ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN - ADAT SOGIT
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Sogit merujuk kepada sistem penyelesaian konflik secara damai yang telah diwarisi sejak turun-temurun. Secara umumnya, Sogit bermaksud 'penebusan' atau 'denda' yang perlu dilakukan oleh pihak yang telah melakukan kesalahan kerana ia merujuk kepada simbol tanda pengakuan kesilapan dan permohonan maaf. Adat ini bukan sahaja membantu menyelesaikan konflik tetapi juga mengukuhkan ikatan sosial dan keharmonian dalam komuniti kerana Sogit telah diamalkan sejak dahulu lagi bagi mengekang pelanggaran adat dan mendisiplinkan masyarakat.

Foto 1: Pelaksanaan adat Sogit

Sumber: Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, 2023


Pampasan atau denda yang dikenakan biasanya dalam bentuk haiwan ternakan seperti khinzir, kerbau, lembu, kambing atau ayam. Sebagai contoh, upacara Sogit akan dilaksanakan kepada lelaki yang bersalah kerana mengganggu gadis yang masih suci ataupun wanita yang telah berkahwin. Justeru, pesalah akan dikenakan denda mengikut ketetapan dalam pelaksanaan adat Sogit dalam kalangan masyarakat Dusun.


Fungsi dan Peranan

Dalam masyarakat Kadazan-Dusun, Sogit dianggap sebagai kaedah penyelesaian tradisional untuk mengadili dan menghukum pesalah serta memberikan pengajaran kepada pihak yang melakukan kesalahan kerana melanggar norma-norma masyarakat etnik Dusun di penempatan atau kampung mereka.Antara kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan Sogit adalah:


1. Mencuri hasil tanaman atau ternakan

2. Merosakkan tanaman

3. Membunuh haiwan ternakan

4. Dibuktikan bersalah merogol

5. Mengganggu dan melarikan anak gadis


Daripada itu, agar tidak mengakibatkan kesalahan yang lebih fatal, amalan Sogit dilakukan sebagai tanda membuka peluang kali kedua kepada pesalah. Tindakan ini secara tidak langsung bertujuan untuk mengangkat nilai saling menghormati, toleransi, dan perdamaian dalam masyarakat. Adat ini juga menekankan kepentingan untuk menyelesaikan konflik secara kolektif dan terbuka dengan mengutamakan keharmonian serta kesatuan komuniti.


Foto 2: Proses Rundingan Sogit
Sumber: Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, 2023


Namun begitu, amalan upacara Sogit terus diamalkan dalam masyarakat Kadazandusun di Sabah untuk kesalahan-kesalahan tertentu. Hukuman dijatuhkan mengikut hukum dan adat bagi anak negeri Sabah. Selain itu mereka perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti polis dan diselesaikan oleh pihak mahkamah mengikut kesesuaian kes.

Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Foto 3: Peralatan ketika Adat Sogit dijalankan

Sumber: Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, 2023


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Jika seseorang perempuan diganggu oleh lelaki dan mengandung sebelum berkahwin maka lelaki yang bertanggungjawab perlu membawa keluarganya dan Ketua Kampung untuk membincangkan persetujuan sekiranya lelaki tersebut mahu berkahwin dengan perempuan berkenaan. Jika lelaki tersebut enggan berkahwin maka ia perlu membayar pampasan mengikut kehendak keluarga pihak perempuan berkenaan. Jika perempuan berkenaan mahu lelaki tersebut berkahwin dengannya maka pihak lelaki perlu menuruti kehendak pihak perempuan. Sogit yang perlu dibayar mestilah melebihi RM1,000 serta barangan tradisional. Kelengkapan perkahwinan juga perlu disediakan walaupun kedua pihak tidak akan berkahwin.


Hukuman Sogit

a) Hukum Perceraian Perkahwinan

Sekiranya si suami menceraikan isterinya maka ia perlu menanggung dan menyediakan segala keperluan bekas isteri termasuk anak-anak mereka.


b) Hukum Nenek Dan Datuk

Apabila cucu dimalukan maka nenek dan datuk perlu diberi pampasan. Keluarga pihak perempuan diutamakan berbanding pihak lelaki.


c) Hukum Lampau

Hukum ini bersifat tegas kerana hukuman mati dikenakan sekiranya terdapat hubungan luar nikah dengan tidak mengira siapa yang bersalah. Pasangan tersebut dimasukkan ke dalam raga, kemudiannya dihumban ke dalam sungai. Kini hukuman ini telah dihapuskan.

Foto 4: Ritual Adat Sogit
Sumber: Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara, 2023

Tokoh dan Pencapaian

Puan Singkaban Binti Kowil (Odun Badin). Rumah No.133, Jalan Lopuson, Kampung Damat, Peti Surat 386, 89257 Tamparuli. 

Sumber Rujukan

Animbok, N. A. (2023). Adat Sogit: Sebuah Amalan Kaum Kadazandusun: Sogit Custom: A Practice of The Kadazandusun People. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 91-104.


Hasmin, M. F. B., Marinsah, S. A., & Sintang, S. (2022). Perubahan Ritual Sogit Dalam Pembukaan Kawasan Tanah Baharu Di Ranau, Sabah: Satu Tinjauan Awal: Changes Of Sogit Tradition In Vacant Land Opening At Ranau, Sabah: A Preliminary Review. Jurnal Kinabalu, 28(1), 266-274.


Marinsah, S. A., Asis, A. H. B., & Hasmin, M. F. B. (2022). Amalan Sogit Dalam Kalangan Masyarakat Dusun Di Ranau, Sabah: Analisis Dari Perspektif Sosiobudaya Dan Hukum Islam: Sogit Practice Among Dusun Community In Ranau, Sabah: An Analysis From The Socio-Cultural And Islamic Perspective. Manu Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), 33(2), 105-128.


Musa, P. I. P., Ismail, S. Z., & Rahman, N. A. (2018). [Sogit Practices on Muslim Sabahans in Native Courts: A Study From A Legal Perspective] Amalan Sogit Ke Atas Anak Negeri Sabah Beragama.


Lokasi