Bergendang ialah khazanah seni budaya unik lagi istimewa yang dipusakai oleh masyarakat Melayu Sarawak. Budaya seni ini mempunyai kaitan yang amat luas dan rapat dengan gaya hidup dan nilai sosial dalam masyarakat Melayu Sarawak sehingga mampu membentuk identiti yang menjadi kebanggaan bersama. Justeru, menerusi pelestarian yang berterusan, seni persembahan penuh kreativiti ini yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2012 kerana mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai aktiviti hiburan santai dan bersuka ria secara terbuka.
Terdapat tiga elemen utama dalam seni persembahan muzik bergendang Melayu Sarawak yang terdiri daripada bergendang iaitu memukul gendang yang diambil peranan oleh artis wanita dengan seh gendang. Elemen kedua ialah gerakan tari bertandak yang dipersembahkan oleh penari lelaki dipanggil penandak atau nopeng) dan elemen ketiga ialah bermukun yakni berjual beli pantun antara seh gendang dan penandak atau nopeng.
Semasa persembahan bergendang, seh gendang akan ditempatkan di sebalik tabir atau pengadang yang dipasang menggunakan kain batik setinggi dua atau tiga kaki dari lantai dan dipasang secara memanjang. Sementara kaum lelaki yang menjadi menopeng atau penandak akan ditempatkan di luar tabir berkenaan bagi memisahkan ruangan antara wanita dan lelaki. Ruang yang cukup luas akan disediakan di hadapan tabir bagi dijadikan sebagai tempat untuk penandak menari. Kebiasaannya seh gendang akan memukul gendang mengikut rentak biola atau akordion. Sambil bermukun bersama dua hingga empat orang penandak/nopeng yang menari, mereka akan berbalas dan berjual beli pantun secara spontan.
-
-
-
Persembahan Gendang Melayu Sarawak biasanya diadakan pada waktu malam terutamanya bagi tujuan memeriahkan lagi sesebuah majlis perkahwinan. Pada ketika lain, perembahan ini turut diadakan semasa acara-acara kenduri doa selamat, bercukur rambut, berpindah ke rumah baharu, berkhatan, lawatan menantu baru, mencapai laba iaitu memperoleh keuntungan dan kejayaan dalam usaha kerja, kelahiran anak atau menerima kedatangan tetamu istimewa. Terdapat sebanyak 12 lagu yang biasa disampaikan oleh seh gendang namun tiga daripadanya yang popular ialah lagu berjudul Samsudin, Menyubuh dan Sayang Sarawak.
Selain menjadi media hiburan, seni persembahan muzik Gendang Sarawak Melayu ini juga menzahirkan falsafah seni budaya bangsa yang unggul. Persembahan yang dahulunya hanya melibatkan orang dewasa dan warga emas ternyata sarat memuatkan nilai-nilai murni, sikap dan pemikiran positif serta sopan santun. Dalam mukun atau pantun yang dilontarkan anatara seh gendang dan penandak juga ketara mengungkapkan wadah dan citra bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kaum. Malah lebih membanggakan, kini generasi muda Sarawak sudah semakin aktif dalam memartabatkan seni Gendang Melayu Sarawak ini.
-
i. Bahan Bacaan
https://www.newsarawaktribune.com.my/gendang-melayu-sarawak-a-legacy-heritage-2/
Nurulakmal Abdul Wahid (2014) Perkembangan dan Perubahan Struktur
Persembahan Tradisi Gendang Melayu Sarawak.
https://jurnal.dbp.my/index.php/Melayu/article/download/4506/1305