TOSE
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Tose merupakan makanan tradisi kaum India yang juga dikenali sebagai dosa, dosay, dose, dosai, dhosha, thosai ataupun chakuli. Tose juga mempunyai jenis-jenis yang berlainan seperti tose telur, tose cili, tose bawang dan sebagainya. Makanan tradisional ini sering dimakan oleh rakyat Malaysia terutamanya kaum India. Tose dimakan sebagai sarapan pagi atau makan malam dan ia kaya dengan karbohidrat dan protein.

Tose adalah salah satu makanan tradisi yang menjadi santapan dan hidangan kegemaran masyarakat berbilang kaum di negara ini. Tose boleh dimakan dengan pelbagai jenis lauk sampingan. Contohnya sambal rojak buah-buahan, acar India, kari ayam atau daging kambing, kuah dalca dan lain-lain kuah. Sekeping Tose boleh diisi dengan kentang dan bawang goreng yang rangup. 

Hidangan ini mempunyai keunikan tersendiri bukan sahaja dari segi penyediaannya, malah juga dari segi rasa dan teksturnya. Ia amat mudah untuk disediakan dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga sebagai makanan ruji ataupun sekadar makanan sampingan. Oleh kerana teksturnya yang agak rangup dan ringan serta senang dikunyah dan dihadam, hidangan ini menjadi kegemaran ramai tanpa mengira kaum dan peringkat umur.

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, Tose menjadi menu piihan semua kaum di Malaysia, dan ia sangat mudah didapati di restoran-restoran mamak dan India Muslim. 

Peralatan/ Bahan-Bahan

·         2 cawan nasi sejuk

·         1 cawan tepung beras

·         1 sudu halba

·         1 cawan kacang putih

·         Garam secukupnya

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

1. Rendam kesemua bahan di atas, kemudian kisar sehingga halus.
2. Masukkan sedikit air, kira-kira 1 inci melebihi bahan-bahan ini, dan perasakan dengan garam secukupnya.
3. Perap semalaman dalam suhu bilik.
4. Panaskan kuali yang leper atau kuali yang tidak melekat.
5. Sapukan minyak sekali lalu dan tuang sesenduk adunan bahan ke atas kuali. Ratakan menggunakan belakang senduk.
6. Biarkan sehingga seluruh bahagian adunan masak.
7. Angkat dan hidangkan panas-panas.

Sumber Rujukan

      i.        Bahan Bacaan

·         Buku Makanan Warisan Malaysia – Resepi Masakan Autentik dan Tradisional oleh Kalsom Taib & Hamidah Abdul Hamid terbitan Kalsom Taib Publishing

·         Buku Food of ASEAN 6 Chief Editor Professor Dr. Mohd Ismail Noor (Malaysia) terbitan Kuala Lumpur ASEAN-COCI (Culture) Malaysia 2000

·         Cara-Cara Masak Tosai Sedap Secara Homemade – RASA

https://www.rasa.my/cara-cara-masak-tosai-sedap-secara-homemade/

Lokasi