ADAT MERISIK ATAU ADAT MENINJAU
Adat Resam

Pengenalan dan sejarah

Merisik atau "meninjau" merupakan langkah pertama dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu. Keadaan ini dahulunya berlaku apabila ibu bapa pihak lelaki mengalami kesukaran mencari calon menantu yang sesuai untuk anak mereka, kerana pada waktu itu anak-anak gadis jarang dibenarkan untuk keluar rumah tanpa alasan penting (Arkib 2007/0052679). Oleh itu, ibu bapa pihak lelaki akan meminta bantuan orang tua yang dihormati di kampung, sama ada lelaki atau perempuan, untuk mendapatkan maklumat tentang gadis-gadis di kampung tersebut atau kampung berdekatan yang sesuai untuk dijadikan menantu. Biasanya, ibu bapa pihak lelaki juga akan bertanya kepada saudara-mara mereka untuk mendapatkan maklumat tentang gadis-gadis yang mereka anggap sesuai untuk dipasangkan dengan anak lelaki mereka. 

Fungsi dan Peranan

Tujuan utama adat merisik ini adalah untuk memastikan gadis yang diminati masih belum bertunang, kerana dalam Islam, adalah dilarang untuk meminang tunangan orang lain. Selain itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang gadis tersebut secara mendalam, termasuk keturunan, tingkah laku, adab sopan, dan budi pekerti, selepas mereka tertarik dengan rupa paras gadis tersebut.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Adat merisik ini merupakan kunjungan dari pihak lelaki ke rumah calon menantu. Apabila wakil pihak lelaki tiba di rumah calon menantu, pada kebiasaannya perbualan dimulakan tentang kehidupan, pekerjaan, atau isu semasa sambil menikmati jamuan yang dihidangkan oleh calon tersebut. Pada saat gadis menghidangkan makanan, wakil pihak lelaki akan berpeluang melihat wajahnya. Selepas itu, perbualan akan diarahkan kepada maksud sebenar kedatangan mereka.


Setelah wakil yang berpengalaman membuat pemerhatian dan menilai sama ada calon perempuan itu sesuai dengan pihak lelaki, mereka akan menyampaikan pandangan kepada ibu bapa pihak lelaki. Sekiranya ibu bapa bersetuju dengan keperibadian gadis itu, maka anak lelaki mereka diminta untuk melihat sendiri calon isterinya. 


Setelah berkenan dengan rupa paras gadis tersebut, lelaki itu akan memaklumkan kepada ibu bapanya persetujuan untuk menerima gadis tersebut sebagai jodohnya.

Sumber Rujukan

  1. Bahan Bacaan

Baharin Ilias, Mohd Usairi Mohamed Zainuddin, Md. Riduan Muhamad, Nik Yusnita Nik Ahmed & Fatimah Muhd Shukri (2016). Beberapa Aspek Adat Resam Melayu Kelantan. Kota bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan


  1. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Lokasi
Pautan Google Maps :