (karbohidrat), kuah kari sama ada kari telur, ayam, ikan atau daging (protein) serta bendi rebus atau cili hidup hijau (serat). Buruh-buruh yang membeli nasi kandar ini akan memakan hidangan ini di bawah pokok sebelum mula bekerja. Hidangan ini kemudiannya terus popular di Pulau Pinang, diwarisi secara turun-temurun. Ada yang berniaga menggunakan basikal atau motor beroda tiga, sehinggalah pihak-pihak berwajib menyediakan kedai untuk peniaga-peniaga ini meneruskan perniagaan mereka sejak zaman-berzaman.
Kini, nasi kandar digemari oleh masyarakat Malaysia di seluruh negara. Nasi kandar juga telah ditambah dengan pelbagai lauk menyelerakan, antaranya telur ikan, telur sotong, daging masak hotam, ayam madu, ayam bawang, limpa kari, peria rangup, udang atau sotong goreng, papadom dan pelbagai lagi. Begitu jugalah nasi kandar yang asal sejarahnya berjumlah 5 sen, kini mencapar RM50 sepinggan!
• Pada asalnya merupakan makanan ruji buruh kasar sekitar kurun ke-18. Kini, nasi kandar merupakan makanan yang digemari oleh hampir keseluruhan rakyat Malaysia.
• Dahulunya, golongan India Muslim memakai kain pelikat serta baju kemeja. Kuah serta nasi dalam periuk diletakkan di dalam bakul dan dibawa di atas bahu.
• Nasi kandar dibawa oleh dua orang peniaga, iaitu seorang di depan dan seorang di belakang, memegang kayu dan bakul yang dibawanya.
• Rempah kari / rempah giling
• Cili giling
• Daun kari
• Kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih, jintan manis (empat sekawan)
• Bawang merah dan bawang putih (dihiris, digiling atau dikisar)
• Tumiskan empat sekawan. Masukkan daun kari, bawang putih dan bawang merah dan sambung tumis sehingga garing.
• Masukkan rempah giling atau rempah kari, kemudian masukkan cili giling. Masak sehingga pecah minyak.
• Masukkan ayam, daging, ikan atau telur, gaul sebati. Biarkan selama lima tiga minit dan kemudian masukkan air.
• Masak sehingga mendidih.
• Resipi kari asal tidak menggunakan santan. Pun begitu, sekiranya mahu memasukkan santan, masukkan setelah bahan protein (lauk) sudah sebati dengan kuah dan tunggu sehingga mendidih.
• Perasakan dengan garam dan sedikit gula untuk rasa yang sebati.
i. Bahan Bacaan
https://askthedrnoraishahhanifa.wordpress.com/2021/02/05/dilema-india-muslim-di-malaysia-sejarah-nasi-kandar-bahagian-35/
https://lobakmerah.com/asal-usul-nasi-kandar-yang-ramai-tak-tahu-sebenarnya-makanan-ruji-buruh-kasar/
https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/751/pengenalan