NASI AMBENG
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Nasi Ambeng adalah hidangan khas masyarakat Jawa berupa nasi putih yang diletakkan di atas talam dan dihidangkan bersama lauk-pauk di sekelilingnya. Berbeza dengan hidangan nasi biasa, Nasi Ambeng biasanya disajikan bersama aneka lauk-pauk dimasak kering seperti ikan masin bulu ayam, serunding kelapa, kacang goreng, sambal goreng Jawa, mee goreng, ayam masak kicap atau ayam masak ungkep. Sesetengah tempat turut menghidangkan rempeyek, telur rebus, dan opor ayam. Nasi Ambeng sering dihidangkan dalam majlis-majlis kenduri, majlis tahlil (berkat) dan keramaian masyarakat berketurunan Jawa di negeri Selangor dan Johor.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahan masakan menu Nasi Ambeng:

Serunding kelapa:

·         2 biji kelapa parut

·         1 inci kunyit hidup

·         4 sudu makan cili kering kisar

·         Segenggam ikan bilis

·         4 batang serai

·         5 ulas bawang putih

·         2 biji bawang besar

·         1 sudu makan ketumbar

·         1 sudu teh jintan manis

·         1 sudu teh jintan putih

·         Sedikit asam jawa

·         Garam dan gula secukupnya

 

Sambal jawa:

·         3 keping tempe

·         Kacang panjang dihiris serong (ikut banyak mana)

·         3 biji tauhu (potong dadu)

·         Suhun (rendam)

·         Tauhu kering (rendam)

·         8 biji kentang (potong 4 dan dihiris sedang-sedang, tidak terlalu nipis)

·         5 ulas bawang putih

·         3 biji bawang besar

·         Segenggam ikan bilis

·         Cili kering dikisar

·         Cili besar merah dihiris

·         Kicap

·         Garam secukupnya


Ayam masak kicap:

·         Ayam potong 4 (majlis tahlil / berkat)

·         2 inci halia

·         Sedikit serbuk kunyit

·         Kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga

·         2 labu bawang putih

·         10 biji atau lebih bawang besar

·         2 senduk cili kering kisar

·         Kicap

·         Lada sulah

·         Garam secukupnya

·         Bawang besar potong bulat

·         Cili merah belah tengah

·         Mee atau bihun goreng dan nasi putih yang dimasak bersama daun pandan.

·         Ikan masin goreng

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara–cara memasak:

Serunding kelapa:

·         Kisar bawang putih, bawang merah, ikan bilis, kunyit hidup, serai, ketumbar, jintan manis dan putih.

·         Tumiskan semua bahan kisar dan cili kering.

·         Apabila rempah sudah agak masak, masukkkan garam, gula dan asam jawa. Gula dilebihkan sedikit kerana serunding ini ada rasa pedas manis.

·         Selepas itu, masukkan kelapa parut.

·         Gaul sehingga sebati.

·         Perlu kerap dikacau hingga kelapa parut agak kering. Lebih sedap jika lembab sedikit.


Sambal jawa:

·         Goreng tempe, tauhu dan kentang.

·         Suhun dan tauhu kering dipotong.

·         Tumis bawang putih, bawang merah dan ikan bilis yang dikisar.

·         Masukkan cili kering.

·         Tumis sehingga pecah minyak.

·         Masukkan kicap.

·         Kemudian, masukkan tauhu kering, suhun dan kacang panjang.

·         Masukkan tempe, tauhu dan kentang.

·         Gaul hingga sebati.

·         Masukkan cili merah hiris.

·         Perasakan dengan garam dan gula.

 

Siap untuk dihidangkan

 

Nota: Boleh juga tambahkan bahan lain seperti hati dan pedal ayam, udang dan lobak. Terpulang kepada selera masing-masing.


Ayam masak kicap:

·         Garam kunyitkan ayam terlebih dahulu dan goreng.

·         Selepas itu, bolehlah ditumis rempahnya.

·         Masukkan kayu manis, pelaga dan bunga lawang.

·         Masukkkan halia, bawang putih dan bawang merah yang dikisar.

·         Letak serbuk kunyit sesudu kecil.

·         Masukkan juga cili kering.

·         Tumis hingga pecah minyak.

·         Letakkan sedikit lada sulah.

·         Masukkan kicap.

·         Apabila rempah agak masak, masukkan ayam dan sebatikan.

·         Kemudian, bolehlah diperasakan dengan garam.

·         Akhir sekali, masukkan bawang potong bulat dan cili merah.

 

Nota: Masak kicap ini memang kuah agak pekat dan 

         dibiarkan menjadi sedikit kering.

 

Nasi Ambeng juga menjadi menu pilihan utama di restoran-restoran yang menyediakan menu ini untuk dinikmati oleh pelanggan di dalam dan luar negara.

Sumber Rujukan

·         Bahan Bacaan

i.      Rosdi F.N (2019) Persepsi Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan Terhadap Nasi Ambeng Sebagi Makanan Tradisi Masyarakat Jawa (Doctoral dissertation, Universiti Malaysia Kelantan)

ii.    Buku Teks Bahasa Melayu Tahun 2 Jikid 1 Muka surat 65

iii.   Buku Dapur Selangor, Terbitan Wanita Berdaya Selangor, 2023 Penulis: Farah Azlin Yusof , Aiman Faris, Farhana Fikri

iv.   Nasi Ambeng Selangor- Buku Program PADAT

v.    Himpunan Masakan Jawa – Terbitan Karangkraf

 

Tokoh: Rakaman Temu bual dengan Haji Basir bin Wagiman, Pengusaha Nasi Ambeng pada 24/9/20924 di Pusat Aktiviti Homestay Banghuris Sungai Pelek, Sepang, Selangor


Sumber: Rakaman video Penyediaan Nasi Ambeng bertempat di Pantai Bagan Lalang pada 24/9/2023


Sumber : Rakaman Temu bual dengan Haji Basir bin Wagiman pada 24/9/2023 di Pusat aktiviti Homestay Banghuris Sungai Pelek, Sepang. Selangor

Lokasi