Tarian Alai Bubu atau dikenali juga sebagai ‘Main Lukah’ dan ‘Bubu Mengalai’ adalah salah satu daripada tarian tradisional masyarakat etnik Bisaya. Etnik ini kebanyakannya mendiami daerah Beaufort meliputi kawasan tebing Sungai Padas dan Sungai Klias. Selain daripada mengamalkan aktiviti pertanian, etnik ini juga terkenal dengan aktiviti maritim khususnya menangkap hasil-hasil ikan di laut mahupun di kawasan air tawar seperti sungai dan tasik. Oleh yang demikian, salah satu kemahiran mereka adalah dengan menciptakan perangkap ikan seperti bubu atau dalam bahasa tempatan disebut ‘Lukah’ yang biasanya direndam atau ditenggelamkan di dalam air sungai atau laut.
erpandukan kepercayaan mistik masyarakat etnik Bisaya, asal usul tarian ini terbahagi kepada dua versi. Pertama adalag melalui mitos yang berkisar tentang bubu yang dikatakan mampu "menari." Mitos ini menceritakan tentang sepasang suami isteri yang tinggal di tepi pantai pada zaman dahulu. Apabila si suami meninggal dunia, isterinya yang setia tinggal seorang diri. Pada waktu itu, masyarakat Bisaya yang menganut kepercayaan Pagan, telah menetapkan satu syarat unik bagi pasangan suami isteri. Menurut kepercayaan tersebut, apabila salah seorang pasangan meninggal dunia, pasangannya yang masih hidup mesti mengikuti pasangan yang telah meninggal. Proses ini dilakukan dengan memasukkan mayat pasangan yang telah meninggal ke dalam bubu, diikuti dengan pasangan yang masih hidup, sebelum kedua-duanya dicampakkan ke dalam laut. Amalan ini melambangkan kesetiaan abadi antara pasangan suami isteri dalam kehidupan dan kematian.
Setelah itu, bomoh/pawang akan memuja atau memanggil semangat bubu naik semula ke pesisir pantai untuk berjumpa dengan sanak saudara atau orang-orang kampung bagi mengubati atau penyembuhan mereka-mereka yang sakit. Bomoh akan membaca mantera penyeru roh seperti yang berikut;
Iya Bamban Iya Lukah,
Utak Bamban Iba Sari,
Main Dengan Sipar Muda,
Silukah Pandai Menari.
Versi kedua pula, menjelaskan bahawa ia bermula daripada tarian Lesung yang berasal daripada tradisi menumbuk padi oleh masyarakat etnik Bisaya di Lumagar, Beaufort, Sabah. Tarian ini biasanya dipersembahkan pada waktu malam sebagai hiburan setelah seharian bekerja di bendang. Dalam pelaksanaannya, Babalian (pawang) akan membacakan mantera untuk memuja semangat lesung padi, yang dipercayai mampu melonjak ke atas apabila mentera dibacakan.
Upacara ini melibatkan dua individu yang bertindak sebagai pembantu kepada Bobalian, di mana mereka menari sambil memastikan pergerakan lesung yang melonjak ke atas dapat dikawal. Gerakan melonjak-lonjak yang menjadi ciri utama tarian ini dipercayai didorong oleh kekuatan luar biasa pada lesung tersebut. Tambahan pula, masyarakat pada masa lalu menganggap pergerakan dinamik lesung ini sebagai manifestasi kuasa mistik, menjadikan Tarian Lesung sebagai ekspresi budaya yang bukan sahaja bersifat hiburan, tetapi juga melibatkan unsur kepercayaan spiritual yang mendalam.
Menurut kisah yang diceritakan, semasa Tarian Lesung dipersembahkan oleh kumpulan penari tempatan, sebuah tragedi ngeri telah berlaku apabila seorang penari maut akibat dihempap oleh lesung yang melonjak semasa tarian tersebut. Peristiwa ini memberi kesan mendalam kepada penduduk setempat, sehingga mereka memutuskan untuk menghentikan penggunaan lesung dalam tarian itu. Sebagai pengganti, mereka memperkenalkan elemen Salihid, iaitu bubu yang biasa digunakan untuk menangkap ikan, sebagai simbol baru dalam persembahan budaya mereka.
Namun begitu, amalan yang menggunakan ilmu hitam dan unsur spiritual dalam tradisi ini kini tidak lagi diamalkan, sejajar dengan larangan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam di Negeri Sabah. Sejak tahun 1980-an, ketika tradisi ini mulai dipopularkan semula, unsur jampi serapah telah ditinggalkan sepenuhnya. Pada waktu itu, hanya segelintir golongan tua yang masih mempraktikkan aspek lama tradisi ini.
Hari ini, masyarakat Bisaya di Beaufort telah memeluk Islam secara sukarela, dan kepercayaan lama yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak lagi diamalkan. Mantera yang dahulunya menjadi sebahagian daripada tradisi ini kini hanya dilagukan semula dalam bentuk seni persembahan, bebas daripada sebarang unsur jampi serapah. Pendekatan ini memastikan tradisi budaya tersebut terus dihargai sebagai warisan seni yang bernilai, sambil tetap menghormati nilai-nilai agama yang dianut oleh masyarakatnya.
Dalam tradisi kepercayaan pagan masyarakat Bisaya, tarian ini memainkan peranan penting dalam kehidupan spiritual mereka. Ia digunakan sebagai upacara untuk menyeru semangat roh yang dikenali sebagai Bubu. Roh ini dipercayai memiliki kuasa untuk membantu Babalian, iaitu individu yang berfungsi sebagai perantara spiritual, dalam proses penyembuhan penyakit yang dikaitkan dengan gangguan mistik. Selain fungsi penyembuhan, tarian ini juga digunakan untuk tujuan ritual yang lebih luas, seperti memohon perlindungan daripada roh agar dapat menjaga keselamatan masyarakat Bisaya daripada ancaman malapetaka atau bencana.
Seiring dengan perubahan zaman, peranan tarian ini telah mengalami evolusi yang signifikan. Dari sebuah ritual keagamaan yang sarat dengan makna spiritual, kini ia berkembang menjadi salah satu persembahan seni dan budaya yang ikonik bagi masyarakat Bisaya. Tarian ini bukan sahaja menjadi simbol identiti budaya, malah turut dipersembahkan dalam pelbagai acara sosial seperti majlis perkahwinan, perayaan tradisional, dan festival kebudayaan. Dengan latar belakang sejarah dan nilai estetika yang mendalam, tarian ini terus menjadi warisan budaya yang penting untuk dipertahankan dan diwarisi oleh generasi muda.
Keunikan dan kepentingan tarian ini mencerminkan kedudukan istimewanya sebagai jambatan antara dunia spiritual dan dunia sosial, sekaligus menggambarkan kekayaan tradisi masyarakat Bisaya dalam mengekalkan hubungan harmoni antara manusia, alam, dan entiti spiritual yang mereka hormati.
Dalam konteks amalan ritual, pakaian yang dikenakan oleh pengamal ritual tidak memperlihatkan ciri-ciri atau elemen yang khusus. Sebaliknya, mereka hanya memakai pakaian harian yang biasa. Hal ini mencerminkan pendekatan yang lebih sederhana dalam pelaksanaan ritual, di mana tumpuan diberikan kepada proses spiritual dan bukan kepada aspek penampilan luaran.
Namun begitu, terdapat satu elemen simbolik yang signifikan dalam ritual ini, iaitu pemakaian baju wanita pada Bubu, entiti spiritual yang dipuja dalam ritual tersebut. Pemakaian baju wanita pada Bubu dipercayai melambangkan penghormatan dan pengabdian kepada roh tersebut. Selain itu, ia juga mungkin menggambarkan hubungan simbolik antara manusia dan entiti spiritual dalam usaha untuk mencapai keharmonian atau keseimbangan spiritual.
Tarian ini diiringi mantera (kini disebut pantun tari) dan alat muzik tradisional yang menggunakan gambus dan ensembel gong. Ensembel ini merangkumi pelbagai instrumen tradisional termasuk Tagongo (Kulintangan), Tatawak (gong kecil), dan Canang. Keseluruhan ensembel ini secara kolektif dikenali sebagai kumpulan atau pemain Bagandang. Rentak bunyi dan lagu pantun yang dimainkan adalah dipercayai mampu menyeru semangat mahluk halus untuk masuk ke dalam Bubu Mengalai yang ditarikan. Lirik pantun tersebut adalah seperti yang berikut;
Ya bamban ya Lukah,
Tetak bamban Ibasari,
Main kita ipar Muda,
Si Lukah pandai menari.
(diulang-ulang sehingga tarian tamat)
Lirik lagu pantun ini dinyanyikan secara beramai-ramai mengalami beberapa perubahan seperti;
Ya Allah hantu mayung, hantu rimba,
Bergerak dalam Bubu, bergoncang dalam labu,
Jangan sopan jangan malu,
Melihat orang banyak.
(diulang-ulang sehingga tarian tamat)
Kemudian, ia sekali lagi mengalami perubahan pada rangkap kedua iaitu;
Jangan segan jangan malu,
Si Lukah pandai menari,
(diulang-ulang sehingga tarian tamat)
Tarian ini turut disertai oleh unsur sorakan dan tepukan tangan audien yang selari dengan rentak tarian. Kadangkala, nyanyian dan tepukan tangan audien dapat mempengaruhi gerak tari penari. Sebaliknya, gerakan tari penari juga mampu memberi kesan kepada nyanyian dan tepukan audien. Interaksi dinamik antara elemen-elemen ini mencipta variasi yang unik dalam setiap persembahan tarian.
Gerak tari Alai Bubu dalam konteks ritual tidak menunjukkan variasi ragam yang berstruktur, sebaliknya pergerakannya adalah bersifat spontan. Interaksi antara penari dan audiens semasa persembahan, memainkan peranan penting dalam mempengaruhi variasi tarian tersebut. Dalam kepercayaan masyarakat Bisaya, kejayaan persembahan Alai Bubu bergantung kepada kerjasama semua pihak yang terlibat sepanjang upacara persembahan.
Pergerakan tarian ini diselaraskan dengan perubahan rentak perlahan dan laju, yang masing-masing membawa makna simbolik. Rentak laju melambangkan kehadiran entiti semangat halus yang menguasai tubuh Bubu, manakala rentak perlahan mencerminkan ruang komunikasi antara alam nyata dan alam ghaib, yang dikelolai oleh Babalian ketika bacaan mantera.
Dalam ritual ini, kemenyan dibakar sebagai elemen penting untuk menjampi tubuh Bubu. Para pengamal percaya bahawa asap kemenyan berfungsi untuk menyeru kehadiran makhluk halus agar memasuki tubuh Bubu dan kehadiran entiti halus ini dipercayai memberikan tenaga supranatural kepada Bubu untuk menari serta menampilkan persembahan dengan daya luar biasa.
-
Misdih, M. (2013). Budaya Tari Bubu Mengalai–Media Konvensional dan Pembentukan Tari Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah. International Journal of Creative Future and Heritage (TENIAT), 1(1), 167-175.
Misdih, M. (2017). Gerak Tari Dalam Perubatan Tradisi Barasik Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 7. https://doi.org/10.51200/ga.v7i.1055
Misdih, M. (2019). Interpretasi Bahasa Mantera Upacara Barasik Masyarakat Bisaya di Beaufort, Sabah: Interpretation of Bisaya Mantera in The Barasik Ceremony at Beaufort, Sabah. Jurnal Gendang Alam (GA), 9. https://doi.org/10.51200/ga.v9i.2140
Siti Aidah Lukin. (2012).Bisaya. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong (Eds). Siri Etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil di Sabah. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Kuala Lumpur.