Gendang silat adalah antara alat muzik tradisional yang ada di negeri Perak. Alat muzik ini amat sinonim dengan kebudayaan masyarakat malayu yang masih dimainkan sehingga ke hari ini. Lazimnya, paluan gendang silat dimainkan untuk mengiringi persembahan seni silat dengan tujuan menaikkan semangat pesilat. Selain memberikan irama yang memukau, bunyi audiotori gendang silat ini turut berfungsi sebagai sumber keyakinan bagi pesilat, sama ada dalam pertarungan mahupun persembahan silat. Irama yang dihasilkan tidak hanya mengasyikkan, tetapi juga mencipta suasana dinamik yang selaras dengan pergerakan dan tenaga pesilat. Gendang ini turut dimainkan bersama-sama beduk, gedombak, geduk, jidur, kompang dan beberapa peralatan lain bagi menghasilkan irama khusus dalam pergendangan melayu.
Selain daripada berperanan sebagai alat muzik yang mengiringi persembahan Silat, pergendangan silat ini juga turut berperanan dalam menyambut ketibaan tetamu-tetamu kerhormat atau acara perarakan pengantin dalam memeriahkan masjis perkahwinan yang biasanya akan dipersembahkan dengan ”Silat Pulut”. Jika ia bertujuan untuk menyambut ketibaan Sultan, maka lagu yang dimainkan adalah ”Layang Mas”.
Dahulu, pemain gendang adalah berkait dengan persilatan dan pemakaian busana juga turut berunsurkan budaya persilatan. Busana yang wajib adalah menutup aurat dan sunat menutup kepala. Oleh itu, lazimnya pemain Gendang Silat di Perak akan memakai Baju Melayu berdagang dalam dan berdagang luar. Bahagian kepala pula ditutupi dengan songkok. Namun begitu, seiring dengan perkembangan zaman busana yang dipakai adalah busana lengkap baju melayu seperti Cekak Musang ataupun Teluk belanga dan bersongkok atau bertanjak.
Cara Membuat Gendang Silat
Gendang silat biasanya dihasilkan secara berpasangan, terdiri daripada gendang ibu dan gendang anak. Kedua-dua gendang ini dimainkan serentak semasa persembahan untuk membentuk struktur irama yang selaras dengan konsep dan disiplin seni silat. Oleh itu, setiap pembuatan gendang secara tradisional melibatkan dua gendang yang melengkapi antara satu sama lain.
Bahan Utama dan Pemilihan Kayu
Gendang silat diperbuat daripada kayu seperti kayu nangka, sertang, atau merbau, yang terkenal dengan kekuatan dan daya tahannya. Kayu nangka sering digunakan untuk menghasilkan gendang silat kerana ia memberikan bunyi yang unik dan berbeza daripada gendang biasa. Selain itu, kayu jelutong atau jelatoh juga digunakan kerana teksturnya yang lembut dan mudah diukir. Pemilihan jenis kayu bergantung kepada ketersediaan bahan mentah, terutamanya di kawasan yang aktif dalam pembuatan gendang di Perak.
Gendang Silat di Perak lazimnya turut dimainkan bersama-sama serunai, beduk, gedombak, geduk, jidur, kompang dan beberapa peralatan alat muzik persilatan yang lain. Ia dimainkan oleh dua (dua) orang penggendang yang masing-masing memainkan gendang ibu dan gendang anak. Paluan gendang terbahagi kepada sepuluh (10) jenis iaitu;
Sergeh
Diambil dari nama rotan pemegang kulit gendang. Dimainkan dengan cara yang lembut dan teratur dengan pukulan satu-persatu dan mempunyai sembilan jenis tingkah atau paluan.
Balun
Membawa maksud memukul dengan kuat dalam loghat Pahang. Dipukul dengan cara pukulan yang keras sebanyak tujuh kali di buntut dan kepala gendang.
Sambar
Mencelah atau menyampuk dengan cepat/ pantas. Pukulannya agak laju dan dua kali paluan sambar.
Gerpak
Serentak atau sekali gus memukul secara serentak pada kedua-dua belah permukaan gendang dengan menggunakan tapak tangan mengikut tempo.
Tala
Laras bunyi nada yang selari. Paluan deras dan tepat pada suatu arah.
Betala
Bersambut-sambut, berselang-selang atau bertingkah-tingkah. Paluannya berturut-turut dan kedengaran agak songsang tetapi tidak hilang tempo.
Kode
Menggerakkan sesuatu dengan pantas. Paluan pantas sambil mematikan tempo.
Dayung
Kayuh perahu/ sampan. Paluan menyerupai perbuatan orang mendayung perahu.
Sendayung
Bunyi yang bersahut-sahutan. Pukulan dan bunyi kedengaran beralun-alun dan bersahut-sahutan.
Galang ganjur
Perbuatan yang menghalang. Paluan yang seperti tersekat sekat.
Bahan Bacaan
Azizan, M. S. A., Hussin, M. K., & Ismail, M. J. (2022). Interlocking Rhythm Between Gendang Ibu and Gendang Anak In Gendang Silat Kedah. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 7(SI9), 469-473.
Ismail, A. R. (2008). Seni silat Melayu.
Jähnichen, G. (2016). 4 Gendang Silat: Observations from Stong (Kelantan) and from Kuala Penyu (Sabah). In The Fighting Art of Pencak Silat and its Music (pp. 167-181). Brill.
Mohamad Johari, N. A., Mat Isa, A., & Yunus, M. N. (2018). Menjejaki seni warisan gendang silat menerusi kaedah sejarah lisan. Jurnal Sejarah Lisan Malaysia (JSLIM), 2(1), 60-70.
Paetzold, U. U., & Mason, P. H. (2016). The fighting art of pencak silat and its music: From Southeast Asian village to global movement (Vol. 5). Brill.
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)