Adat meminang merupakan proses selepas adat merisik dimana keputusan telah dibuat untuk menjadikan seseorang perempuan sebagai menantu. Oleh yang demikian, ibu bapa kepada lelaki akan menghantar orang tua-tua sebagai wakil mereka untuk berkunjung ke rumah perempuan bagi meminang perempuan daripada ibu bapanya. Kebiasaannya, ibu bapa perempuan tidak memberikan jawapan muktamad kepada pihak yang lelaki.
Ibu bapa perempuan selalunya menangguhkan keputusan dengan tujuan berunding bersama waris terdekat walaupun sebenarnya mereka mungkin sudah bersedia untuk menerima pinangan tersebut. Tempoh penangguhan ini ada kalanya berlangsung selama satu atau dua hari, namun kadang kala mengambil masa hingga seminggu atau lebih.
Setelah itu, pihak perempuan akan mengutus orang tua-tua sebagai wakil untuk menyampaikan penerimaan pinangan kepada keluarga lelaki. Pada masa yang sama, segala syarat berkaitan mas kahwin, belanja, serta tarikh pernikahan akan dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Adat bertunang turut dikenali sebagai adat menghantar tanda yang dibuat selepas adat meminang. Adat ini lazimnya diamalkan setelah pinangan pihak lelaki diterima oleh pihak perempuan. Sebagai simbolik pertunangan, pihak lelaki akan menghantar sebentuk cincin, biasanya cincin intan atau berlian, yang saiz dan nilainya bergantung kepada kesukaan dan kemampuan keluarga lelaki. Selain cincin, ada juga yang menyertakan barang-barang lain yang dikenali sebagai hantaran seperti kain, kek dan kuih muih dalam jumlah ganjil. Adat bertunang ini turut disertai dengan kenduri kecil-kecilan oleh pihak perempuan.
Adat meminang bertujuan untuk melamar serta penetapan mas kahwin dan wang hantaran kahwin. Adat bertunang pula merupakan simbol persetujuan kedua-dua pihak untuk melaksanakan ikatan perkahwinan mengikut masa yang telah ditetapkan.
Cincin dan hantaran
Ibu kepada pihak lelaki akan menyarungkan cincin kepada perempuan sebagai simbol ikatan pertunangan.
Bahan Bacaan
Baharin Ilias, Mohd Usairi Mohamed Zainuddin, Md. Riduan Muhamad, Nik Yusnita Nik Ahmed & Fatimah Muhd Shukri (2016). Beberapa Aspek Adat Resam Melayu Kelantan. Kota bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
Syed Alwi Sheikh Al-Hadi (1980). Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)