Kelundang bermaksud ‘kayu’. Pada asalnya, Tarian Sewang
Kelundang adalah cara perubatan orang asli dan tidak mempunyai penari khusus,
tetapi lama-kelamaan tarian diselitkan kerana semakin ramai orang menyaksikan
upacara pengubatan ini. Pengubatan
melalui cara Tarian Sewang Kelundang bukan saja diamalkan oleh suku kaum Jakun
tetapi juga oleh Suku Kaum Semai dan Temiar. Suku Kaum Jakun akan menggunakan
kayu kelundang tetapi Suku Kaum Semai dan Temiar akan menggunakan buluh. Walau bagaimanapun, seni kata lagu adalah mengikut dialek
masing-masing. Ilmu pembomohan melalui cara Tarian Sewang Kelundang diperolehi
melalui dua cara, pembelajaran dan warisan. Namun begitu, bomoh yang handal
adalah mereka yang mewarisi ilmu pembomohan atau diperturunkan daripada generasi
dahulu.
Kayu Panjang diketuk beramai-ramai bagi menghasilkan
bunyi dan irama. Dua batang kayu dipegang oleh setiap penari dan diketuk
beramai-ramai pada kayu Panjang. Proses perubatan melalui tarian Sewang
Kelundang mengambil masa yang agak lama dan kadangkala sepanjang malam. Kayu
yang digunakan pula tidak boleh kayu sembarangan dan mesti menggunakan kayu
’batang peruan’.
Tarian Sewang Kelundang melibatkan sekurang-kurangnya
lima orang penari lelaki dan perempuan dan seorang bomoh yang disusun secara
berselang-seli. Daun palas dianyam yang dinamakan jari lipan akan dipakai
diatas kepala bomoh dan juga penari. Seni kata lagu agak panjang dan bergantung
kepada masa yang diambil semasa proses pengubatan.
Dek kerana peredaran zaman, kini Tarian Kelundang telah
dikomersialkan kepada seni persembahan tarian selamat datang kepada para
pengunjung yang melancong dan melawat penempatan Orang Asli Suku Kaum Jakun, di
Perkampungan Orang Asli Gumum, Tasik Chini, Pahang. Manakala batang pokok kelundang yang telah dipotong dua kaki akan
digantung pada pemegang seperti kaki gong. Ketukan pada batang pokok kelundang
akan mengeluarkan bunyi sebagai muzik iringan ketika persembahan tarian ini
diadakan. Tarian ini dicipta daripada gerakan asas tarian Sewang yang disertai
sekurang-kurangnya 15 orang termasuk penari, pemuzik dan penyanyi. Pola
lantainya ringkas iaitu bulatan dan memanjang. Ketika persembahan, penyanyi
akan menyanyi dalam bahasa Orang Asli Suku Kaum Jakun yang mengandungi
pantun-pantun bagi meraikan pengunjung dan menceritakan keindahan Tasik Chini.
TAJUK LAGU: SELAMAT DATANG
Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pokok tualang
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah merafak tuan yang datang
Bukan batang sebarang batang
Batang bercabang batang di hutan
Dari jauhlah kami datang
Tari Kelundang kami sajikan
Bukan tasik sebarang tasik
Tasik Chini nama diberi
Bukan tasik sebarang tasik
Tempat bertapa naga misteri
Betapa tinggi Gunung Tahan
Orang berdayung ke Kuala Bera
Mari bersama kita amalkan
Berbudi bahasa budaya kita
Bukit Temakang Bukit Gelugor
Nampak dari Tasik Chini
Tuan yang datang kami menghibur
Bilakah kita berjumpa lagi
Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pohon buluh
Bukan sembah sebarang sembah
Sembah menyusun jari sepuluh
Seni Persembahan
Penari Tarian Kelundang lelaki dan wanita memakai baju
berwarna seragam. Aksesori yang dipakai menggunakan daun palas yang dianyam dan
dinamakan jari lipan. Ia akan dipakai di bahagian atas kepala dan pinggang.
Batang pokok kelundang yang telah dipotong berukuran dua
kaki dan digantung pada pemegang seperti kaki gong.
Tarian ini dicipta daripada gerakan asas tarian Sewang
yang disertai sekurang-kurangnya 15 orang termasuk penari, pemuzik dan
penyanyi.
Pola lantainya ringkas iaitu bulatan dan memanjang.
i. Bahan Bacaan
Mohd
Mokhtar bin Bakar. (2003). Eksedisi Berakit Sungai
Pahang 2003. Pahang : Perbadanan kemajuan Bukit Fraser (Pelancongan Budaya)
Man, Z., Ne, Y. E., & Melai, A. K.
(2019). Penyertaan orang Asli dalam aktiviti eko-pelancongan di Tasik Chini,
Pahang, Malaysia. Malaysian Journal of Society
and Space, 15(4), 50-63.
Yana Liana. (2014). Tarian Kelundang: blogspot: muat
turun pada 29 Oktober 2014 daripada
https://yanapiz.blogspot.com/2014/10/tarian-kelundang.html
ii. Tokoh (jika ada temu bual tokoh) : Nubi bin Sia