Kuih akok merujuk kepada sejenis kuih tradisi tradisional
zaman dahulu yang terkenal di Malaysia, terutama sekali di kawasan Pantai
Timur. Terdapat beberapa jenis kuih akok yang biasanya berbentuk bujur,
mengikut acuan buah ulu dan akok bunga atau dikenali juga sebagai akok Kemboja.
Akok mempunyai rasa yang manis dengan aroma adunan telur.
Rahsia menghasilkan kuih akok yang lazat serta
membangkitkan selera adalah menerusi sukatan bahan-bahan yang tepat. Teknik
atau proses yang digunakan untuk membakar kuih akok juga sangat penting bagi
memastikan akok yang disediakan enak untuk dimakan.
Kuih akok merupakan kuih tradisional yang cukup terkenal
di negeri Kelantan. Perbezaan yang boleh dilihat dengan kuih-kuih yang lain di
Kelantan ialah kuih Akok tidak terlalu manis, lembut dan juga rasa yang
berlemak. Salah satu usaha yang dijalankan untuk mengekalkan warisan kuih ini
ialah dengan mengajar cara pembikinannya kepada generasi muda.
1. Telur dipecahkan dan dimasukkan ke dalam bekas.
2. Santan dituang ke dalam bekas lain yang berisi manisan
gula melaka. Santan dan gula melaka digaul sehingga larut.
3. Telur dipukul sehingga larut dan selepas itu adunan
santan dan juga gula melaka dituang ke dalam bekas yang mengandungi adunan
telur tadi dengan menggunakan penapis. Kesemua
adunan ini dikacau sehingga sebati.
4. Tepung gandum dimasukkan ke dalam bekas yang berlainan.
Setelah selesai, adunan santan, gula melaka dan juga telur dimasukkan ke dalam
bekas yang mengandungi tepung gandum. Adunan ini dikacau
sehingga sebati.
5. Adunan tersebut dituang semula ke dalam bekas asal dengan
menggunakan penapis. Adunan dikacau sehingga
sebati.
6. Apabila
adunan semua sudah selesai, adunan akok sudah siap untuk dibakar. Adunan tersebut dituang ke acuan akok yang telah
dipanaskan dan disapu dengan minyak masak. Bakar selama 20 minit.
7. Kuih akok sedia dinikmati setelah siap dibakar.
i. Bahan Bacaan: 101 Resipi Dari Azie Kitchen, 2019
ii. Informen: Zakaria bin Jali