TEATER TRADISIONAL RANDAI
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Randai berasal daripada perkataan merandai yang bererti mengarang atau melingkari suatu kawasan lapang untuk mencari sesuatu yang hilang. Terdapat pelbagai versi tentang asal-usul kesenian Randai ini. Randai dipercayai bermula dari satu cabang seni masyarakat Minangkabau Sumatera, di Indonesia, sebelum tersebar luas melalui penghijrahan masyarakat Minang ke Negeri Sembilan, Malaysia.

 

        Randai menggabungkan elemen tari, muzik, jenaka dan lakonan dalam setiap persembahannya. Setiap gerak lakonnya bergerak di atas pola bulatan dengan diiringi gerak seni bela diri, tarian rakyat dan juga nyanyian. Berbeza dengan Randai di Sumatera Barat, Randai di Negeri Sembilan mengandungi lagu wajib seperti lagu buka gelanggang iaitu lagu Budu Landai, Cantik Manis dan Anak Bocek. Persembahan Randai disertai oleh lebih kurang 20 orang anak randai yang akan menyampaikan cerita atau ‘kaba’ dan ‘bakaba’ (bercerita dalam bentuk kiasan dan perumpamaan).

Fungsi dan Peranan

Pada masa kini, Randai sering dipersembah dalam  majlis dan acara rasmi Kerajaan Negeri juga untuk tontonan masyarakat. Semoga keunikan teater tradisional Randai ini akan terus kekal sebagai warisan seni budaya dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Busana/ Aksesori

Pada masa kini, teater Randai dimainkan oleh ‘anak randai’ lelaki dan wanita yang memakai busana masyarakat Minang. Mereka juga memakai seluar gelembung yang berfungsi menghasilkan bunyi tepukan. 

Tokoh dan Pencapaian

Encik Kamarul bin Ibrahim merupakan penerima Anugerah Penggiat Seni Tari tahun 2013 oleh JKKN Negeri Sembilan. Beliau merupakan seorang pengarah teater, muzik dan tari yang berpengalaman selama 52 tahun dalam mengadakan persembahan di dalam dan luar negeri.

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

ii.    Tokoh: En Kamarul Bin Ibrahim

Lokasi