Bharatanatyam
adalah tarian tradisional masyarakat Tamil dari negeri Tamil Nadu, India.
Istilah “bharatanatyam” berasal daripada gabungan suku kata “bha” (bhava,
ekspresi), “ra” (raga, muzik), “ta” (tala, ritma) dan “natyam” (seni tarian
dramatik). Istilah ini mula dipelopori
oleh seorang guru tarian bernama E Krishna Iyer di India pada pertengahan tahun
1930-an, dan seterusnya dikembangkan oleh seorang lagi guru tarian bernama
Rukminidevi Arundale.
Teknik tarian
Bharatanatyam adalah berasaskan teks Natyashastra yang dianggap sebagai manual
rasmi bagi semua seni drama, tarian dan muzik tradisional di negara India. Teks
Natyashastra ditulis oleh Bharata Muni lebih 2500 tahun dahulu.
Menurut sejarah
asalnya, tarian Bharatanatyam hanya ditarikan oleh devadasi iaitu
golongan gadis yang menghambakan diri kepada dewa-dewa dan kuil, yang telah
berikrar tidak akan berkahwin sepanjang hayat. Golongan gadis devadasi
ini membuat persembahan tarian Bharatanatyam di kuil untuk menunjukkan cinta
mereka terhadap dewa yang dipuja.
Tarian Bharatanatyam sering dipersembah dalam acara
keagamaan Hindu dan juga sempena majlis keramaian berkaitan seni budaya dan
warisan anjuran kerajaan dan pihak swasta.
Penari Bharatanatyam memakai sari yang berwarna terang dan cantik. Penari juga memakai gelang kaki yang mengandungi 40 biji loceng di kiri dan kanan yang dinamakan Selangai atau Ghungroos. Selain itu, perhiasan Bait Suci yang terdiri daripada rantai panjang dan gelang emas yang dinamakan bangles juga dipakai. Aksesori lain adalah subang telinga dan hidung beserta hiasan di kepala seperti Matha Patti, Maang Tikka, dan Jhumar yang dipakai di tengah kepala dan menjulur ke dahi. Pottu atau Bindi dijadikan sebagai tanda di dahi dengan mengenakan solekan tebal terutama di bahagian alis mata.
Terdapat juga beberapa jenis alat muzik yang dimainkan
semasa mempersembah tarian Bharatanatyam ini iaitu dholak, tabla, sitar
dan tambura. Dholak ialah sejenis alat gendang dua muka berbentuk
tong yang dikategorikan sebagai alat membranofon, begitu juga dengan tabla.
Sitar dan tambura juga merupakan alat-alat muzik dalam keluarga
membranofon. Walau bagaimanapun, persembahan tarian Bharatanatyam pada masa kini
sering menggunakan muzik yang dirakam terlebih dahulu.
i. Bahan Bacaan : Di Sebalik Tarian Klasik Brathanatyam,
https://kata malaysia.my
Bharatanatyam, Tarian Tradisional Tamil, https://uthayasb.blogspot.com
Menjejaki Seni Tarian Suku Kaum Masyarakat India,
https:jslim.uitm.edu.my