MASAKAN TRADISIONAL ‘AMBUYAT’
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Ambuyat merupakan sejenis makanan tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Brunei dan Bisaya. Begitu pun, makanan unik ini turut digemari dan diwarisi oleh masyarakat Kadazandusun, Murut, Bajau dan Dusun Tatana di Sabah.

Ambuyat merupakan makanan berkanji yang berwarna putih jernih dan teksturnya melekit-lekit seperti gam. Ia dihasilkan menggunakan tepung sagu rumbia yang diperolehi melalui pemprosesan batang pohon rumbia yang dikenali sebagai ‘ampulung’.

Pada zaman dahulu, ambuyat merupakan menu harian dan wajib dihidangkan ketika hari-hari istimewa seperti majlis perkahwinan, sambutan keramaian dan acara perayaan utama kaum-kaum berkenaan..

Peralatan/ Bahan-Bahan

·         1 kg (6 cawan) tepung sagu rumbia

·         Air panas yang baru dimasak

·         1 liter (4 cawan) air 

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Proses dan langkah memasak Ambuyat:

1. Campur tepung sagu rumbia dengan 4 cawan air. Mendapkan seketika selama 10 minit.

2. Selepas 10 minit, buang air dan masukkan sagu ke dalam bekas yang tahan suhu air panas.

3. Bancuh sagu dengan air panas yang baru mendidih.

4. Kacau sehingga sebati dan masak sehingga sagu kelihatan jernih dan kelihatan melekit seperti gam. Ini menandakan sagu itu telah masak dengan sempurna.

5. Kaedah alternatif  untuk memasak dengan cepat bolehlah mencampurkan tepung sagu dengan air, masak di atas kuali menggunakan api yang sederhana dan dikacau sehingga menjadi likat dan jernih.


Cara menikmati Ambuyat:

Ambuyat dimakan dengan menggunakan penyepit buluh yang dikenali sebagai candas, dengan menggolekkan penyepit dan kemudian mencecahkannya ke dalam hidangan yang disediakan seperti sambal belacan, jeruk bambangan, kuah ikan rebus, atau  dimakan bersama sayur kangkung dan ikan ampap. Ambuyat lebih sesuai dimakan ketika masih panas kerana teksturnya yang mudah menyerap rasa bahan pencecah ketika panas.

Resepi Sambal Belacan Untuk Ambuyat:

·         1 Ketul belacan bakar

·         Cili padi / Cili biasa (ikut pedas yang dikehendaki)

·         Sedikit perasa gula dan jus limau secukupnya

·         Anda boleh masukkan sedikit bawang merah dengan isi udang (direbus/dibakar)

 

Cara Membuatnya

1.    Masukkan semua bahan dalam lesung batu atau boleh juga menggunakan alat pengisar.

2.    Tumbuk / kisarkan sehingga lumat.

3.    Siap untuk dimakan bersama Ambuyat.

Tokoh dan Pencapaian

i)             PUAN KITSAM BINTI JENSIT

ii)            PUAN JUDETH JOHN BAPTIST

Sumber Rujukan

   i.     PUAN RITA TATI

    ii.    PUAN KITSAM BINTI JENSIT

   iii.    PUAN JUDETH JOHN BAPTIST

   iv.        Yakin, H. S. M., Moi, C. T., Totu, A., Sintang, S., Houi, Y. O. B., & Lukin, S. A. (2020). Impak modenisasi dan pengkomersilan terhadap keaslian makanan tradisi dan identiti budaya etnik Kadazan-Dusun di Sabah. Borneo International Journal eISSN 2636-9826, 2(4), 37-46.

    v.        Darif, I. L. M., & Majid, I. (2017). Ambuyat menu tradisi Borneo.

Lokasi