Mi udang ialah salah satu hidangan ikonik yang terkenal di negeri Perak, khususnya di kawasan Kuala Sepetang, Matang, dan Taiping. Hidangan ini menonjolkan keistimewaan masakan tempatan melalui gabungan mi kuning yang dihidangkan bersama udang segar dan kuah yang kaya dengan rasa uniknya tersendiri.
Keistimewaan mi udang Perak terletak pada penggunaan udang laut segar yang biasanya diperoleh daripada kawasan pesisir berhampiran. Udang-udang ini dimasak bersama kuah berasaskan stok udang, yang diperkaya dengan ramuan rempah ratus untuk mengahasilkan kuah mi yang memikat.
Hari ini Mi udang Perak sering menjadi tarikan utama kepada pengunjung tempatan mahupun pelancong luar dan boleh dinikmati di gerai-gerai makanan sekitar daerah-daerah tersebut. Selain itu, ia juga dianggap sebagai lambang warisan kulinari yang mencerminkan identiti masyarakat Perak, khususnya dalam budaya makanan laut yang kaya dengan rasa dan tradisi.
-
-
Bahan-bahan utama
500g udang laut
500g atau 1 bungkus mee kuning basah/kering
1 sudu besar tepung ubi
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar pes tomyam
1 ½ sudu makan garam
1 sudu serbuk perasa
1 sudu makan gula
Bahan untuk kisar halus dan Tumis
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu udang kering
3 sudu besar cili kisar
50g Kacang Tanah
½ senduk minyak masak
Bahan untuk hiasan
Bawang goreng
3 biji telur rebus dan belah dua
2 ketul tauhu yang digoreng
Daun bawang dihiris nipis
Daun sup dipotong halus
Cili merah dihiris nipis
Sayur sawi dipotong dan dicelur
Limau nipis
Penyediaan bahan utama:
Rendam mi kuning basah dengan air bersih untuk menghilangkan lebihan minyak. Jika menggunakan mi kuning kering, rebus sehingga lembut dan kembang. Toskan dan ketepikan.
Bersihkan udang laut dan bahagikan kepada dua bahagian:
Satu bahagian dikupas kulitnya.
Satu bahagian lagi dibiarkan dengan kulit.
Rebus kedua-dua bahagian udang secara berasingan sehingga masak. Ketepikan udang berkulit untuk digunakan sebagai hiasan.
Ambil udang tanpa kulit bersama kepala udang dan kisar hingga halus. Toskan untuk mendapatkan pati udang, dan simpan air rebusan udang sebagai asas kuah.
Setelah itu, tumis bahan kisar halus (seperti bawang merah, bawang putih, halia, Kacang tanah dan udang kering yang dikisar halus) sehingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan kacau sepenuhnya sehingga kelihatan pecah minyak. Kemudian, masukkan air rebusan udang sedikit demi sedikit sambil dikacau rata.
Tambahkan sos cili, sos tomato, dan pes tomyam. Gaul hingga sebati.
Biarkan kuah mendidih dan masukkan larutan tepung ubi (tepung ubi dicampur dengan sedikit air). Kacau hingga kuah menjadi lebih pekat dan mendidih.
Masukkan udang berkulit ke dalam kuah dan perasakan dengan garam, serbuk perasa, serta gula secukupnya. Masak sehingga udang menyerap rasa kuah.
Sajian dan Cara Persembahan:
Susun mi kuning yang telah disediakan di dalam mangkuk atau pinggan.
Tuangkan kuah bersama udang di atas mi.
Hiaskan dengan bahan seperti hirisan daun bawang, daun sup, cili merah, bawang goreng dan sayur sawi mengikut citarasa.
Nota Tambahan:
Untuk rasa yang lebih enak, tambahkan perahan limau nipis atau hirisan cili padi sebelum dihidang.
Pastikan kuah cukup pekat dan rasa seimbang sebelum disajikan.
-
Bahan Bacaan
Mee Udang Banjir Mak Jah Kuala Sepetang (Style Aza Aaj). (2021, September 26). Cookpad. Diambil daripada
https://cookpad.com/my/recipes/15448432-mee-udang-banjir-mak-jah-kuala-sepetang-style-aza-aaj
Muhammad Fadil. (31 Disember 2016). Makanan Popular di Negeri Perak. Diambil Daripada
https://www.orangperak.com/makanan-popular-di-negeri-perak.html
Rozdan Mazalan. (14 Julai 2019). Mi Udang Mak Jah ikon Kuala Sepetang. Berita Harian Online. Diambil daripada
https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/selera/2019/07/584675/mi-udang-mak-jah-ikon-kuala-sepetang
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
En. Dorani bin Mustappa. Warung Mee Udang Ketam Angah Aran, 135 B, Parit Haji Aman Atas, 34300 Bagan Serai, Perak.