Masakan
ikan patin masak tempoyak yang menjadi identiti di Temerloh, Pahang. Daerah Temerloh Negeri Pahang, dikenali sebagai destinasi
gulai ikan patin tempoyak yang sangat terkenal. Walaupun
dinamakan ’gulai’, tetapi menu ini tidak menggunakan santan. Gulai ini biasanya dimasak bersama ikan, dan
antara ikan-ikan yang sesuai digulai bersama tempoyak ialah ikan patin, ikan
baung dan ikan jelawat (ikan sungai).
Ikan
patin di negeri Pahang terkenal dengan keenakan dan kelembutan isinya kerana
mempunyai persekitaran habitat yang bersesuaian.
Tempoyak dihasilkan daripada isi buah durian. Isi durian ini diasingkan daripada bijinya dan ditambah
dengan sedikit garam dan diperam selama tiga hingga lima hari dalam suhu bilik
untuk proses penapaian. Tempoyak biasanya tidak dimakan begitu sahaja tetapi
dibuat sambal atau dimasukkan ke dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan
patin.
Selain Daerah Temerloh, masakan ini juga amat terkenal di
beberapa daerah lain seperti Raub, Kuala Lipis dan Jerantut. Boleh dikatakan
setiap kedai makan di daerah tersebut akan menyajikan juadah gulai tempoyak
ikan patin untuk menarik minat orang ramai datang ke kedai mereka. Gulai
tempoyak ikan patin amat sedap dinikmati bersama nasi putih, ulam-ulaman dan
aneka sambal. Rasa gulai ini lain dari yang lain kerana pes durian yang
digunakan telah diperap terlebih dahulu dan dipadankan dengan ikan patin segar.
Sungai Pahang merupakan sungai yang terpanjang di
Semenanjung Malaysia dengan jarak panjangnya kira-kira 440 hingga 459
kilometer. Sungai ini merentasi bandar-bandar di negeri Pahang seperti
Jerantut, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan, mengalir ke Laut China Selatan.
Terdapat
banyak jenis ikan air tawar yang popular di Sungai Pahang seperti ikan patin (patin
buah, patin sungai, patin sangkar, patin muncung dan patin
ekor merah), ikan kelah, ikan arowana, ikan lampam jawa, ikan kelah merah,
ikan temeloh, ikan haruan, ikan belida, ikan tamalian / ikan temoleh, ikan
baung, ikan baung kederak, ikan sebarau, ikan kerai, ikan tenggalan, ikan
bujuk, ikan toman, ikan ketutu, ikan puyu, ikan buntal, keli, ikan limbat dan
banyak lagi.
Ikan
patin mendominasi habitat di sepanjang Sungai Pahang. Bagaimana pun dengan
adanya teknologi moden, ikan patin mula diternak secara komersil di dalam kolam
atau sangkar.
Ikan
ini mempunyai pengkelasan grednya yang tersendiri mengikut kualitinya. Ikan
patin kolam yang diternak adalah ikan patin yang paling mudah diperolehi dan
murah harganya. Ikan patin sangkar pula diletakkan sebagai gred kelas kedua
kerana ia diternak dalam sangkar yang diletakkan di dalam sungai yang berarus
dan menerima aliran air berterusan seperti di Temerloh, Pahang.
Jenis
ikan patin ketiga adalah patin buah. Ikan ini tinggal di kawasan lubuk-lubuk
tertentu di dalam sungai. Ia sama ada ditangkap menggunakan pancing atau
jaring. Ikan patin ini dikategorikan dalam spesis ikan patin asli yang semakin
sukar diperolehi dan mempunyai nilai dan harga yang tinggi. Jenis keempat
adalah ikan patin muncung, yang paling jarang ditemui. Spesis ini hanya boleh ditangkap dengan
menggunakan jaring sahaja dan nilainya adalah yang paling tinggi di antara
jenis-jenis ikan patin lainnya.
Ikan patin adalah salah satu jenis ikan sungai atau ikan air tawar. Ia
memiliki bentuk yang unik. Badannya panjang dan sedikit memipih, berwarna putih
perak dengan punggung berwarna kebiru-biruan, tidak bersisik, mulutnya kecil,
memiliki dua hingga empat pasang sesungut yang berfungsi sebagai alat peraba.
Ikan patin termasuk dalam kategori ikan yang hidup di dasar sungai dan lebih
banyak mencari makan pada waktu malam.
Bahan-bahan:
• 1 ekor ikan
patin
• 1 senduk
tempoyak/secukupnya
• 1 ikat daun
kesum
• 7 – 15 biji
cili api/lada
• 1 inci kunyit hidup / kunyit serbuk
• Air secukupnya
• Garam secukup rasa
• Perasa
secukup rasa
1.
Masukkan
air ke dalam periuk.
2.
Masukkan
tempoyak dan cili padi/ lada yang dikisar. Kacau dan tunggu sehingga mendidih.
3.
Apabila
mendidih masukkan ikan. Kacau.
4.
Masukkan
kunyit, garam dan perasa secukup rasa. Kacau.
5.
Kemudian
masukkan daun kesum. Tunggu sehingga mendidih dan ikan empuk.
6. Sedia
dihidangkan.
i. Bahan Bacaan
Professor Dr. Haji Mohd. Salehuddin Mohd Zahar. (2022).
Bab Dalam Buku Siri 1 : Pelestarian Warisan Makanan Tradisional Melayu. Kuala
Lumpur : Jabatan Warisan Malaysia.
Abdullah, K. M.,
Ismail, F. H., Zamzuri, N. H., Saidatul Afzan, A. A., & Muhamad, R. (2020).
Pahang food terminologies: young
generations' understanding and usage diakses pada 20 Februari 2023 di pautan 20203279626 (cabidigitallibrary.org)
Nurul Husna Mahmud. (2018). Sajian Eksotik Jerantut : Metro
Ahad
M.Anem. (2023). Ikan-Ikan Sungai Pahang-Apa Hebatnya: blogspot: muat turun
pada 8 Mac 2023 daripada
https://animhosnan.blogspot.com/2023/03/ikan-ikan-sungai-pahang-apa-hebatnya.html