Halwa Maskat
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Halwa Maskat atau Halwa Inggeris merupakan sejenis kuih atau manisan tradisi yang popular di negeri-negeri uatara tanah air. Kuih ini berbentuk segi empat berwarna kuning keemasan, rupanya seperti jeli atau ladu. Halwa maskat turut dikenali dengan panggilan Halwa Inggeris. Pun begitu, kuih tradisi ini dipercayai berasal dari bandar Masqat di Oman, sebuah negara Timur Tengah, yang kemudiannya disuai padankan dengan bahan tempatan. Perkataan halwa itu sendiri yang bermaksud manisan atau makanan yang direndam dengan air gula, merupakan sebutan kepada kuih-kuih manis orang India. Apabila asimilasi budaya berlaku, maka kuih ini dinamakan halwa maskat.


Halwa maskat  bukanlah kuih yang dihidang secara harian. Lazimnya, kuih ini ditemui dalam perayaan. Kuih ini lebih mudah dijumpai dalam perayaan Aidil Fitri kerana golongan Mamak dan Melayu di Pulau Pinang akan menyediakan halwa maskat ketika hari raya. Kuih ini tergolong dalam senarai ‘kuih orang dahulu’ kerana untuk membuatnya, kearifan lokal atau ‘skill’ orang tua-tua amat diperlukan. Hal ini demikian kerana, untuk menyediakan kuih istimewa ini, adunannya iaitu tepung gandum perlu diperam selama tiga hari tiga malam. Halwa maskat diperbuat daripada adunan tepung gandum, minyak sapi dan gula sebagai bahan asas utama pembuatan. Setelah tepung diperam, adunan ini perlu dikacau di atas api yang perlahan selama lima jam tanpa henti untuk mendapat tekstur likat yang membentuk halwa maskat. Disebabkan pembuatannya yang rumit ini juga, halwa maskat tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk. Kuih ini tahan berbulan lamanya pada suhu luar atau suhu bilik. Rasanya yang agak manis dan berlemak hasil daripada gula dan minyak sapi yang digunakan dalam resepi manisan ini menjadikan kuih ini tidak sama seperti kuih-kuih tradisi yang lain. Disebabkan pembuatannya yang rumit jugalah, hidangan ini diklasifikasikan sebagai kuih istimewa dan dihidangkan di hari istimewa. Sayangnya, golongan muda tidak berminat membuat kuih ini kerana kesulitannya, tetapi bukankah kuih ini mencerminkan kehebatan kulinari budaya kita? 

Fungsi dan Peranan

Hidangan istimewa di bulan Ramadan dan musim perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri.

Kini, halwa maskat merupakan salah satu kuih tradisi yang memperlihatkan kearifan lokal masyarakat, kerana pembuatannya yang sulit.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

1/2kg tepung gandum

1/2kg gula pasir

250g gula batu

500ml minyak jagung

500ml air

2 helai daun pandan

1 sudu makan pewarna kuning

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Uli tepung gandum seperti menguli donut. Tepung gandum yang digunakan perlu diuli terlebih dahulu dan ‘dibasuh’ atau ‘dicuci’ untuk membuang getah atau dalam bahasa saintifiknya ‘gluten’. 

Isikan air dalam besen, guna penapis santan dan tapis tepung sambil menggolekkan tepung sehingga keluar air putih.Tapis sehingga adunan tepung menjadi getah dan buang getah tersebut.

Proses membasuh tepung ini bertujuan untuk menghasilkan kanji tepung, selain daripada membuang getah tepung. 

Seterusnya air tepung yang dibasuh tadi akan diperap. Apabila airnya mendap, tukar atau buang air setiap 6 jam selama 3 hari sehingga mendapat air yang benar-benar jernih dan mendapan kanji tepung yang putih bersih. 

Masak gula pasir, gula batu dan daun pandan sehingga hancur. Buang daun pandan.

Buang air jernih di dalam besen dan masukkan tepung yang mendap ke dalam air gula.

Masukkan pewarna kuning dan kacau tanpa henti.

Apabila sudah likat sedikit, masukkan minyak sedikit-sedikit sehingga nampak berkilat.

Kacau sehingga masak, dan tutup api. Simpan di dalam bekas.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

 . Bahan Bacaan

https://ms.wikipedia.org/wiki/Halwa_maskat 

https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/senibudaya/detail/755/pengenalan 

Resipi tiga dekat halwa maskat, Kosmo.com, Iswan Shafiq Isa, 3 November 2020 


Lokasi
Pautan Google Maps :