Laksa Sarang merupakan salah satu variasi unik hidangan laksa yang terkenal di Bandar Botani. Ipoh, Perak. Hidangan ini mendapat namanya daripada telur goreng yang dibentuk seperti sarang burung dan dijadikan pelengkap kepada laksa tradisional. Kombinasi laksa dengan telur sarang ini memberikan kelainan yang menarik, menjadikannya salah satu hidangan yang semakin mendapat perhatian di kalangan peminat masakan tempatan.
Sejarah laksa sarang dikatakan bermula dari kreativiti peniaga tempatan yang ingin memberikan variasi kepada laksa tradisional. Konsep telur sarang ini kemudiannya menjadi daya tarikan, menjadikan laksa sarang terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi juga pengunjung luar yang mencari pengalaman kulinari yang unik. Laksa sarang kini sering dihidangkan di gerai-gerai makanan, pasar malam, dan menjadi hidangan istimewa di beberapa restoran tradisional. Rentetan itu, hidangan ini kini menjadi salah satu ikon makanan yang mempromosikan identiti negeri Perak.
-
-
Bahan-Bahan Utama
1 pek laksa segera/laksa kering
7 ekor ikan sardin/ikan kembung
1 biji bawang besar
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
½ inci belacan
5 sudu cili kisar
3 sudu besar garam (suaikan dengan kuantiti kuah)
1 sudu kecil serbuk perasa
1 sudu kecil gula
2 liter air
1 kuntum bunga kantan
1 genggam daun kesum
5 keping asam gelugor
Bahan Telur Sarang
3 biji telur ayam
1 sudu makan tepung beras
2 ½ sudu air
Secubit garam
Minyak masak secukupnya untuk menggoreng
Bahan Hiasan
4 helai daun salad (hiris halus)
½ timun jepun (hiris halus)
1 biji cili padi (hiris nipis)
1 biji limau nipis (hiris nipis)
Sedikit daun pudina (pilihan)
Penyediaan laksa dan kuah
Rebus laksa segera atau laksa kering sehingga lembut dan kembang. Toskan dan ketepikan.
Kemudian, rebus ikan sardin atau ikan kembung bersama asam gelugur dan air secukupnya selama lebih kurang 10 minit atau sehingga ikan masak. Setelah siap dimasak, biarkan selama 30 minit supaya rebusan ikan sejuk.
Setelah ikan mulai sejuk, asingkan isi ikan daripada tulangnya. Simpan air rebusan ikan untuk digunakan kemudian.
Seterusnya kisar isi ikan dengan sedikit air rebusan sehingga halus. Secara berasingan, kisar tulang ikan juga hingga halus, kemudian tapis untuk mendapatkan ekstrak tulang yang lembut.
Untuk bahan-bahan ramuan kuah, kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, dan belacan hingga halus dan asingkan.
Didihkan semula air rebusan ikan lalu masukkan bahan-bahan yang telah kisar seperti isi ikan, ekstrak tulang ikan dan bahan-bahan ramuan ke dalam air rebusan, kemudian kacau rata.
Tambahkan asam gelugur, cili kisar, daun kesum, dan bunga kantan. Biarkan kuah mendidih dan kacau sesekali.
Masukkan garam, gula, dan serbuk perasa secukupnya. Biarkan kuah mendidih selama beberapa minit sehingga semua bahan sebati.
Penyediaan Telur Sarang
Campurkan telur dengan sedikit air dan garam. Masukkan tepung beras sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga adunan sebati dan kental.
Panaskan minyak dalam kuali. Tuangkan adunan telur menggunakan mangkuk kecil atau senduk, dan pastikan jarak menuang dari pinggan ke kuali agak tinggi untuk menghasilkan bentuk dan tekstur telur sarang yang cantik.
Goreng telur sehingga garing. Toskan dan ketepikan.
Menghidangkan Laksa Sarang
Sediakan mangkuk dan masukkan laksa yang telah direbus. Tambahkan hiasan daun salad, hirisan timun Jepun, cili padi, limau nipis, dan daun pudina (pilihan).
Kemudian, tuangkan kuah laksa yang telah siap dimasak.
Akhir sekali, letakkan telur sarang di atas hidangan laksa dan ia sedia untuk dihidangkan
Nota Tambahan:
Jika suka, boleh tambahkan sambal, petis atau hirisan bawang goreng sebagai hiasan tambahan untuk menambah rasa.
Gunakan minyak secukupnya semasa menggoreng telur untuk memastikan telur sarang garing dan tidak melekat.
-
Bahan Bacaan
Nugroho, A. H. (2023). Acculturation of Peranakan Culture in The Diversity of Laksa Menu in Southeast Asia. International Review of Humanities Studies, 7(2), 18.
Porusia, M., Sapavi, N. A. M., & Shaifuddin, S. N. M. (2023). Knowledge and Attitudes of Food Safety and Its Associated Factors Among Street Food Consumers in Kuala Kangsar, Perak, Malaysia. Journal of Health and Translational Medicine (JUMMEC), 333-341.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
Puan Khatijah binti Yaakup, Kampung Setia, 33000 Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.