Berzanji adalah bentuk kesenian Islam yang popular di negeri Perak. Ia merupakan satu bentuk seni suara yang dipersembahkan di dalam majlis atau upacara keagamaan seperti maulid Nabi, akikah, menyambut kelahiran bayi, berkhatan dan juga majlis perkahwinan. Seni persembahan Berzanji adalah hasil susunan Syeikh Ja’far al-Barzanji dan merupakan rangkaian sejarah hidup Nabi Muhammad SAW yang menyentuh tentang keturunan, perkembangan kehidupan sejak zaman kanak-kanak sehinggalah dilantik sebagai Rasul. Ia juga menyentuh tentang sejarah perjuangan serta keperibadian Rasulullah SAW yang seharusnya menjadi contoh teladan bagi seluruh umat manusia.
Kesenian Berzanji di negeri Perak, dikembangkan melalui peranan pusat pengajian Islam tradisional seperti sekolah pondok ataupun Madrasah. Para penuntut bersama-sama dengan guru al-Quran melagu-lagukan berzanji dan dijadikan sebagai satu bentuk hiburan selepas belajar. Selepas tamat pengajian, mereka pulang ke kampung masing-masing dengan membawa bersama-sama amalan berzanji ini. Kebiasaannya mereka menjadi guru serta imam-imam di masjid-masjid dan surau-surau. Mereka menerapkan amalan ini dalam masyarakat setempat. Di samping itu, dengan adanya galakan daripada Sultan dan pembesar-pembesar di negeri Perak, kesenian ini semakin berkembang secara meluas di seluruh negeri.
Terdapat kumpulan berzanji yang ditubuhkan khas oleh pihak istana dan kaum kerabat malahan pernah menjadi satu pengisian dalam majlis yang melibatkan adat istiadat Diraja. Perkembangan seni Berzanji ini banyak dipelopori oleh guru-guru al-Quran yang mana ia secara tidak langsung memberikan tunjuk ajar tentang seni bacaan al-Quran berlagu (Taranum) dan mengimarahkan kesenian Islam dalam konteks persembahan.
Kesenian Berzanji memainkan peranan penting dalam tradisi masyarakat Melayu sebagai elemen kerohanian dan budaya yang diamalkan dalam pelbagai majlis keagamaan dan sosial. Fungsi utama amalan ini adalah untuk menzahirkan kesyukuran, kegembiraan, memohon keselamatan, serta kesejahteraan. Ia juga menjadi medium untuk memperingati Rasulullah SAW dalam segenap amalan tradisi melayu seperti menyambut kelahiran bayi, majlis cukur jambul, majlis berkhatan, majlis perkahwinan dan sudah tentu ketika sambutan hari Maulidur Rasul.
Kesenian ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dilakukan. Namun begitu, atas inisiatif kumpulan yang menjalankan persembahan ini di dalam sesuatu majlis, mereka lazimnya akan bersepakat untuk memakai baju sedondon mengikut kesesuaian majlis yang diadakan. Bagi kumpulan wanita, mereka akan memakai Baju Kurung lengkap menutup aurat. Bagi kumpulan lelaki pula, mereka akan memakai set Baju Melayu lengkap bersongkok atau menggunakan Tanjak sebagai mempamerkan identiti budaya Melayu.
Kesenian Berzanji tidak mempunyai sebarang iringan alat muzik. Para pendendang akan berzanji secara beramai-ramai yang diketuai oleh satu orang ketua pendendang diikuti oleh sahutan daripada rakan-rakan pendendang Berzanji yang lain. Paduan suara tersebut menjadi irama khusus kepada kesenian ini. Ritma dan tempoh lagu tersebut lazimnya adalah mengikut cara nyanyian ketua pendendang.
Lirik Berzanji yang biasanya dipakai di Malaysia adalah merujuk kepada lirik daripada kitab Majmu’ah Mauludu Sharif al-Anam. Ia mengandungi lapan belas (18) rawi. Rawi adalah perenggan bagi setiap syair barzanji dengan pengkisahan yang berbeza. Pada setiap rawi mempunyai pengisian isi kandungannya yang tersendiri.
Rawi
Pengisian Isi Kandungan Kitab Berzanji
Pertama
Pendahuluan
Kedua
Nasab (keturunan Rasulullah SAW)
Ketiga
Rasulullah SAW di alam nur dan di alam roh
Keempat
Kelahiran Rasulullah SAW
Kelima
Keadaan Rasulullah SAW sewaktu lahir
Keenam
Peristiwa sewaktu Rasulullah SAW lahir ke dunia
Ketujuh
Penyusuan Rasulullah SAW
Kelapan
Sifat tubuh badan Rasulullah SAW
Kesembilan
Ibu dan datuk Rasulullah SAW meninggal dunia
Kesepuluh
Rasulullah SAW sebagai seorang pedagang
Kesebelas
Rasulullah SAW mengadili hajarul aswad
Kedua belas
Perlantikan Rasulullah SAW menjadi sebagai Rasul
Ketiga belas
Sahabat Rasulullah yang pertama
Keempat belas
Peristiwa Isra’ dan Mikraj
Kelima belas
Kisah kaum ansar
Keenam belas
Perpindahan Rasulullah SAW(peristiwa hijrah)
Ketujuh belas
Kesempurnaan seorang Rasulullah SAW
Kelapan belas
Akhlak Rasulullah SAW
Berzanji boleh sahaja dipersembahkan oleh golongan wanita mahupun lelaki. Namun, secara tradisinya di Malaysia, persembahan ini lebih sering dilakukan oleh wanita. Setiap kumpulan mempersembahkan dalam bentuk bulatan pada posisi duduk bersila. Jika duduk di atas kerusi, para pendedang akan mengatur posisi secara sebaris menghadap majlis dan begitu juga dalam posisi berdiri.
Persembahan dimulakan bacaan rawi pertama (pengenalan) secara beramai-ramai. Intonasi dan ritma nyanyian lazimnya adalah berlagu seperti dalam rentak Salawat. Kemudian pada rawi kedua hingga keempat, salah seorang daripada pendendang akan mengetuai beberapa baris bacaan secara solo diikuti dengan sahutan daripada rakan pendendang lain. Sahutan boleh saja mengulangi lirik yang didendangkan oleh solo ataupun menyahut dengan sebutan ”Allah” atau ”Salawat” ke atas nabi.
Setiap persembahan secara minimal akan mendendangkan rawi satu (1) hingga empat (4). Selebihnya terpulang kepada ahli kumpulan untuk meneruskan dendangan daripada rawi lima (5) hingga kelapan belas (18) mengikut kesesuaian majlis dan kemampuan kumpulan. Setelah selesai membacakan setiap rawi yang dipilih untuk didendangkan, persembahan akan ditutup dengan bacaan doa.
-
Bahan Bacaan
Abdul Ghaffar Abdul Quddus. (1993). Barzanji dan Konsep Amalannya di Nusantara. Kuala Terengganu: Penerbit Yayasan Islam Terengganu.
Abdul Rahman Rukaini. (1996). Barzanji: Rangkaian Kisah Nabi dalam Puisi Jaafar al-Barzanji. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abi Hamid Muhammad al-Ghazali. (1969). Al-Mujtahid al-Amin. Maktabah Matbacah al-Mustafa al-Halabi wa Auladah.
Abu Bakar Ya’cub. (1974). Makna al-Barzanji dan Pidato Memperingati Sejarah Nabi Muhammad SAW. Medan:Penerbit Firma Islamiyah.
Aziz Deraman dan Wan Ramli Wan Mohammad. (1994). Muzik dan Nyanyian Tradisi Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
https://doi.org/10.37231/jimk.2015.9.0.88
Samat, A. B., Tibek, S. R., & Muhamat, R. (2014). Tahap Pengetahuan dan Minat Remaja Terhadap Seni Barzanji dan Marhaban: Kajian di Kalangan Pelajar SMKA Negeri Johor. Sains Humanika, 66(1).
Samat@Darawi, A. B., Tibek, S. R., Muhamat@Kawangit, R., & Hamzah, A. R. (2015). [History and Contribution of Barzanji and Marhaban Practices in The Main Councils of Society] Sejarah serta Sumbangan Amalan Barzanji dan Marhaban dalam Majlis-Majlis Utama Masyarakat. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 9, 121-132.
Samat@Darawi, A. B., Tibek, S. R., Muhamata@Kawangit, R., & Hamzah, A. R. (2015). Sejarah Serta Sumbangan Amalan Barzanji Dan Marhaban Dalam Majlis-Majlis Utama Masyarakat. Jurnal Islam Dan Masyarakat Kontemporari, 9, 157.