TARIAN ZAPIN KORES
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Zapin Kores merupakan salah satu warisan seni zapin Melayu yang unik dan berasal dari Kampung Kores, Batu Pahat, Johor. Nama "Kores" berasal daripada istilah yang menggambarkan lekok-lekok sungai yang menyerupai bentuk lok keris. Kesenian ini menggambarkan kesinambungan tradisi yang diolah berdasarkan nilai estetika tempatan.


Zapin Kores diperkenalkan oleh Haji Husin Ahmad yang mempelajari seni zapin daripada seorang penduduk kampung, Dollah Pak Besar. Dollah Pak Besar, seorang peniaga buah pinang, kerap berulang-alik ke Sumatera, Indonesia untuk urusan perniagaan. Semasa lawatannya, beliau sempat mendalami seni zapin di sana dan membawanya pulang ke Kampung Kores dengan variasi serta gaya yang disesuaikan dengan konteks budaya setempat.


Fungsi dan Peranan

Tarian Zapin Kores berperanan sebagai medium hiburan tradisional yang penting dalam komuniti Kampung Kores. Tarian ini biasanya dipersembahkan dalam majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan hari kebesaran, dan acara komuniti. Selain itu, ia turut berfungsi sebagai medium pendidikan budaya untuk generasi muda, memperkenalkan mereka kepada keindahan dan nilai seni tradisional zapin.

Busana/ Aksesori

Penari Zapin Kores mengenakan pakaian tradisional Melayu seperti baju Melayu Teluk Belanga lengkap bersamping untuk lelaki, dan baju kurung berkain dagang untuk wanita. Warna busana biasanya terang atau berwarna-warni bagi menyerlahkan semangat tarian. Sebagai aksesori, penari lelaki memakai songkok hitam manakala penari wanita dihiasi dengan kain dagang.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik iringan: Gambus, marwas, rebana, dan biola

Kostum: Baju Melayu bersamping, baju kurung, songkok, dan kain dagang


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Zapin Kores menonjolkan beberapa ragam unik dalam gerak tariannya, termasuk:

Langkah Satu: Pergerakan asas dalam formasi tari.

Langkah Tak Jadi: Pergerakan melangkah yang ditarik semula seperti ’tak jadi melangkah’.

Langkah Pusing Melayang: Pergerakan seperti Langkah Satu dengan putaran tubuh badan pada pertengahan langkahan.

Langkah Siku Keluang: Pergerakan seperti variasi Langkah tak Jadi dengan kedua belah tangan menyiku ke samping.

Keistimewaan tarian ini terletak pada pergerakan kaki kiri yang ‘menyangkut’ betis kanan pada kiraan empat. Pada bahagian akhir tarian ketika wainab (penutup), penari biasanya bertinggung dengan sebelah kaki disimpuhkan.


Tarian ini diiringi dengan lagu-lagu zapin tradisional seperti:

Lancang Kuning

Gunung Banang

Hari Ribut


Tokoh dan Pencapaian

Haji Husin Ahmad, pengasas Zapin Kores, memainkan peranan penting dalam mengekalkan seni ini sebagai warisan budaya Kampung Kores. Beliau mewarisi ilmu seni tari ini daripada Dollah Pak Besar, yang juga seorang tokoh budaya penting. Usaha kedua-dua individu ini telah memastikan tarian Zapin Kores terus diwariskan kepada generasi berikutnya. Antara penggiat yang masih meneruskan permainan Zapin Kores ialah Tn. Haji Bidin bin Mahat, yang tampil dengan variasi langkah sedikit berbeza dengan versi Tn. Haji Husin.

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Mustaffa, N., & Idris, M. Z. (2017). Accessing Accuracy of Structural Performance on Basic Steps in Recording Malay Zapin Dance Movement Using Motion Capture Accessing Accuracy of Structural Performance on Basic Steps in Recording Malay Zapin Dance Movement Using Motion Capture. Journal of Applied Environmental and Biological Sciences, 8, 165-73.

Nor, M. A. M. (2020). Eclecticism and syncretic traditions: the making of Malay folk dance. In Sharing Identities (pp. 37-55). Routledge India.

Bari, M. H. A., bin Samsuddin, M. E., & Kahn, S. M. (2021). PELESTARIAN DAN PEMARTABATAN ZAPIN JOHOR SEBAGAI WARISAN TERBILANG. JURNAL MELAYU SEDUNIA, 4(1), 75-113.

Nusantara Performing Arts Research Center. (2022, 28 Mei). Siri Pengabsahan Zapin Johor - Zapin Koris I & Zapin Koris II [Video]. YouTube. https://youtu.be/EsDVZUZAKE0?si=Fbg87V_jt7_rmAZn


Tokoh: Haji Husin Ahmad (Temubual) & Bidin bin Mahat 


Lokasi