TARIAN MELENGGOK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Tarian Melenggok merupakan tarian tradisional bagi masyarakat Cocos iaitu etnik minoriti di Sabah yang kebanyakannya mendiami daerah Tawau dan Lahad Datu. Mengikut sejarah, tarian ini berasal dari Kepulauan Cocos (Keeling), Australia yang mempunyai sejarah migrasi panjang serta hubungan erat dengan masyarakat tempatan di Sabah pada awal abad ke-20 (Romtie et al., 2021). Tarian ini khusus ditarikan oleh penari lelaki sahaja dengan perbuatan ‘Melenggok’ yang membawa maksud ‘bergoyang-goyang’ atau ‘meliuk-liuk’ tubuh badan yang terinspirasi oleh pergerakan burung-burung di pesisir pantai, diiringi dengan elemen gerak Silat pada awal persembahan serta gabungan gerak tarian dansa Cocos yang menghentak-hentak kaki sambil menepuk-nepuk tangan. 

Fungsi dan Peranan

Pada asalnya, Melenggok dipersembahkan sebagai sebahagian daripada acara berbalas pantun antara dua kumpulan. Apabila ahli kumpulan sedang ‘menjual’ atau ‘membeli’ pantun berkenaan, ahli kumpulannya perlu meletakkan salah seorang ahli kumpulan mereka di tengah-tengah untuk menari tarian Melenggok. Penari akan bergantian untuk Melenggok sehingga ada kumpulan yang kalah dalam berpantun ataupun ahli penari yang tidak dapat bertahan menarikannya. Dini hari, tarian Melenggok kerap dipersembahkan ketika upacara keramaian seperti perkahwinan, sambut tamu dan perayaan-perayaan besar bagi masyarakat etnik Kokos sebagai upaya  memelihara tradisi seni persembahan yang terus diwariskan generasi ke generasi.

Busana/ Aksesori

Penari lelaki akan mengenakan pakaian tradisi etnik Cocos yang dikenali sebagai ‘Baskat’. Busana tradisi ini merupakan gabungan diantara dua budaya iaitu Melayu dan Scotish. Baju Baskat yang menyerupai rekabentuk Blazer (Bush Jacket) telah diubah suai dengan ropol pada bahagian lengan tangan yang dipanggil ‘Frill’. Pada kebiasaanya, kelengkapan busana ini akan dipakai dengan seluar panjang berwarna Putih dari material kain satin dan dipadankan dengan kasut kilat berwarna hitam. 


Tambahan pemakaian kain batik dan selendang pengikat pinggang yang dipanggil ‘Sabok’ bertujuan memberikan gambaran nilai estetika Melayu dalam pemakaian Busana tradisi ini. Sebagai hiasan tambahan, sapu tangan akan diikat sebagai penghias leher bagi mengantikan tali Leher (Neck Tie) yang biasanya dikenakan bersama sama Bush Jacket atau Blazer. Selendang panjang akan disangkut pada bahagaian bahu. Songkok pula dipakaian sebagai simbolik nilai pegangan agama Islam dalam kalangan etnik ini.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Alat muzik yang digunakan ketika mengiringi tarian Melenggok terdiri daripada biola, gendang, dan rebana yang memberikan ritma serta irama dinamik ketika ia dipersembahkan. Penari akan mengatur pola gerak mengikut rentak muzik yang dimainkan dan kadangkala mereka turut mengeluarkan paduan suara yang riuh atau melafazkan semula rangkap-rangkap pantun sambil menari. 


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian Melenggok akan dimulakan dengan gerakan Silat yang ringkas sebagai pembuka gerak persembahan. Kemudian, penari lelaki akan menghayun selendang yang disangkutkan pada bahu ke kiri dan kanan dengan pelbagai bentuk formasi serta pola lantai. Kadangkala, asas gerak tarian Melenggok ini juga akan ditambah dengan hentakkan kaki sambil menepuk-nepuk tangan sebelum mengulang gerak menghayun selendang yang seimbang dan perlahan mengikuti rentak dan iringan muzik.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Romtie, I., Amat, A., & Samad, L. A. (2021). Nyanyian Panton Sebagai Medium Hiburan Dan Pendidikan Masyarakat Cocos Di Sabah. MANU, Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB). https://doi.org/10.51200/manu.v0i0.1876

Lokasi
Pautan Google Maps :