GULAI ASAM RONG SIPUT SEDUT
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Selain pokok kelapa, pokok getah atau nama saintifiknya hevea brasiliensis juga mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan harian. Pokok getah terkenal dengan hasil susu getah yang menjadi sumber ekonomi penduduk. Selain daripada susunya, batang getah juga turut digunakan dalam industri perabot dan sering dijadikan sebagai kayu api. Daunnya pula digunakan untuk membalut tapai selain menjadi kraf tangan yang unik. Namun masih ada yang tidak tahu bahawa biji getah juga boleh menjadi menu masakan tradisi yang begitu istimewa.


Asal-usul Asam Rong

 

Asam Rong merupakan masakan tradisional yang menggunakan biji getah sebagai salah satu ramuannya. Perkataan asam itu sendiri menunjukkan kaedah penyimpanan makanan yang diperam dalam tempoh waktu tertentu. Manakala rong pula merujuk bahagian isi dalam buah yang juga dipanggil isi rong.

 

Pada asalnya asam rong ini diperbuat dari buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Namun menyedari kesukaran mencari dan mendapatkan buah perah ini, alternatif lain adalah menggantikannya dengan biji dari pokok getah. Pada masa kini, pilihan utama hanyalah menggunakan biji getah yang lebih mudah diperolehi.

 

Asam rong tidak mempunyai rasa masam seperti lazimnya asam yang lain. Asam rong mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak. Mungkin kerana ia diperam, maka ia dipanggil ’asam’ lantaran cara penyediaan dan penyimpanannya sama dengan asam yang lain.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahan:

 

·                  1 kg siput sedut

·                  3 sudu makan asam rong/ secukupnya

·                  20 biji cili padi/ lada dikisar ikut kepedasan

·                  3sm kunyit hidup/ serbuk kunyit

·                  Garam kasar secukup rasa

·                  Perasa secukup rasa

·                  Air secukupnya

·                  2 helai daun kesing

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara memproses asam rong

 

Bahan utama yang diperlukan untuk membuat asam rong ini ialah biji getah atau buah perah. Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah yang gugur dari pokok-pokok getah yang telah matang. Biji getah ini dikumpulkan lalu dipecahkan kulitnya untuk mendapatkan isi yang berwana putih kerana biji getah ini mempunyai kulit yang keras dan licin. Biji getah ialah biji yang dihasilkan dari pokok getah yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada baka pokok getah itu. Ada yang berwarna cokelat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan juga putih. Saiz biji getah ini juga adalah mengikut kepada baka pokok tersebut. Ada yang kecil dan ada yang besar, kebiasaannya dalam lingkungan 20 milimeter hingga 35 milimeter. Kulit di bahagian permukaannya keras, licin dan nipis dan mempunyai tetulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya berwarna putih, lembut serta kenyal. Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi jika sudah cukup matang dan biji getah yang gugur ini boleh mengeluarkan tunas dan menjadi baka anak pokok getah yang baru. Biji getah ini dikutip di bawah pokok getah dan dipecahkan, lalu isinya dikumpul dan dijemur di tengah panas.

  Proses penjemuran ini memakan masa tiga hingga tujuh hari bergantung kepada keadaan cuaca. Setelah kering, isi biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur. Isi biji getah yang telah ditumbuk tadi diperam di dalam bekas yang tertutup rapat dan sedia untuk dimasak.

  Selepas isi rong sempurna diperam, ia sedia digunakan sebagai pati tumisan dalam masakan. Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. Kebiasaanya isi rong ini boleh bertahan sehingga berbulan-bulan lamanya walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk.


Asam rong atau asam rum merupakan makanan tradisional yang menyelerakan. Asam rong sangat sesuai dimasak bersama ikan sungai, khususnya ikan kenerak, toman, patin atau siput sedut sungai. Untuk menjadikan masakan gulai asam rong lebih sedap, boleh juga dicampur sayur seperti pucuk paku, pucuk labu, terung pipit, keladi, dan ubi keledek.

Gulai Asam Rong Siput Sedut begitu popular di beberapa perkampungan kecil dalam daerah Jerantut seperti kampung Ulu Tembeling, kampung Kuala Tembeling, kampung Kuala Tahan dan sekitarnya. Pada masa kini, masakan gulai asam rong mula dikenali di beberapa daerah lain dalam negeri Pahang seperti di Kuala Lipis, Maran, Raub, Kuantan dan lain-lain lagi.


Cara Memasak:

 

1.         Masukkan air ke dalam periuk.

 

2.         Masukkan siput sedut yang telah dibersihkan ke dalam periuk.

 

3.         Masukkan asam rong dan cili padi/ lada yang telah ditumbuk. Kacau.

 

4.         Masukkan sedikit garam kasar. Kacau.

 

5.         Masukkan sedikit kunyit hidup yang dikisar/ serbuk kunyit. Kacau dan biarkan sekejap.

 

6.         Masukkan perasa. Kacau sehingga mendidih.

 

7.         Masukkan daun kesing. Tunggu sehingga mendidih sehingga kuahnya menjadi pekat sedikit.

 

8.         Setelah masak tutupkan api. Sedia dihidangkan.

 

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

Professor Dr. Haji Mohd. Salehuddin Mohd Zahar. (2022). Bab Dalam Buku Siri 1 : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu. Kuala Lumpur : Jabatan Warisan Malaysia.

 

Tengku Puan Pahang. (2005). Air Tangan Tengku Puan Pahang Masakan tradisional Pahang. Pahang : Lembaga Muzium Negeri Pahang

 

Roselan Ab. Malek. (2019). Sajian Eksotik Jerantut : Metro Ahad

 

Roselan Ab. Malek. (2019). Biji getah jadi rebutan penduduk kampung: BH Online : muat turun pada 9 Oktober 2019 daripada

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/615819/biji-getah-jadi-rebutan-penduduk-kampung

 

 Madihaa. (2012). Gulai Asam Rom (aserong) sajian popular negeri

 Pahang : blogspot : muat turun pada 29 Mac 2012 daripada

http://mamawandiha.blogspot.com/2012/03/gulai-asam-rom-babatperut-sajian.html

Lokasi