PERSEMBAHAN TUMBUK KALANG
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tumbuk Kalang dikategorikan sebagai muzik tradisional Negeri Sembilan dan dahulunya dijadikan sebagai permainan rakyat di Negeri Sembilan. Terkenal khususnya di daerah Tampin, Inas, Gunung Pasir dan Rembau, Tumbuk Kalang dimainkan oleh golongan pesawah ketika mengemping padi terutama pada waktu malam bulan mengambang. Setelah penat menuai dan membanting padi pada siang hari, mereka berkumpul untuk mengemping padi, sambil menikmati irama Tumbuk Kalang. Biasanya mereka akan berpantun dan lagu-lagu yang biasa dinyanyikan ialah lagu tumbuk emping, kuda berontak, petang-petang dan gogar bacang

Fungsi dan Peranan

Persembahan Tumbuk Kalang kini sering dipersembah dalam majlis keramaian dan acara seni budaya di Negeri Sembilan.

Semoga keunikan Tumbuk Kalang yang merupakan muzik tradisional Negeri Sembilan akan terus kekal sebagai warisan seni budaya Negeri Sembilan dan dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

Busana/ Aksesori

Busana yang dipakai semasa persembahan Tumbuk Kalang adalah pakaian tradisional Negeri Sembilan. Kaum perempuan memakai kebaya setengah tiang dengan telepuk dan lelaki memakai baju Melayu lengkap bersampin dan berdestar. 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Lesung dan antan untuk permainan Tumbuk Kalang ini diperbuat daripada kayu merbau atau halban kerana kayunya keras dan boleh menghasilkan bunyi yang lantang. Setiap tumbukan di bahagian lesung akan menghasilkan bunyi yang berbeza. Tumbukan di hujung kiri lesung dinamakan mencincang, bunyinya tetap dan satu-satu, manakala tumbukan di hujung kanan yang tidak tetap dipanggil menganak ataupun meningkah. Di sebelah tepi kiri atau kanan badan lesung pula dipanggil mengibu, di mana tumbukan mengibu adalah tumbukan yang penting kerana tumbukan itu tumbukan penentuan bagi lagu-lagu yang dimainkan. Manakala yang terakhir ialah tumbukan di lubang atau tepi lubang lesung yang dipanggil ‘keriket’ untuk mengindahkan irama lagu.

Tokoh dan Pencapaian

Tuan Haji Bahari Bin Silong merupakan penerima Anugerah Karyawan Seni Budaya 2016 daripada JKKN Negeri Sembilan. Beliau berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang muzik tradisional Negeri Sembilan dan menjadi tempat rujukan para pelajar sekolah dan juga universiti.

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

ii.    Tokoh: Tuan Haji Bahari Bin Silong 

Lokasi