TARIAN ZAPIN GHALIT
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Umumnya, tarian Zapin lebih dikenali di negeri Johor Darul Takzim. Namun begitu, negeri Kedah Darul Aman juga tidak ketinggalan dengan perkembangan tarian Zapin, khususnya menerusi penciptaan Zapin Ghalit atau Ghalet. Dalam dialek Kedah, Ghalit bermaksud khayal, lalai, asyik atau pun leka. Oleh itu, koreografi  Zapin Ghalit tepat memaparkan gerak tari yang bercerita mengenai manusia yang selalu asyik dan leka dalam kehidupan.     

Perkataan zapin berasal dari bahasa Arab iaitu kata ”Zafn” ( kata kerja ) beerti pergerakan kaki yang cepat mengikut rentak ataupun menari ( Zafana ). Ianya berpengaruh dari Arab dan bersifat edukatif ( bersifat mendidik/ memberikan pelajaran ) dan digunakan sebagai media dakwah islamiah melalui syair, lagu-lagu, zapin yang didendangkan.

Tarian ini asalnya sebagai tarian hiburan di istana setelah dibawa dari Hadramaut, Yaman oleh para pedagang Arab yang berlayar ke kesultanan Johor pada awal abad ke-16. Pada permulaannya hanya golongan lelaki sahaja yang menyertai tarian ini, tetapi telah dimodifikasikan dengan penyertaan kaum wanita. Tarian zapin antara salah satu jenis tarian rakyat tradisional masyarakat Melayu dalam kepulauan Nusantara terutamanya di Semenanjung Tanah Melayu.

Penghijrahan besar-besaran orang Yaman ke Johor ke abad-19 turut menguatkan lagi pengaruh budaya Arab dalam negeri tersebut dan mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang lebih tradisional dan terbahagi kepada dua iaitu Zapin Arab dan Zapin Melayu.

Fungsi dan Peranan

Tarian ini sering dipersembahkan ketika majlis keramaian dan acara-acara keraian yang mempamerkan identiti seni budaya dan warisan di negeri Kedah dan juga di seluruh negara.

Busana/ Aksesori

Penari lelaki memakai kain songket baju Melayu cekak musang dengan kain samping berdagang luar. Penari wanita pula memakai baju kurung teluk belanga serta turut memakai kain samping. Lelaki memakai songkok berkerongsang dan wanita pula memakai rantai kerongsang dan cucuk sanggul sebagai hiasan di kepala.

Peralatan/ Bahan-Bahan

-       Gendang

-       Kerincing

-       Accordion

-       Violin

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Dalam persembahan zapin ini terdapat tiga gerak asas dan diakhiri dengan gerakan wainab sebagai penutup tarian. Tiga gerak asas tersebut adalah ditarikan oleh lelaki dan wanita, walaubagaimanapun perbezaannya hanya terletak pada fitrah semula jadi jantina kedua-dua penari.

 

Tokoh dan Pencapaian

Tarian Zapin Ghalit dicipta oleh seorang koreografer kelahiran negeri Kedah iaitu Wan Mohd Nor bin Wan Alam atau lebih dikenali sebagai Wan Nor Alam.

Zapin Ghalit ini juga merupakan satu-satunya lagu zapin yang tidak mempunyai paluan gong. Rentak gendangnya juga lebih mirip kepada muzik pergendangan Hadrah. Melodi lagunya mempunyai pengaruh Arab, tidak seperti tarian zapin biasa. Gerak tarinya menampilkan banyak ‘ragam menunggu’ (penari berada dalam posisi statik), dan geraknya juga lebih perlahan.

 Ilham untuk mencipta tarian Zapin Ghalit tercetus semasa Wan Nor Alam berada di Bangkok pada tahun 1999 ketika bersama dengan Badan Kesenian Negeri Kedah untuk mempromosikan seni budaya Malaysia.

Antara pencapaiannya ialah ;- 

1.    Johan di dalam Festival Tari Kebangsaan 1999 (BKNK)

2.    Johan Zapin Festival ( FesZan ) 2007 ( UPM )

3.    Johan Tarian Tradisional ( Tari Malaysia ) 2014 Peringkat Negeri Kelantan ( Le ’ Waris )

4.    Penari Wanita Terbaik di Zapin Festival ( FesZan) 2007 ( UPM )

5.    Persembahan terbaik di Zapin Festival ( FesZan) 2007 ( UPM )

6.    Busana terbaik di Zapin Festival ( FesZan) 2007 ( UPM )

7.    Penari wanita terbaik di Pertandingan Tarian Zapin Anjuran Universiti Malaysia Sabah ( Permata Tari Sabah )

8.    Juara Festival Tari Malaysia 2019 ( Tagap Dance Theatre Sabah )

9.    Johan Festival Tari 2001 dari Kumpulan Wilayah Persekutuan.

Sumber Rujukan

      i.        Tokoh:

 Encik Wan Mohd Nor bin Wan Alam

Lokasi