MUZIK TRADISIONAL GENDANG PAHANG
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Gendang merupakan sejenis alat muzik yang dihasilkan dengan menggunakan kayu  berbentuk bulat. Pemukul gendang dikenali sebagai tukang gendang. Manakala pemukul atau pemain gendang diraja mempunyai gelaran tersendiri iaitu Kulup Raja. Pada tahun 1857, permainan gendang Pahang mula diperkenalkan setelah tercetusnya perang saudara di Chenor, Pahang. Kemudian, gendang Pahang mula berkembang di beberapa buah daerah iaitu Jerantut, Kuala Lipis, Pekan, Chenor dan Temerloh, sementara di kawasan yang lainnya gendang Pahang semakin pupus. Di sesebuah kawasan, penduduk setempat lebih menggemari irama setempat berbanding irama-irama yang didatangkan dari daerah lain. Keadaan ini menunjukkan mereka sangat konsisten mempertahankan irama yang dipusakainya sejak turun-temurun. 


Gendang Pahang merupakan seni muzik tradisi yang mendapat pengaruh seni muzik Islam. Seni muzik ini dipercayai diperkenalkan oleh Dato’ Purba Jelai dan disebarkan oleh tiga generasi. Gendang Pahang mempunyai lagunya tersendiri yang dikenali sebagai Bujang Hilir. Muzik ini dimulakan dengan rentak pembukaan dan disudahi dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak sampingan  yang lain. Selain itu, lagu popular yang sering dimainkan adalah  Samaderas, Kambing Berlaga, Lenggang Janda, Bujang Hilir dan Raja Berangkat. Gendang Pahang dimainkan ketika majlis perkahwinan dan adat-istiadat istana serta untuk mengiringi persembahan silat dan tarian Inai. Gendang Pahang tidak dikhususkan kepada golongan lelaki sahaja sebaliknya turut melibatkan golongan wanita.

Fungsi dan Peranan

LAGU GENDANG PAHANG

Lagu Gendang Pahang yang sering dimainkan dan menjadi asas kepada semua repertoirnya adalah:

 

Lagu Samaderas

Samaderas mengalirkan tenaga yang tersendiri terhadap pergerakan silat seorang pengamal persilatan. Setiap seni pukulan gendang akan menghasilkan satu seni gerakan yang dinamakan seni silat yang disatukan dengan bunga-bunga persilatan terutamanya bela sembah dan pergerakan belebat. Daripada bunga akan terbitlah buah dan dalam bunga juga ada maksud tertentu dari sudut kebatinan.


Lagu Kambing Berlaga

Kambing adalah haiwan yang mengeluarkan bunyi tanduk berlaga yang kuat ketika berlaga. Kelakuan ini telah diadaptasikan menjadi tingkah gendang. Temponya pula berdasarkan kambing yang sedang berlaga iaitu kadang-kala cepat dan kadang-kala perlahan. Dalam lagu ini baloh digunakan selain pukulan pada muka gendang yang menghasilkan bunyi yang berbeza. Lagu ini dinamakan Kambing Randuk di Chenor. Manakala, di Lipis pula ia dinamakan sebagai Kambing Mendongok.


Lagu Lenggang Janda

Lagu Lenggang Janda merupakan sebuah lagu yang mengiringi persembahan silat. Sejarah lagu ini bermula apabila seorang janda sedang bersiar-siar seorang diri di sebuah kampung lalu diganggu oleh pemuda-pemuda kampung. Pada mulanya, mereka hanya mengganggu tetapi lama-kelamaan ia menjadi suatu pergaduhan yang hebat. Janda itu sebenarnya mempunyai ilmu silat mempertahankan diri. Akhirnya, pergaduhan tersebut dimenangi oleh janda yang berjaya menumpaskan pemuda-pemuda itu dan dia berlalu pergi dengan riang. Perlakuan dalam cerita ini telah diadaptasi dalam bentuk tingkah gendang oleh orang-orang tua dahulu. Lagu ini diberi nama Lenggang Janda di Semantan, Janda Numbuk di Chenor dan Janda Kerat Kayu Api di Kuala Lipis.


ANTARA SENARAI LAGU GENDANG PAHANG

           1.      Raja Beradu

      2.      Raja Berangkat

      3.      Kambing Belaga

      4.      Tupai Mencalat

      5.      Gendang Bersunat

      6.      Gobek Sireh

      7.      Kerat Kayu Api

      8.      Timbang Bangkong

      9.      Lenggang Janda

     10.     Sama Deras

     11.     Sama Dua

     12.     Sama Satu

     13.     Berjin

     14.     Joget

     15.     Tari Caluk

     16.     Tari Lilin

     17.     Tari Pelanduk

     18.     Tari Piring

     19.     Mandi Sampat

     20.     Mandi Safar

     21.     Raja Chenor

     22.     Menghantar Air ke Kuala

     23.     Siamang Bergayut

     24.     Ketiting Murai

     25.     Sama Satu

     26.     Tiga Seturut

     27.     Raja Berjalan

     28.     Raja Berusung

     29.     Tupai Mengendap

     30.     Senayung

     31.     Tupai Berkehendak

     32.     Dusun Tebang

     33.     Gendang Suluk

     34.     Gobek Guba

     35.     Gobek Terbang

     36.     Janda Cari Kayu Api

     37.     Raja Bersiram

     38.     Raja Dihilir

     39.     Kambing Mendogok

     40.     Serindit

     41.     Bukit Kota

     42.     Gobek Tebang

     43.     Lenggok

     44.     Mendayung

     45.     Cak La La

     46.     Melemak

     47.     Sendeng

     48.     Samaderas Lipis

     49.     Bujang Hilir

     50.     Senayang

     51.     Tari Inai

     52.     Colet-Colet Sambe Udang

     53.     Pak Abu

     54.     Mak Yung

     55.     Air Boh

     56.     Kambing Randuk

     57.     Belaga Kambing

     58.     Kerbau Berambat

     59.     Sesumpoh

     60.     Anok Joget

     61.     Cak Ketibang Bangkong

     62.     Air Masuk Kuala

     63.     Cak Kedeh

     64.     Hempas Padi

     65.     Hujan Panas

     66.     Janda Numbuk

     67.     Silat Pulut

     68.     Gendang Perang

     69.     Tokek Tebang

     70.     Tupai Mengendak

     71.     Cak Lalang

     72.     Kuda Kepang

     73.     Raja Berangkat Tembeling

     74.     Bangkong

     75.     Samaderas Tok Muda Long

     76.     Merajok

     77.     Derhaka

     78.     Colet Colet Sambal Udang

     79.     Gendang Joget

     80.     Gendang Aur Sebuku

     81.     Lanun Naik Kuala

     82.     Lanun Naik ke Darat

     83.     Ratib

     84.     Samaderas Pekan

     85.     Gendang Pulau Tawar

     86.     Kecipung Janda

     87.     Nane

     88.     Kambing Randuk

     89.     Air Mata Kuala

     90.     Sendayung

     91.     Ngulit

     92.     Laun

     93.     Gendang Tembeling

     94.     Pintas Punggung Tangkak Hempas

     95.     Anok Dara Patoh Kayu Api

     96.     Gendang Berang

     97.     Petala Sambas Pedah

     98.     Gendang Pemberontakan Budu

     99.     Kuricak Gajah Maharaja Dewa Sura

100. Gendang Seladang Pulau Tawar

Busana/ Aksesori

Dahulu, pemain gendang adalah berkait dengan persilatan dan pemakaian busana juga turut berunsurkan budaya persilatan. Busana yang wajib adalah menutup aurat dan sunat menutup kepala. Di negeri Pahang pakaiannya adalah Baju Melayu berdagang dalam dan berdagang luar. Bahagian kepala pula ditutupi dengan songkok. Dek peredaran zaman, busana yang dipakai adalah busana lengkap baju melayu bersongkok/bertanjak.

Peralatan/ Bahan-Bahan

PERALATAN GENDANG PAHANG

Mengikut tradisinya, Gendang Pahang dimainkan menggunakan tiga peralatan asas iaitu gendang ibu, gendang anak dan gong atau tetawak. Gendang ibu dan gendang anak berbentuk kayu bulat memanjang dan berongga di dalamnya.  Gendang-gendang ini mengeluarkan bunyi tertentu apabila ditepuk. Ada yang menyebutnya sebagai gendang panjang atau gendang campak. Kayu yang digunakan berbentuk bulatan (silinder tiub) dan mempunyai kepanjangan yang berbeza-beza iaitu antara 20 hingga 40 sentimeter. Gendang ibu mempunyai saiz yang lebih besar daripada gendang anak.  Sementara garis tengah di dalamnya disesuaikan dengan kepanjangan kayu tersebut.  Di salah satu hujung tawangan menggunakan kulit kambing atau kijang dan di sebelah lagi diperbuat menggunakan kulit lembu atau kambing. Gendang Pahang dikenali juga sebagai Gendang Melela kerana diketuk menggunakan tangan di satu permukaan, manakala permukaan yang satu lagi dipukul menggunakan kayu atau rotan. Gong atau tetawak pula merupakan sebuah alat muzik besi idiofon yang terkenal penggunaannya di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Penggunaan gong sangat meluas dalam kesenian masyarakat Melayu seperti dalam permainan gamelan, wayang kulit dan gendang silat.

 

KOMPONEN-KOMPONEN PERALATAN GENDANG PAHANG

 

Baloh

 

Salah satu bahagian  peralatan terpenting muzik tradisional, terutama dalam seni gendang ini ialah “baloh”. Baloh adalah kayu yang telah menjalani proses pembuatan daripada sejenis kayu yang telah ditebuk di bahagian tengahnya, menghasilkan bentuk bulat memanjang (barrel shape) dan berlubang di tengahnya. Di antara kayu yang boleh digunakan untuk membuat baloh ialah kayu tutur, nangka dan bangkung. Kedua-dua belah lubang baloh tersebut ditutup mengunakan kulit binatang, dengan ikatan dan regangan yang kuat dan kemas. Ia menghasilkan pelbagai ton bunyi apabila dipalu dengan kayu atau pun ditepuk dengan tangan. Dalam konteks persembahan, permukaan kecil dipukul dengan sebelah tangan dan permukaan besar dipukul dengan rotan, kayu atau tanduk yang diraut khusus.

 

Belulang Gendang

 

Kulit lembu digunakan untuk membuat alat talaan muka besar gendang. Kulit yang dipilih adalah kulit yang berkualiti baik dan tidak bocor. Kebiasaannya, kulit lembu yang digunakan adalah dari lembu betina beranak melebihi 6 ekor kerana kulitnya lebih liat dan tahan lasak. Proses melapah kulit haiwan perlu dibuat dengan teliti bagi mendapatkan kulit yang baik dan tidak bocor. Selepas dilapah kulit akan diawet dengan garam, diregang, disapu garam dan kunyit bagi mengelakkan daripada dimakan semut atau serangga. Kemudian, ia dijemur sehingga cukup kering. Seterusnya kulit tersebut sedia untuk diregang pada baloh.

Pada zaman dahulu, kulit kijang jantan digunakan untuk membuat muka besar gendang ibu. Muka besar gendang anak pula dibuat daripada kulit kambing jantan. Oleh sebab kesukaran mendapatkan kijang yang dilindungi oleh pihak Perhilitan, kulit lembu digunakan pada muka besar gendang anak dan gendang ibu. Kulit kambing digunakan bagi membuat muka kecil gendang anak dan gendang ibu kerana ia lebih nipis dan menghasilkan bunyi ‘chop’ atau dentingan yang nyaring. Kulit kambing yang digunakan adalah daripada kambing kampung, kerana kulit kambing kampung lebih liat dan struktur kulitnya yang tahan lama

 

Sergeh

 

Bahan penegang kulit dinamakan sergeh dalam bahasa Pahang. Ia diperbuat daripada rotan mengikut amalan tradisional, tetapi kini para pembuat gendang menggunakan fiber kerana lebih mudah dibentuk dan tahan lama. Simpai atau tali penegang kulit diperbuat daripada rotan seni atau yang lebih baik adalah rotan batu putih yang sukar didapati. Panjang sesuatu simpai adalah seratus kaki. Pada waktu ini, oleh kerana sukar untuk mendapatkan rotan, tali nilon yang diimport dari Jerman digunakan bagi menggantikan rotan.

 

Gong/ tetawak

 

Keluarga gong di Malaysia secara umumnya terdiri daripada jenis-jenis yang berbusut ataupun yang bertombol.  Ianya diperbuat daripada bahan-bahan asas seperti tembaga, timah dan besi. Ia juga dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan ukuran, serta memiliki pic dan timbre yang juga berbeza.

 

JENIS PALUAN GENDANG PAHANG

Paluan gendang ini terbahagi kepada 10 jenis iaitu segeh, balun, sambar, gerpak, tala, bertala, kode, dayung, sendayung dan galang ganjur.

 

Sergeh

Diambil dari nama rotan pemegang kulit gendang. Dimainkan dengan cara yang lembut dan teratur dengan pukulan satu-persatu dan mempunyai sembilan jenis tingkah atau paluan.

 

Balun

Membawa maksud memukul dengan kuat dalam loghat Pahang. Dipukul dengan cara pukulan yang keras sebanyak tujuh kali di buntut dan kepala gendang.

 

Sambar

Mencelah atau menyampuk dengan cepat/ pantas. Pukulannya agak laju dan dua kali paluan sambar.

 

Gerpak

Serentak atau sekali gus memukul secara serentak pada kedua-dua belah permukaan gendang dengan menggunakan tapak tangan mengikut tempo.

 

Tala

Laras bunyi nada yang selari. Paluan deras dan tepat pada suatu arah.

 

Betala

Bersambut-sambut, berselang-selang atau bertingkah-tingkah. Paluannya berturut-turut dan kedengaran agak songsang tetapi tidak hilang tempo.

 

Kode

Menggerakkan sesuatu dengan pantas. Paluan pantas sambil mematikan tempo.

 

Dayung

Kayuh perahu/ sampan. Paluan menyerupai perbuatan orang mendayung perahu.

 

Sendayung

Bunyi yang bersahut-sahutan. Pukulan dan bunyi kedengaran beralun-alun dan bersahut-sahutan.

 

Galang ganjur

Perbuatan yang menghalang. Paluan yang seperti tersekat sekat.

Tokoh dan Pencapaian

Mohamad bin Mohd Yunus merupakan seorang penggiat seni yang telah bergiat lebih dari 35 tahun dan sangat aktif dalam bidang kesenian Gendang Pahang dan persilatan Pahang semenjak tahun 1985.

Pada tahun 2003, beliau telah menubuhkan sebuah pasukan gendang yang diberi nama Cincin Belah Rotan. Pasukan Cincin Belah Rotan ini telah berjaya mengetengahkan seni Gendang Pahang kepada khalayak ramai sekaligus berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap kesenian. Bermula 2007, beliau telah dilantik menjadi Jurulatih Gendang Pahang oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Dalam menjayakan beberapa program, beliau telah menjadi jurulatih Gendang Pahang untuk JKKN Negeri Pahang dan seterusnya menjadi jurulatih Program Muzik Tradisional Pahang pada tahun 2018. Pada tahun yang sama, beliau juga dilantik sebagai jurulatih Program Satu IPT Satu Produk sehingga tahun 2019.

Setelah beberapa tahun bergiat, beliau berjaya menubuhkan Pasukan Orkestra Gendang Pahang pada tahun 2018. Usaha ini selaras dengan matlamat menyatukan semua pasukan gendang yang ada di setiap daerah di negeri Pahang. Beliau juga telah dilantik sebagai Juri Pertandingan Gendang Pahang sejak tahun 2017. Bagi mengembangkan budaya seni tradisi ini, satu pertubuhan telah dibentuk dan didaftarkan dengan nama Persatuan Seni Tradisi Gendang Pahang dan beliau telah dilantik sebagai pengerusi. Pada tahun 2022 dan 2023 beliau dilantik sebagai jurulatih Program Perantisan Gendang Pahang anjuran JKKN Negeri Pahang yang diadakan di Felda Jengka 12 (fasa 1) dan Sekolah Menengah Maran, Pahang (fasa 2).

Keterampilan beliau terus menyerlah apabila dilantik sebagai Penyelidik Muzium Pahang dan Penyelidik Arkib Negara Malaysia Negeri Pahang pada tahun 2019 sehingga 2022. Beliau terus berusaha melindungi warisan Gendang Pahang dengan mendokumentasikan runut bunyi untuk album Muzium Pahang dan Galeri Muzium Pahang. Beliau juga menghasilkan buku mengenai Gendang Pahang untuk Muzium Pahang. Usaha beliau tidak setakat itu sahaja, beliau juga telah menghasilkan penulisan jurnal JKKN Negeri Pahang berjudul Gendang Bersunat. Selain itu, beliau juga telah menulis buku yang bertajuk Mencari Jejak Yang Hilang terbitan Perpustakaan Awam Pahang, Pandai Akal Sielat dan buku Gendang Pahang yang diterbitkan oleh JKKN Negeri Pahang.

Mohamad bin Mohd Yunus juga merupakan Ahli Majlis Kebudayaan Daerah Jerantut dan Ahli Majlis Kebudayaan Negeri Pahang. Dengan usaha yang telah dilakukan oleh beliau, pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara telah mengurniakannya Anugerah Tokoh Seni Budaya Tempatan pada tahun 2021. Beliau juga dikurniakan Anugerah Penggiat Muzik Tradisional Gendang Pahang oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Pada tahun 2023, beliau turut serta terlibat dalam rakaman Gendang Pahang bagi Pemetaan Budaya JKKN, Negeri Pahang.

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

 

Zainal bin Jaslan. (2019). Warisan Budaya Identiti Malaysia: Gendang Pahang. Kuala Lumpur : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)

 

Muhammad Mohd Yunos. (2017). Mencari Jejak yang Hilang : Warisan Seni Gendang Tradisi Pahang. Pahang : Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang

 

ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh) : Mohamad bin Mohd Yunus

Lokasi