SUMAYAU
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Sumayau, atau dikenali juga sebagai Madsayau, adalah sebuah tarian tradisional etnik Kadazan-Dusun dari suku Dusun Lotud atau Suang Lotud yang berasal dari Daerah Tuaran, Sabah. Tarian ini membawa nilai spiritual dan budaya yang mendalam kerana menjadi sebahagian dalam persembahan upacara ritual adat dan kepercayaan masyarakat Dusun Lotud. Perkataan ‘Sumayau’ bermaksud menari atau kata asalannya yang boleh dikaitkan dengan ‘Madsayau’ bermasuk ‘menari’ atau ‘menarikan’.

Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, Sumayau bukanlah sebuah persembahan untuk tujuan hiburan atau keramaian. Sebaliknya, ia merupakan satu bentuk persembahan sakral yang berfungsi sebagai salah satu elemen pelengkap dalam struktur ritual ‘Rumaha’, iaitu upacara pemujaan tengkorak kepala dan ritual 'Magahau', yang merupakan upacara pemujaan semangat ‘Gusi-Gusi’ atau Tajau (tempayan). Kedua-dua ritual ini memegang peranan penting dalam sistem adat serta kepercayaan suku Dusun Lotud, dan biasanya dijalankan selama lima hingga tujuh hari. Tarian dipersembahkan untuk tujuan menghormati semangat atau roh orang mati yang dipercayai mampu memberikan kesejahteraan kepada komuniti Dusun Lotud. Sehubungan itu, ia juga berperanan sebagai satu bentuk apresiasi terhadap ahli keluarga yang telah tiada.


Namun begitu, sesetengah masyarakat Dusun Lotud meletakkan Sumayau sebagai salah satu bentuk persembahan yang berperanan penting dalam mempamerkan adat seni dan budaya yang diwarisi sehingga kini. Ia tidak lagi khusus tertumpu kepada pelaksanaan upacara ritual sahaja, tetapi ia turut dipersembahan dalam Pesta kebudayaan seperti Pesta Kaamatan sebagai satu bentuk apresiasi budaya agar amalan tradisi suku Dusun Lotud dapat dikenali secara meluas oleh suku-suku lain mahupun pelbagai masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh yang demikian, tarian ini boleh saja dipamerkan atau dipersembahkan secara meluas dan tidak terhad untuk upacara ritual semata-mata. 


Busana/ Aksesori

Dalam persembahan Sumayau, penari akan mengenakan pakaian tradisional Dusun Lotud yang khas, terdiri daripada baju hitam atau gelap dengan hiasan sulaman renda berwarna emas dan merah terang ataupun gelap seakan-akan warna kecoklatan. Busana penari lelaki diberi nama ‘Rinapa'an’ atau ‘Kirinapa'an do Suang Lotud’ yang terdiri daripada sepasang baju dengan nama ‘Sukob’ yang mempunyai hiasan motif corak pada bahagian lengan dan dada. Sukob akan  dipadankan dengan ‘Mugah’ iaitu sejenis kain sarung yang ditenun. Pada bahagian kepala penari lelaki, akan diikatkan dengan ‘Sundi’ iaitu sejenis kain tenunan untuk membentuk seperti tengkolok kepala. Menutupi baju lelaki pula akan dipakaikan kain selendang tenunan yang diikat secara bersilang pada tubuh penari dikenali sebagai ‘Sandai’.


Seterusnya hiasan aksesori penari lelaki yang wajib dipakai adalah terdiri daripada enam jenis iaitu;

1. ‘Karoh’ –  Sejenis rantai yang panjang dan diperbuat daripada jaluran manik, kerang dan kayu.

2. ‘Bubu Tulan’ – Tali pinggang yang diperbuat daripada perak.

3. ‘Botungkat’ – Tali pinggang yang diperbuat daripada duit syiling berasaskan perak.

4. ‘Supuh’ –  Perak  berbentuk  sfera  dan  dipakai  pada  ‘Bubu Tulan’ di sebelah kiri.

5. ‘Tatarapan’ – Keris yang diperbuat daripada perak.

6. ‘Simpai’ – Gelang tangan yang diperbuat daripada perak. 

Penari wanita pula akan memakai persalinan busana yang diberikan nama ‘Rinapa'an do Milamak’. Busana ini terdiri daripada sepasang ‘Sukob Kopio’ (baju lengan panjang) dan ‘Gonob Sinugitan’ (kain pendek dijadikan skirt) berwarna hitam yang dihiasi dengan sulaman benang berwarna-warni. Busana ini akan dilengkapkan dengan ‘Sandai’ ataupun selendang panjang  berukuran  tiga  meter.  dan dililit pada badan atau diletakkan di atas bahu. Berbeza dengan pakaian lelaki, penari wanita akan dipakaikan selendang khusus berjahit dan bersambung pada hujung kain iaitu ‘Kuluwu’ untuk dipakai sebagai penutup kepala serta boleh diletakkan di atas tangan kanan sebagai hiasan. 


Seterusnya hiasan aksesori penari wanita yang wajib dipakai adalah terdiri daripada sembilan jenis iaitu;

1. ‘Linangkit’ –  merupakan  nama  panggilan  kepada  motif  geometri  yang   menghiasi Gonob. 

2. ‘Siwot’ – adalah hiasan kepala, iaitu dicucuk pada rambut yang disanggul pada pengantin perempuan.

3. ‘Sigar’ –  adalah  hiasan  kepala  berbentuk  bulat  yang  dihiasi  dengan  jalur emas dan lilitan rotan berwarna merah.

4. ‘Karoh’ –  sejenis  rantai  atau  kalung  yang  diperbuat  daripada  susunan manik,  kaca, kerang dan potongan kayu yang berbentuk kon.

5. ‘Mandapun’ – sejenis kalung yang diperbuat daripada kain merah dihiasi dengan kepingan emas.

6. ‘Lilimbo’ – sejenis tali pinggang sebagai perhiasan yang diperbuat daripada rotan.

7. ‘Botungkat’ –  sejenis  tali  pinggang  yang  diperbuat  daripada  duit syiling berasaskan perak.

8. ‘Simpai’ –  sejenis  gelang  tangan  yang  diperbuat  daripada  perak. Simpai biasanya dipakai di atas siku tangan.

9. ‘Lasung’ – sejenis gelang kaki yang diperbuat daripada perak.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Lazimnya, alat muzik yang mengiringi tarian ini adalah gendang dan lima jenis gong iaitu ‘Naananagon’, ‘Haahambatan’,’Kuukulimpon’, ‘Tootongan’, dan ‘Taatavag. Paluan gong dan gendang ini akan digabungkan menjadi iringan kepada persembahan Sumayau.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan  Sumayau diketuai oleh seorang Momolian iaitu wanita yang lanjut usianya dan arif dalam upacara ritua. Sebaik muzik dimainkan para penari mula menari dan terus menuju ke gelanggang tari. Gerak tangan penari wanita adalah mengikut irama muzik sementara gerak kaki adalah perlahan daripada gerak tangan, yakni cuma bergerak secara amat perlahan. Penari lelaki membunyikan loceng atau giring dalam dialek suku Lotud. Gerak tarian bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan daripada penonton. 

Tokoh dan Pencapaian

Mazizy J. Lomodi. (30 Tahun). Kampung Limbanak, 89650 Penampang, Sabah. 12 Oktober 2024.

Sumber Rujukan

Jusilin, H., & Kindoyop, S. (2016). Reka bentuk dan hiasan linangkit pada pakaian tradisional Dusun Lotud di Tuaran. Gendang Alam. https://doi.org/10.51200/ga.v5i.16


Pugh-Kitingan, J. (2020). Dance and ritual in Sabah. In Sharing Identities (pp. 166-186). Routledge India.


Pugh-Kitingan, J. (2012). Kadazan Dusun. Institut Terjemahan & Buku Malaysia.


Hussin, H. (2023). Ritual Dance and Performance in Contemporary Borneo: A Study of the Kadazan and Bajau Communities of Sabah, Malaysia. In Performing Arts Conference: Heritage and Modernity in the Performing Arts (p. 154).


Hussin, H. (2022). Documenting the Lotud Mamanpang (Creation Myth) in the Sumalud Healing Ritual of the Lotud Dusun Community, Tuaran District, Sabah, East Malaysia.


Lokasi