TARIAN GOLEK-GOLEK ETNIK PORTUGIS
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Masyarakat Portugis merupakan etnik minoriti yang telah lama wujud di Melaka sejak awal abad ke-16. Pada awalnya mereka datang dengan tujuan untuk berdagang rempah ratus. Kemudian masyarakat ini menetap di sini dan berasimilasi dengan budaya tempatan melalui perkahwinan. Hasilnya lahirlah masyarakat Serani Portugis. Penempatan etnik ini adalah di Perkampungan Portugis Kampung Ujong Pasir, Banda Hilir, Melaka (Sa’adiah Ma’alip & Rahilah Omar, 2017).

Tarian Golek-Golek merupakan sebuah tarian kreasi baharu yang diilhamkan daripada lagu berjudul Serampa atau Golek-Golek ciptaan Senior Noel Felix, seorang pemuzik daripada etnik Portugis Melaka sekitar lima puluh tahun yang lepas. Tarian ini  ditarikan secara berpasang-pasangan. Golek-golek bermaksud ‘berpusing-pusing’ dalam suasana yang riang. Gerak tari dan pola lantai yang diketengahkan menggambarkan keceriaan. Lagu Golek-Golek ini bercirikan lenggok patah lagu Melayu sebagai simbol asimilasi seni budaya antara masyarakat Portugis dan Melayu.

Fungsi dan Peranan

Persembahan Tarian Golek-Golek ini sering diadakan semasa majlis rasmi kerajaan dan juga majlis keramaian.

Busana/ Aksesori

Busana tarian ini dikenali sebagai “Traje de Portuges Malaca”’ oleh masyarakat tempatan. Busana wanita terdiri daripada skaf yang menutupi kepala, blaus putih lengan pendek, anak baju, skirt labuh kembang beropol dan dilapisi apron. Sementara bahagian dalam skirt mempunyai seluar khas hingga ke paras lutut berhias renda. Busana lelaki lebih ringkas bagi memudahkan pergerakan iaitu baju kemeja berlengan panjang berwarna putih, berseluar panjang hitam berhias pita emas di sisi, beropol, skaf di leher, bertopi hitam dan memakai kasut kulit hitam. Versi merah dianggap sebagai versi gembira dan dipakai oleh wanita yang lebih muda. Versi biru atau hijau dipakai pada masa separa berkabung atau kesedihan, seperti ketiadaan orang tersayang dan juga dipakai oleh wanita yang lebih tua.

Tokoh dan Pencapaian

Marina Linda Danker telah berkecimpung dalam bidang kesenian etnik Portugis melebihi 40 tahun. Beliau berusia 57 tahun dan masih aktif dalam memperjuangkan seni dan budaya etnik Portugis. Antara sumbangannya adalah mendidik generasi pelapis dalam bidang tarian dan muzik dengan menubuhkan  kumpulan “Troupe De Melaka”  yang kini dikenali sebagai “Troupe De Dom Marina” bermula pada tahun 2005 sehingga kini. Beliau juga telah banyak menjayakan program seperti Pameran Warna Warni Pelamin Malaysia di Muzium Terengganu, Pesta Budaya Melaka, serta Persembahan Malam Kebudayaan Tarian dan Muzik Portugis di Dewan Bangsawan Melaka. Sehingga kini, beliau masih aktif dalam mengembangkan warisan Portugis di Melaka dan sering diundang mengadakan persembahan kesenian di dalam dan luar negara.

Sumber Rujukan

  i.        Bahan Bacaan

Katalog Artis Budaya Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Melaka. (2020).

Sa’adiah, M. A., & Omar, R. (2017). Penggunaan Kristang sebagai bahasa komunikasi dalam kalangan masyarakat portugis di Melaka.

  ii.      Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Marina Linda Danker. (2023). Troupe De Dom Marina. Temubual pada 20 September 2023.

Lokasi