Taboh merupakan salah satu kesenian muzik tradisional yang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak. Perkataan taboh bermaksud bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh alat muzik tradisional Iban. Alat-alat muzik ini terdiri daripada empat alat utama iaitu tawak, gendang, engkerumong dan bebendai.
Taboh dimainkan pada masa-masa tertentu seperti ketika perayaan Hari Gawai Dayak, ritual-ritual Gawai masyarakat Iban, ketika mendirikan rumah panjang baru, memberkati rumah panjang yang baru siap dibina, menghidupkan bulan gerhana, istiadat perkahwinan dan upacara memandikan anak kecil di sungai.
Taboh dibunyikan dalam rentak perlahan, sederhana dan agak pantas serta mempunyai melodi yang tidak sama. Ia bergantung kepada fungsi dan tujuan acara yang diadakan. Terdapat perbezaan melodi dan rentak antara Taboh Iban yang dimainkan di Kuching, Sri Aman, Betong, Saratok, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang. Selain dimainkan untuk menyambut keramaian seperti Gawai Dayak atau ritual Gawai yang lain. Taboh turut dimainkan semasa upacara Ngalu Petara iaitu bagi menyeru Petara (tuhan) supaya turun dari langit.
Pada masa kini, persembahan Taboh dimainkan untuk upacara gawai, upacara keramaian dan juga untuk acara menyambut tetamu yang hadir di rumah panjang.
Pemuzik lelaki memakai baju putih dengan anak baju (Baju Burung/Baju Kebat) yang bermotifkan budaya Iban serta memakai aksesori hiasan kepala (Ketapu).
Alat muzik yang digunakan untuk persembahan Taboh Iban adalah:
• Tawak atau gong
• Gendang atau ketebong
• Engkerumong (alat muzik yang diperbuat daripada tembaga)
• Bebendai (alat muzik yang diperbuat daripada tembaga)
Dayak Cultural Foundation (DCF)