Ngajat Pua Kumbu diakui sebagai repetoir dalam ngajat yakni tarian etnik Iban yang menggunakan pua kumbu iaitu tekstil tradisional masyarakat Iban sebagai penceritaan dan lambang budaya busana yang disebut Ngepan Iban.
Tekstil hasil tenunan ini digunakan dalam pelbagai upacara penting termasuklah upacara kelahiran, perkahwinan, pengebumian, perubatan dan tidak ketinggalan juga upacara bercucuk tanam. Coraknya yang penuh sni dan motif amat menyerlah dalam membawa maksud akan kedekatan seseorang pemakai pua kumbu ini dengan dunia ghaib. Pada masa yang sama, adalah semakin mencabar kepada si penenun kerana penenun dipercayai perlu berhati-hati menyerap tenaga dan semangat ghaib ke dalam hasil tenunannya.
-
-
Tarian ini dipersembahkan dalam upacara Gawai Kelingkang iaiatu gawai yang dirayakan bagi meraikan kemenangan dan menyambut kepulangan pahlawan Iban. Lebih menarik lagi, dengan kembalinya pahlawan ini dari medan peperangan turut membawa pulang Antu Pala iaitu kepala musuh yang telah dipancung. Ketua pahlawan atau Ketua Kayau akan menggunakan pua kumbu sebagai alas dan membalut setiap kepala musuh yang dibawa pulang. Setelah itu, penari Ngajat Pua Kumbu akan menghayun pua kumbu tersebut dan disertakan dengan bacaan jampi serapah untuk melindungi semangat Antu Pala berkenaan.
Menerusi perubahan masa dan latar masyarakat, kini tarian Ngajat Pua Kumbu kian popular dipersembahkan semasa perayaan selain bertujuan keraian menyambut pengunjung dan pelancong. Manakala kepala musuh digantikan dengan buah kelapa sebagai simbolik. Tarian ini diringi muzik tradisional yang popular iaitu Taboh Iban.
-
https://www.utusan.com.my/gaya/2022/04/tenunan-pua-kumbu-iban-punyai-pelbagai-kisah-pantang-larang/