ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT MAH MERI KELAHIRAN: SELEPAS BAYI DILAHIRKAN
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Suku Mah Meri, salah satu kumpulan Orang Asli di Malaysia, memiliki adat resam yang kaya dan unik dalam setiap aspek kehidupan mereka, termasuk upacara kelahiran dan pemberian nama kepada bayi. Proses pemberian nama dalam budaya Mah Meri melibatkan adat istiadat penting yang bertujuan untuk menjaga kesejahteraan bayi serta melindunginya daripada gangguan roh jahat.

Masyarakat Mah Meri adalah salah satu daripada kumpulan Orang Asli yang tinggal di Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan pesisir pantai Selangor, seperti Pulau Carey. Mereka tergolong dalam suku kaum Senoi, dan dikenali dengan warisan budaya yang kaya, termasuk seni ukiran topeng kayu yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Sebagai sebuah masyarakat yang amat menghormati alam sekitar, kepercayaan tradisional Mah Meri sangat berkait rapat dengan alam semula jadi serta roh nenek moyang. Mereka percaya bahawa setiap aspek kehidupan, termasuk kelahiran dan pemberian nama, mempunyai hubungan dengan dunia spiritual dan memerlukan restu serta perlindungan daripada roh-roh nenek moyang.

Dalam konteks tatkala setelah kelahiran cahaya mata dari pasangan suami isteri, maka pemberian nama adalah upacara penting kerana masyarakat Mah Meri percaya bahawa wujud kuasa spiritual yang melindungi bayi daripada sebarang ancaman, termasuk gangguan roh jahat. Proses ini dilakukan dengan penuh adat dan tradisi, mencerminkan kepercayaan mendalam mereka terhadap keseimbangan antara manusia, alam, dan roh.

Fungsi dan Peranan

Berikut adalah peranan adat resam dan budaya masyarakat Mah Meri dalam kelahiran selepas bayi dilahirkan:


  • Upacara Menyambut Kelahiran: Keluarga bayi mengadakan ritual khas untuk menyambut kehadiran bayi dan mendoakan keselamatan serta kesejahteraan bayi dan ibu.

  • Pembersihan Rohani: Proses pembersihan rohani dijalankan melalui ritual tertentu untuk memastikan bayi dilindungi daripada gangguan roh jahat.

  • Nama Bayi: Penamaan bayi dilakukan mengikut kepercayaan masyarakat, biasanya berdasarkan petanda atau ciri-ciri unik yang berlaku semasa kelahiran.

  • Pantang Larang: Ibu dan bayi terikat dengan beberapa pantang larang tertentu, seperti tidak boleh keluar rumah untuk tempoh tertentu, bagi mengelakkan gangguan daripada makhluk halus.

  • Peranan Bidan Tradisional: Bidan memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan ibu dan bayi selepas kelahiran, termasuk memberi nasihat mengenai pemakanan dan penjagaan tradisional.

  • Upacara Sembah Roh: Masyarakat Mah Meri akan melakukan sembah roh atau persembahan kepada semangat nenek moyang untuk memohon perlindungan dan kesejahteraan bagi bayi yang baru lahir.

  • Simbol Perlindungan: Penggunaan azimat atau objek tertentu seperti patung kayu juga diamalkan sebagai perlindungan bagi bayi daripada ancaman negatif.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Setelah bayi lahir tali pusatnya dipotong menggunakan serpih buluh yang tajam dan bayi dimandikan dengan air suam. Uri bayi dicuci, digaul dengan serbuk kunyit, garam, lada putih, lengkuas dan kemenyan, kemudian ditanam berdekatan rumah dalam lubang sedalam satu kaki. Selama tujuh hari lampu dipasang di tempat uri ditanam. Masyarakat Mah Meri menganggap uri sebagai abang atau kakak kepada bayi dan justeru hendaklah ditanam dengan sempurna

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan:

  1. Azyantee Mohd Zawawi. (2013) Amalan Tabu Suku Mah Meri Tanjung Sepat, Banting Selangor. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu Jilid 6 Bil. 2 2013.


  1. Mohd Adzlam Mat Sidek. (2024). MAH MERI – Tradisi Memperingati Moyang Laut. Malaysian Gazette. https://malaysiagazette.com/2024/02/16/mah-meri-tradisi-memperingati-moyang-laut/


Tokoh (jika ada temu bual tokoh) - Tiada - 


Lokasi
Pautan Google Maps :