Tarirai adalah salah satu daripada jenis tarian tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat etnik Bajau Laut di daerah Semporna Sabah. Keunikan tarian ini terletak pada penggunaan "Bolak-Bolak", iaitu alat peraga tangan berbentuk kayu pendek yang digenggam dan diketip-ketipkan dalam dua permukaan sepanjang persembahan. Penggunaan Bolak-Bolak menambah dimensi bunyi yang khas kepada persembahan yang memperkayakan elemen visual dan ritma dalam tarian ini,
Perkataan “Tarirai” secara umum dalam bahasa Bajau Laut adalah membawa maksud “menari dengan cepat”. Bagi sub-etnik Sikubung pula, ia membawa maksud “melompat-lompat tidak tentu arah”. Oleh yang demikian, makna Tarirai sering difahami sebagai suatu tingkah laku menari dengan cepat atau pantas sambil melompat-lompat.
Hal ini selari dengan asal usul terciptanya tarian ini, iaitu satu peristiwa yang berlaku ketika suatu masa dahulu apabila sekumpulan nelayan sedang mencari rezeki di tepian pantai. Ketika tiba di suatu lahan berbatu, salah seorang daripada ahli nelayan tersebut melompat terkejut akibat terserempak dengan ular laut yang dikenali sebagai “Taliaga”. Tingkah laku itu menjadi bahan gelak ketawa kepada rakan nelayan yang lain.
Kemudian, di malam hari, rakan-rakan nelayan menceritakan peristiwa tersebut kepada orang-orang kampung kerana tingkah laku tersebut amat melucukan. Mereka menunjukkan semula gaya melompat terkejut itu, dan orang-orang kampung menambahkan elemen humoris dengan iringan muzik Tangungguk. Sejak daripada itu, gerakan tersebut mencetuskan idea gerak kepada tarian Tarirai yang kekal sehingga ke hari ini.
Tarian ini berfungsi sebagai persembahan hiburan dalam majlis keramaian, khususnya semasa upacara “Sangom Maglami-lami,” iaitu pesta malam keramaian yang diadakan bersempena dengan majlis malam berinai. Dalam tradisi Bajau Laut, masyarakat lazimnya bergotong-royong untuk menjayakan upacara tersebut, menjadikan persembahan Tarirai sebagai hiburan utama selain tarian Igal-Igal.
Selain itu, tarian ini juga berperanan sebagai medium hiburan untuk pelbagai acara lain seperti majlis perkahwinan, pertunangan, sambutan perayaan tradisional, Pesta Air (Regatta Lepa), serta persembahan khas bagi menyambut tetamu kehormat. Tarian ini berfungsi untuk menceriakan sesuatu majlis, membawa aura positif, dan memeriahkan suasana acara.
Busana penari wanita dikenali sebagai "Badju Ala Bimbang”. Ciri khas baju ini terletak pada hiasan kain manik berlapis yang dijahit dari bahu hingga ke bawah dada. Busana ini biasanya digayakan bersama skirt panjang atau seluar longgar yang menyerupai skirt, dikenali sebagai "Sawwal Kinantiyu." Penampilan penari turut dilengkapkan dengan tali pinggang tradisional yang disebut "Kambot," yang diperbuat daripada kain keras dangan sulaman manik jenis labuci.
Aksesori kepala penari wanita dihiasi dengan hiasan "Gandik" atau "Mahkuta" diikuti dengan aksesori tambahan berupa bunga yang disematkan pada sanggul. Busana ini tidak dilengkapi dengan "Janggay," iaitu kuku panjang yang khusus dipakai ketika mengenakan busana ini kerana ia memudahkan penari untuk menggengam Bolak-Bolak.
Busana lelaki pula dikenali sebagai “Badju Tangguh” atau disebut juga sebagai “Badju Leyang”. Baju ini berbentuk potongan leher cekak musang dan mempunyai belahan pada bahagian tengah yang menampakkan baju lapis pada bahagian dalam penari lelaki. Ia dipadankan dengan seluar panjang jenis ‘Skinny’ yang dikenali sebagai “Sawwal Tanjak”. Penampilan ini diserikan dengan hiasan kain penutup pinggang yang disebut “Kandit”.
Sebagai aksesori untuk lelaki, busana tradisional ini hanya menggunakan tanjak sebagai hiasan kepala yang terbahagi kepada dua jenis. Jika tanjak tersebut dari material kain keras dan ikatannya pada bahagian belakang, ia disebut “Tanjak”. Jika tanjak tersebut dari material kain dan ikatannya pada bahagian dahi, maka ia dipanggil “Porong”.
Tarirai diiringi oleh ensembel alat muzik tradisional yang dikenali sebagai "Tagungguk." Ensembel ini terdiri daripada gabungan alat muzik seperti Agung (gong), Kulintangan, dan Tambul (gendang). Irama yang dimainkan semasa mengiringi tarian ini dikenali sebagai "Titik Tarirai," yang memiliki tempo lebih pantas berbanding tarian tradisional lain seperti Igal-Igal, Lellang, Limbayan, dan Bolak-Bolak. Dinamika irama Titik Tarirai bergantung kepada keupayaan pemain kulintangan, yang menjadi elemen utama dalam menentukan struktur dan intensiti muzik persembahan tarian ini.
Tarirai boleh dipersembahkan dalam tiga bentuk, iaitu secara individu, berpasangan, atau berkumpulan. Persembahan berpasangan lazimnya menampilkan interaksi antara seorang lelaki dan seorang wanita, yang menyerlahkan dinamika gerak dan hubungan antara kedua-dua penari. Sementara itu, jika ditarikan secara berkumpulan, persembahan ini biasanya melibatkan antara empat (4) hingga lapan (8) pasangan penari, memberikan dimensi visual dan ritma yang lebih kompleks serta kaya dalam struktur koreografinya.
Secara tradisional, tarian Tarirai bersifat fleksibel kerana persembahannya dilakukan secara improvisasi tanpa terikat kepada ragam gerak atau pola lantai yang spesifik. Gerakan penari sepenuhnya bergantung kepada irama Titik Tarirai yang dimainkan oleh ensembel Tagungguk. Fleksibiliti ini memberikan ruang kepada penari untuk menyesuaikan gerakan mereka berdasarkan suasana dan nuansa persembahan. Dalam persembahan berpasangan, keharmonian gerak antara penari lelaki dan wanita sangat ditekankan, di mana kedua-duanya saling melengkapi gerakan masing-masing untuk menggambarkan keseimbangan antara tenaga maskulin dan feminiti. Berbeza dengan persembahan berkumpulan, persembahannya lebih berstruktur mengikut pola lantai dan ragam bunga tari yang dicipta oleh koreografer.
Tarian Tarirai berfokus kepada tiga elemen utama gerak tubuh, iaitu gerakan tangan, bahu, dan kaki, yang saling berkait untuk mencipta estetika dan karakter unik dalam persembahan tarian ini.
1. Gerakan Tangan
Gerakan tangan merupakan elemen terpenting dalam tarian ini kerana ia melibatkan penggunaan Bolak-Bolak sebagai alat peraga. Bolak-Bolak perlu diketipkan secara berterusan mengikut rentak kulintangan, menjadikannya komponen utama yang menyelaraskan irama tarian dengan pergerakan penari.
2. Gerakan Bahu
Bahu juga memainkan peranan penting, di mana gerakannya dikenali sebagai "Kidjutan." Pergerakan bahu ini dilakukan selari dengan ketipan Bolak-Bolak. Sebagai contoh, jika Bolak-Bolak diketipkan pada setiap hujung kiraan keempat atau kelapan, bahu penari akan turut dikidjut mengikut ketipan tersebut, mencipta keserasian visual antara irama dan gerak tubuh.
3. Gerakan Kaki
Elemen kaki dalam Tarirai melibatkan lompatan rendah dan tinggi dengan bukaan langkah yang besar dan kecil. Tidak seperti tarian Igal-Igal, pergerakan kaki dalam Tarirai tidak menggunakan teknik geseran. Sebaliknya, fokus diberikan kepada dinamik lompatan yang mencerminkan tenaga dan semangat dalam persembahan, membezakan Tarirai daripada bentuk tarian tradisional lain.
Gabungan ketiga-tiga elemen ini menghasilkan persembahan dinamik dan ekspresif yang mencerminkan keunikan serta keindahan tarian tarirai sebagai satu bentuk hiburan ceria.
En. Azlan bin Marasal, Kampung Bugaya, Jalan SMK Bugaya, 91308 Semporna, Sabah.
En. Datu Sabri bin Datu Alawiddin, Kampung Pinggiran Bakau, Jalan Kampung Perigi 91308 Semporna, Sabah.
En. Mohd Noh bin Abdul Karim, Kampung Bohey Lima, 91308 Semporna, Sabah.
Pn. Marliza binti Marasal, Kampung Bugaya, Jalan SMK Bugaya, 91308 Semporna, Sabah.
Cik Salasiah binti Abd Rani, Kampung Tampi-Tampi, 91308 Semporna, Sabah
Amsalie, Y., Pisali, A., Zainal, S., Jusilin, H., & Lauk, M. (2017). Persembahan tarian panangsang dalam ritual penyembuhan masyarakat bajau laut. Jurnal Gendang Alam (GA), 7.
Hafzan Zannie, Hamza (2013) Igal:The traditional performing arts of the bajau laut in Semporna, Sabah / Hafzan Zannie Hamza. Master thesis, University of Malaya.
Santamaria, M. C. M. (2016). Necessary (re) unions: Revisiting and revising studies on the Sama igal dance and kulintangan ensemble music traditions. In Sounding the Dance, Moving the Music (pp. 67-79). Routledge.
Santamaria, M. C. M. (2018). Music, Dance and the Sama-Bajau ‘Diaspora’: Understanding Aspects of Links among Communities through Ethnochoreomusicological Perspectives. Journal of Maritime Studies and National Integration, 2(2), 86-90.
Santamaria, M. C. M. (2023). Three Categories of Intangible Cultural Heritage and Three Degrees of Importance: The Case of the Sama-Bajau Igal Dance Tradition of Tawi-Tawi Province, Philippines. In Performing Arts Conference: Heritage and Modernity in the Performing Arts (p. 1).
Zainal, S., Rahman, M. K. A., Lazarus, E. M. C. L., Salleh, M. S., Amsalie, Y., Pisali, A., ... & bin Musa, M. N. H. (2021). Kelamat-Keombo’an: Permainan Watak Melalui Penyatuan Elemen Kelima Dalam Persembahan Teater Ritual Igal Etnik Bajau Pantai Timur Sabah: Kelamat-Keombo’an: Role Play Through The Fifth Elemets Unification In Igal Theatre-Ritual Performance Of Sabah East Coast Bajau. Jurnal Gendang Alam (GA), 11(2), 63-84.