ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM MURUT SUKU TAHOL - ADAT KEMATIAN TRADISI TAJAU
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah


Suku Murut Tahol adalah kelompok sukuan yang terbesar dalam pecahan masyarakat etnik Murut. Suku ini berasal dari penempatan di Sungai Tahol yang terletak di Pensiangan sebelum berhijrah ke kawasan lain seperti daerah Tenom, Sapulut dan Nabawan. Mereka sering memperkenalkan diri mereka sebagai Ulun Tahol yang bermaksud orang Tahol. 


Sehingga kini, sebahagian besar suku Murut Tahol telah menganut agama Kristian sebagai pegangan utama mereka. Namun demikian, masih terdapat kelompok kecil dalam kalangan mereka yang tetap berpegang kepada kepercayaan animisme (pagan). Meskipun suku ini telah menganut agama masing-masing, mereka terus memelihara dan mengamalkan adat serta tradisi nenek moyang yang tidak bercanggah dengan ajaran agama. Salah satu tradisi yang masih diamalkan ialah adat kematian yang memiliki sistem adat dan struktur kepercayaan unik serta mencerminkan identiti budaya yang kaya serta kekuatan nilai komuniti mereka. 


Erti kematian dalam suku Murut Tahol adalah merujuk kepada sesuatu musibah yang memilukan kerana, mereka percaya si mati akan meneruskan kehidupan bersendirian. Dari satu sudut yang lain, kematian menurut mereka adalah satu hal yang misteri kerana tidak ada sesiapa yang mengetahuinya dengan jelas tentang perjalanan sebenar si mati di alam yang berlainan. Hal ini kerana, kematian dalam konteks falsafah kehidupan mereka terbahagi kepada dua iaitu kematian yang baik dan kematian yang tidak baik.


Kematian yang baik ialah kematian dalam keadaan tidur dengan mata dan mulut yang tertutup dengan rapat. Kematian yang tidak baik pula ditandai oleh kesakitan yang amat sangat dan diiringi oleh jeritan yang kuat ketika meninggal. Bagi mereka, jeritan yang kuat tersebut berhubungan dengan semangat jahat yang mengganggu manusia sebelum menemui ajalnya.


Oleh yang demikian, mereka percaya bahawa cara kematian seseorang ini adalah berhubungan dengan kehidupannya sebelum ini. Jika seseorang itu dinilai dengan baik semasa hayatnya, maka kematiannya adalah dipermudahkan. Jika sebaliknya, maka kematiannya akan menjadi sukar dan sulit serta mengerikan. Justeru, untuk memastikan roh si mati tenang menuju alam abadi, suku Murut Tahol amat berpegang kepada prinsip amalan tradisi dalam proses pengurusan kematian  seperti dalam sistem amalan adat warisan mereka.


Fungsi dan Peranan

-

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

-

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan


Adat kematian suku Murut Tahol secara dasarnya dipecahkan kepada empat (4) segmen iaitu pengesahan kematian, proses pengebumian, berkabung dan “Paturul” (upacara lepas pantang). Berikut adalah penjelasan terperinci tentang segmen-segmen dalam adat kematian suku Murut Tahol;


1. Pengesahan Kematian

Suku Murut Tahol mempunyai cara khusus bagi mengesahkan kematiaan seseorang. Secara tradisi,  seseorang itu disahkan kematiannya apabila jantungnya berhenti berdegup dan nadinya berhenti berdenyut. Orang yang layak untuk mengesahkan sesuatu kematian dalam suku kaum ini adalah “Amabas” kerana dia merupakan orang yang diiktiraf mempunyai kepakaran dalam hal perubatan oleh masyarakatnya.


Lazimnya Amabas akan memeriksa nadi pesakitnya dahulu, iaitu dengan menekan ibu jari tangannya ke pergelangan tangan atau di bahagian tepi leher. Kemudian barulah dia memeriksa degupan jantung dengan melekapkan telinganya ke dada pesakit. Sekiranya dia tidak merasai denyutan nadi dan mendengar degupan jantung maka, seseorang itu disahkan telah meninggal dunia.


Sebaik sahaja seseorang itu diisytiharkan telah meninggal dunia maka suasana menjadi sedih dan pilu terutamanya apabila ahli keluarga yang lain mula meratapi kematian itu. Dalam hal ini, kaum wanitalah yang benar-benar menunjukkan kesedihan mereka dengan menangis teresak-esak. Bagi kaum lelaki pula, mereka sedaya-upaya cuba mengawal kesedihan dan tidak melepaskan perasaan menerusi tangisan walaupun sebenamya mereka juga turut bersedih. Mereka lebih banyak membantu menguruskan hal yang berkaitan dengan upacara mengebumikan mayat seperti menyediakan tajau dan sebagainya sebagai tanda simpati kepada ahli keluarga si mati. Hal ini kerana mereka percaya bahawa orang lelaki sepatutnya lebih tabah ketika menghadapi saat saat genting sepert ini berbanding dengan orang perempuan.


Pada hari kematian berlaku, “Tawak” iaitu gong akan segera dimainkan untuk menghebahkan tentang sesuatu kematian kepada seluruh penduduk kampung. Pemukulan gong ini juga mempunyai pantang larang yang khusus. Jika kematian adalah disebabkan sakit atau kematian di usia tua, gong dipukul sebanyak enam atau lapan kali secara berselang seli. Manakala, jika kematian secara mengejut seperti kemalangan atau dibunuh, gong akan dipalu secara berterusan dalam ritma yang laju dan kuat.


Sebaik sahaja mendengar berita kematian itu, masyarakat kampung mestilah meninggalkan segala pekerjaan atau urusan lain dan mereka akan datang membantu menguruskan kematian di rumah si mati secara gotong-royong. Mereka datang dengan membawa buah tangan seperti beras, jeruk, daging, lauk dan berbagai-bagai keperluan untuk keluarga si mati bagi meringankan beban yang ditanggung. Larangan melakukan aktiviti harian seperti menoreh dan berladang berlangsung sehinggalah mayat si mati dikebumikan. Mereka percaya sekiranya larangan ini tidak dipatuhi maka roh si mati akan membalas dendam terhadap mereka dengan menimpakan malapetaka atau bencana seperti kebakaran, serangan penyakit dan kematian. Hal ini menunjukkan betapa sesuatu kematian itu perlu ditangani dengan serius oleh manusia yang mash hidup.


2. Proses Pengebumian

Secara tradisi, mayat si mati disimpan dalam Tajau tanpa dimandikan untuk mengelakkan proses pereputan yang cepat dan memastikan semangat si mati tetap terpelihara. Pakaian mayat akan digantikan dengan yang baru lalu dimasukkan pada posisi duduk dengan kaki dilipat dan lutut menyentuh dada, sementara kepala menghadap ke hadapan. Tajau kemudian ditutup dengan gong atau penutup tembikar berbentuk dulang. Keabiasaannya, tajau yang digunakan untuk menyimpan mayat adalah bermulut besar, namun jika hanya terdapat tajau bermulut kecil, bahagian tengahnya akan dipotong dan disambung semula dengan damar selepas mayat dimasukkan. Penutupan tajau menggunakan damar bertujuan memastikan ia tertutup rapat dan menghalang bau mayat daripada tersebar.


Adat ini dianggap penting oleh masyarakat tersebut walaupun melibatkan kos yang tinggi, kerana dipercayai dapat memberikan keselesaan kepada roh si mati serta menjamin perjalanan yang baik kepada roh ke alam baharu. Selain kepercayaan spiritual, penggunaan tajau juga bertujuan mengelakkan gangguan serangga atau perosak yang boleh merosakkan mayat agar memberikan ketenangan kepada roh dalam dunia akhiratnya. 


Setelah mayat dimasukkan ke dalam tajau, tajau tersebut akan ditempatkan di tengah rumah selama tiga hari untuk memberi peluang kepada ahli keluarga memberikan penghormatan terakhir. Sepanjang tempoh ini, ahli keluarga akan bergilir-gilir menjaga tajau kerana dipercayai roh-roh jahat mungkin cuba memasuki atau merasuki jasad si mati. Selain itu, terdapat kepercayaan bahawa semangat roh si mati yang telah terpisah dari jasadnya perlu dihalang daripada bersatu semula, kerana jika roh tersebut kembali bersatu dengan jasadnya, mayat dipercayai akan hidup semula. Sebagai tambahan, untuk mengelakkan perkara-perkara buruk ini berlaku, biasanya keluarga si mati akan membakar serai di bawah rumah agar mencegah roh-roh jahat atau semangat si mati masuk ke dalam tajau tersebut.


Apabila semua keluarga telah memberikan penghormatan terakhir, tajau si mati akan di hantar ke tanah perkuburan. Bagi mayat seorang lelaki haruslah dikuburkan dalam tempoj tujuh (7) hari. Jika mayat seorang wanita, ia perlu dikuburkan dalam tempoh empat (4) hari. Upacara menghantar tajau mayat ini akan dipimpin oleh Amabas dan diringi oleh kaum keluarga dan penduduk kampung. Di sepanjang jalan menuju tanah perkuburan, gong akan dimainkan secara berterusan dan hanya dibenarkan berhenti jika tiba di tanah perkuburan.


Pantang larang ketika menghantar tajau ke tanah perkuburan adalah tidak membenarkan perempuan mengandung dan kanak-kanak menyertai rombongan kerana dikhuatiri akan mendapat gangguan daripada “Riwato” iaitu semangat jahat. Dalam pada itu juga, ahli rombongan tidak dibenarkan menangis atau bersedih secara melampau kerana dipercayai ia akan memberikan siksaan kepada mayat dan gangguan semangat jahat boleh berlaku sehingga membawa kepada kematian.


Setelah tiba di tanah perkuburan, tajau mayat akan ditempatkan bersama-sama dengan tajau ahli keluarganya yang lain. Hal ini kerana lazimnya setiap keluarga Murut Tahol mempunyai rumah perkuburan yang tersendiri. Lantai rumah mayat biasanya dibina lebih tinggi daripada permukaan tanah atau dipagar agar tidak diganggu oleh binatang seperti babi hutan. la dihias dengan bunga serta kain berwarna-warni seperti bendera kecil yang dipasang pada setiap penjuru. Di bahagian luar rumah perkuburan itu pula dihiasi dengan kayu yang telah diraut dikenali sebagai “Ingkun”.


Sewaktu pengebumian, semua harta benda berharga milik si mati seperti wang ringgit, pakaian, beg dan lain-lain lagi akan dikebumikan bersama atau diletakkan di atas kubur tempat menyimpan mayat. Mereka mempercayai bahawa semua barang-barang ini akan dibawa oleh si mati ke alam baharu untuk meneruskan kehidupan abadinya.


Sebelum rombongan perarakan meninggalkan perkuburan, Amabas akan memberikan pesanan kepada roh si mati agar hidup dalam kedamaian di alamnya sendiri dan tidak mengganggu kehidupan mereka yang masih hidup. Semua yang hadir diminta untuk mengambil seketul tanah dan mengepalnya lalu dibuangkan ke dalam tempat perkuburan. Selepas itu, Amabas akan membuat pengumuman yang ditujukan kepada semua rombongan. Pengumuman ini dibuat untuk mengingatkan mereka tentang pantang-larang yang mesti dipatuhi. Mereka tidak dibenarkan memakai pakaian baharu, menyanyi, menjerit dan menerima tetamu kecuali dari kalangan keluarga mereka sendiri. Masyarakat kampung pula dilarang mengadakan sebarang upacara keramaian. Semua ini bertujuan bagi menghormati roh si mati dan keluarganya.  Sebarang pelanggaran terhadap pantang larang ini akan dikenakan Sogit, iaitu denda berupa seekor babi dan lima (5) utas rantai manik. 


3. Berkabung

Selepas upacara pengebumian dilakukan, keluarga si mati akan berkabung. Tempoh waktu berkabung bergantung kepada jantina si mati. Jika lelaki maka, tempoh waktu berkabung ialah tujuh (7) hari sementara bagi perempuan pula ialah selama empat (4) hari. Bagi suku Murut Tahol, berkabung adalah penting sebagai tanda bahawa seseorang itu sedang bersedih atas pemergian orang yang disayangi. Selain itu, berkabung juga bertujuan untuk memberi penghormatan kepada roh si mati.


Sebagai tanda berkabung, kain hitam dililitkan pada lengan semua ahli keluarga. Sekiranya seseorang itu meninggal dunia semasa melahirkan anak maka semua pemuda dan pemudi di kampung tersebut dikehendaki mandi di sungai selama empat (4) hari berturut-turut pada waktu pagi. Ketika mandi, mereka dikehendaki mengambil daun keladi dan meletakkan di atas kepala sambil menghadap ke hilir. Kemudian, mereka dikehendaki menyelam ke dalam sungai agar daun keladi tadi hanyut. Hal ini bertujuan untuk menjauhkan mereka daripada ditimpa nasib malang yang sama dengan si mati.


Pada masa berkabung ini juga, keluarga si mati akan mengadakan upacara memberi makan kepada semangat si mati. Makanan tersebut akan diletakkan di simpang pertama menuju ke rumah si mati. Satu cara lagi ialah dengan menabur makanan di luar rumah atau di bawah rumah sambil menyeru nama si mati. Upacara ini hanya akan dijalankan sepanjang tempoh berkabung kerana mereka percaya selepas tempoh tersebut, roh si mati akan menjadi tenang dan tidak akan kembali ke rumah lagi.


4. Paturul (Upacara Lepas Pantang)

Setelah tamat tempoh berkabung, masyarakat Murut Tahol mengadakan satu upacara khas sebagai penghormatan dan memperingati si mati. Dalam upacara ini, saudara-mara si mati hadir dengan membawa buah tangan seperti tajau, bungkas, manik, wang, atau kain sebagai simbol pemberian kepada keluarga si mati. Anak perempuan atau menantu lelaki diwajibkan menghadiahkan sebuah tajau sebagai tanda penghormatan khusus. Tetamu yang hadir dihidangkan dengan makanan tradisional, termasuk tapai, dan dihiburkan dengan nyanyian serta tarian Lansaran, bertujuan untuk meredakan kesedihan yang dialami oleh keluarga si mati.


Upacara ini biasanya dilaksanakan pada hari keempat atau ketujuh, hari ke-40, hari ke-100, dan setahun selepas kematian bergantung kepada tujuan ritual. Upacara pada hari keempat selepas kematian bertujuan menandakan tamatnya tempoh berkabung bagi keluarga yang kehilangan anggota perempuan, manakala upacara pada hari ketujuh bertujuan menandakan tamat tempoh berkabung bagi keluarga yang kehilangan anggota lelaki.


Selain itu, upacara memperingati kematian pada hari ke-40 selepas kematian dilakukan sebagai penghormatan khusus kepada si mati tanpa mengira jantina, dan ia tidak berkaitan dengan tempoh berkabung. Selepas setahun, satu upacara khas dikenali sebagai “Paturul” diadakan untuk menandakan tamatnya tempoh berkabung bagi seorang balu yang kehilangan suami. Upacara ini dilaksanakan di rumah si mati selama dua (2) hari dan dihadiri oleh semua individu yang terlibat dalam proses penghantaran jenazah ke tanah perkuburan. Ritual ini mesti dilaksanakan dalam suasana yang aman dan harmoni, tanpa sebarang perselisihan atau pergaduhan. Sekiranya berlaku pertelingkahan, pihak yang bersalah akan dikenakan sogit berupa seekor babi dan 10 ikat manik sebagai denda.


Pada hari pertama, tuan rumah akan menyediakan sebuah tajau tapai nasi yang dikhususkan untuk ritual ini. Tajau tapai tersebut dihidangkan bersama sebatang buluh berisi ikan jeruk dan sebatang buluh berisi daging jeruk yang telah siap dibelah. Di atas tajau itu, diletakkan dua batang buluh kecil yang berfungsi sebagai penyedut air tapai. Buluh penyedut pertama lebih panjang dan mencecah dasar tajau adalah dikhaskan untuk individu yang telah menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Buluh penyedut kedua yang lebih pendek dan tidak mencecah dasar tajau dikhaskan untuk roh si mati. 


Pada hari kedua, balu yang kehilangan suami dikehendaki menyediakan sebuah lagi tajau tapai, seekor ayam yang telah dimasak, dan seekor ayam hidup yang diikatkan pada tajau tersebut. Dalam upacara ini, balu bersama ahli keluarganya akan minum tapai yang telah disediakan sebagai sebahagian daripada ritual. Seterusnya, balu akan menanggalkan pakaian putih yang dipakai sepanjang tempoh berkabung. Pakaian tersebut tidak boleh digunakan oleh individu lain kecuali mereka yang juga telah kehilangan suami. Balu kemudian akan mengenakan pakaian baharu, yang lazimnya dihadiahkan oleh adik-beradiknya, sebagai tanda berakhirnya tempoh berkabung.


Dalam tahap akhir upacara Paturul, seorang individu tua akan memotong kuku ayam yang diikat pada tajau untuk mendapatkan darahnya. Darah tersebut disapukan pada tapak kaki dan kerongkong balu, melambangkan pelepasan dari kesedihan dan permulaan kehidupan baharu. Selepas upacara ini, balu bebas untuk bergerak ke mana sahaja dengan persetujuan keluarganya. Sekiranya keluarganya tidak memberikan izin, balu tersebut boleh menebus kebebasannya dengan membayar “Tilok”, iaitu seekor babi untuk tujuan penebusan.


Tokoh dan Pencapaian

Suhaimi Magi. Kampung Ulu Tomani, 89907 Tenom, Sabah


Mestrah binti Lauk. Kampung Sapulut, Pensiangan 89950 Nabawan, Sabah. 


Sumber Rujukan


Buntung, M., & Ramli, M. A. (2019). Analisis Gender dalam Amalan Sogit Masyarakat Murut Tahol di daerah Nabawan, Sabah: Gender Analysis in Sogit Practice among Murut Tahol Community in the District of Nabawan, Sabah. Online Journal of Research in Islamic Studies, 6(3), 37-48.


Buntung, M., Ramli, M. A., & Marinsah, S. A. (2020). Kontradiksi Antara Adat d an Syariat Dalam Amalan Perkahwinan Masyarakat Murut Tahol di Daerah Nabawan, Sabah: Contradiction of Custom and Islamic Law in the Practice of Marriage in Murut Tahol Community, Nabawan District Sabah. MANU Jurnal Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa, 31(2), 47. https://doi.org/10.51200/manu.v31i2.2640 


Fung, J. (2004). A Comparative Study of the Semai and the Muruts Shamanic Cultures. Ministry of Cultural Heritage, 85.


Humin Jusilin. (2019). Warisan busana Murut. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kitingan, J., P. (2012). Murut. Dalam Kntayya Mariappan. (Ed). Siri etnik Sabah ITBM-UMS: MURUT dan pelbagai etnik lain di sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia


Lokasi