MUZIK ASLI
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Muzik Asli merupakan muzik yang terdengar sayup, mendayu atau sedih. Ia mempunyai tempo yang perlahan, bunyi muziknya juga perlahan dan lembut. Lirik dalam lagu-lagu asli ini lazimnya menggunakan pantun yang berkait dengan sejarah lama seperti lagu Seri Mersing, Siti Payung dan Laksamana Mati Dibunuh. Ada juga yang berkenaan dengan cinta seperti lagu Selasihku Sayang dan Gurindam Jiwa.

Penyanyi atau pemain violin memainkan peranan yang penting dalam persembahan lagu-lagu asli. Penyanyi atau pemain violin itu akan menyanyikan atau memainkan melodi utama sambil diiringi oleh alat-alat muzik yang lain, seperti rebana. Lagu asli tidak senang untuk dinyanyikan kerana ia memerlukan penguasaan suara dan teknik nyanyian serta pernafasan yang betul. Nyanyian lagu Melayu Asli menggunakan rangkap pantun Melayu sebagai lirik bagi menyampaikan maksud dan kandungan lagunya.

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, Muzik Asli Terengganu sering diputarkan di radio dan juga di kaca televisyen, setiap kali program berkonsepkan lagu-lagu warisan dimainkan. Persembahan Muzik Asli Terengganu juga mengisi permintaan bagi acara persembahan kesenian dan juga untuk pertandingan nyanyian.

Tokoh dan Pencapaian

Puan Habsah binti Khatib Jusoh atau lebih di kenali sebagai Ma Hafsah mula mengangkat nama negeri Terengganu dalam pelbagai pertandingan seni suara terutama dalam kategori lagu asli di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

Pencapaian:

Puan Habsah Jusoh mula menyanyi sejak tahun 1957 dan telah memenangi pelbagai pertandingan, antaranya:   Johan Pertandingan Lagu Asli RTM (1970), Johan Pertandingan Dendang Rakyat (1980), Johan Pertandingan Nyanyian lagu P.Ramlee peringkat Negeri Terengganu (1993), Naib Johan Nyanyian Lagu Asli dan Langgam MAKSAK  Malaysia (1999) di Pulau Pinang, Johan Lagu-lagu Asli Kawasan Timur (1999), Johan Pertandingan Lagu P. Ramlee RTM Kawasan Timur (2000), Johan Nyanyian Lagu Asli MAKSAK Malaysia di Melaka (2001), membuat persembahan di beberapa majlis penting seperti Malam Menjunjung Kasih Bersama DYMM Permaisuri Terengganu (2001) dan Festival Tari (2002-2003).

Lagu nyanyian beliau yang popular dan telah diadaptasi ke drama televisyen ialah Selasihku Sayang. Album CD Dendang Rakyat Terengganu nyanyiannya turut dimuatkan lagu-lagu rakyat Terengganu, antaranya Ulik Mayang, Anak Udang, Anak Burung Baniong, Itik Gembo-Gembo dan Ayun Buai Kokek. Di antara anak didik beliau ialah Mohd Edy Nazren Hamzah dan Mohd Najib Hamzah (Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan) dan anaknya sendiri, Kuna.

Sumber Rujukan

      i.   CD terbitan oleh JKKN pada tahun 2003 berjudul Dendang Rakyat Terengganu

    ii.   Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

-       Hafsah binti Khatib Jusoh (Tokoh)

-       Wan Salmah binti Wan Sulaiman (Tokoh) -019-9246688

-       Mustafa Bin Mohd (Penyanyi lagu-lagu asli) – (013-9331445)

-       Mohd Edie Nazrin Bin Hamzah–(Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2006) -(012-9849892)

-      Mohd Najib Hamzah (Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2007) - (017-3089899)

Lokasi