ARANG TAWAK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Arang Tawak merupakan tarian tradisional masyarakat etnik Lundayeh, yang sebahagian besarnya mendiami daerah Sipitang dan kawasan pedalaman Long Pasia di Sabah. Dikenali sebagai tarian pahlawan, ia melambangkan keberanian dan semangat kepahlawanan kaum lelaki dalam mempertahankan diri atau mengalahkan musuh dalam peperangan antara puak. Tarian ini dimulakan dengan pukulan gong yang bergema di seluruh kampung, menandakan kepulangan para pahlawan mereka yang diiringi dengan gerak tari gemalai kaum wanita sebagai tanda sambutan. Kemudian, para pahlawan turut serta dalam tarian tersebut, menampilkan gerak-gerak kepahlawanan mereka sebagai simbol kemenangan dan keberanian.

Fungsi dan Peranan

Secara tradisional, tarian ini berfungsi sebagai penghormatan untuk menyambut kepulangan kaum lelaki yang berjaya menewaskan musuh dalam pertempuran antara puak. Namun, seiring dengan perubahan zaman di mana konflik peperangan tidak lagi menjadi realiti, tarian Arang Tawak kini telah diangkat sebagai simbol identiti budaya masyarakat etnik Lundayeh. Ia dipersembahkan bukan sahaja untuk menyambut tetamu, tetapi juga sebagai acara penting dalam pesta adat dan perayaan tradisional. Selain itu, tarian ini turut ditampilkan dalam majlis perkahwinan, memperkaya lagi warisan budaya dan keindahan seni persembahan Lundayeh.

Busana/ Aksesori

Busana penari lelaki dikenali sebagai ‘Bakad Talun’ iatu baju bercawat yang diperbuat daripada kulit pokok ‘Timbaran’ ataupun daripada kulit pokok Tarap hutan.

Bakad Talun boleh dijahit dan dilukis dalam reka bentuk tradisional yang disebut ‘Arit’. Lengan lelaki dihiasi dengan ‘Pakel/Fakel Riman’ (gelang) yang diperbuat daripada sejenis tumbuhan hutan dikenali dengan nama ‘Riman Labo’. Tali hitam yang terdapat pada poko tersebut dianyam dan dijadikan lengan selain dililit di bahagian lutut sebagai perhiasan kaki. Pada hiasan kepada, penari lelaki akan menggunakan ‘Sigar Suba’ yang diperbuat daripada kain merah dan dililit sehingga menjadi bentuk  tengkolok.


Penari wanita pula akan memakai busana berwarna putih mengikut potongan baju kebaya yang dihiasi dengan les hitam pada bahagian leher dan lengan  yang dikenali sebagai ‘Bekad Berecu’. Baju ini dipadankan dengan ‘Tekip Siating’ iaitu kain sarung berwarna hitam yang dihiasi manik atau renda pada bahagian hujung dan dipakai hingga paras lutut. Tekip Siating diketatkan menggunakan ‘Pogot’ iaitu tali pinggang besi berbentuk seperti kepingan syiling yang diperbuat daripada perak. Melengkapi busana ini, penari akan dipakaikan dengan aksesori kepala  berwarna kuning yang disebut ‘Alet Birar’. Pada bahagian pinggang pula, hiasan yang dipakai adalah ‘Selapit’ iaitu tali pinggang diperbuat daripada manik-manik kecil. Kelengkapan lainnya adalah aksesori hiasan ‘Baw Tulang’ (rantai leher) dan ‘Leku Baw’ (gelang tangan) untuk membahkan nilai auntentik busana tradisi etnik Lundayeh.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Tarian ini diiringi oleh tiga buah ‘Tawak-Tawak’ (gong) yang berlainan saiz dan resonans bunyi.  Selain itu, sesetengah persembahan akan menggunakan alat muzik yang dikenali sebagai ‘Talab Buluh’ turut dimainkan bersama alunan gong untuk menambahkan dimensi harmoni yang unik kepada persembahan Arang Tawak.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Tarian Arang Tawak biasanya dipersembahkan secara berpasangan, melibatkan sekurang-kurangnya dua orang lelaki dan dua orang wanita. Kadangkala, ia ditarikan dalam jumlah dua orang lekaki dan ramai penari wanita. Penari lelaki akan membawa props tangan seperti lembing atau parang yang disebut perisai sambil menampilkan gerakan yang menggambarkan keberanian dan kekuatan dalam pola pertarungan. Sementara itu, penari wanita menggerakkan tangan mereka dalam formasi satu barisan mendatar di belakang penari lelaki untuk mencipta harmoni antara kekuatan dan kelembutan dalam persembahan. Dalam formasi lain, tarian ini dibentuk dalam bulatan, dengan penari lelaki menari di tengah bulatan yang memperlihatkan ketangkasan dan semangat kepahlawanan mereka.

Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bilcher Bala, Baszley Bee Basrah Bee & Jane Wong Kong Ling. (2012). Lundayeh. Dalam Kntayya Mariappan & Paul Porodong. Siri etnik Sabah ITBM-UMS: Murut & Pelbagai Etnik Kecil Lain di Sabah. Institut Terjemahan Buku Malaysia. 


Simeon, J. J. C., Low, K. O., Baxter, I. S., Saudik, M., Ahmad, S., & Chong, L. S. (2017). Traditional Musical Instruments and Dance Music of the Lundayeh of Sabah. Wacana Seni, 16, 103–133. https://doi.org/10.21315/ws2017.16.5


Bala, B., K. L. Wong & Baszley Bee Basrah Bee. (2007). Perubahan Sosiobudaya Masyarakat Lundayeh. Dalam Pluraliti Etnik dan Budaya di Sabah, eds. Saidatul Nornis Mahali, Mohd. Sarim Mustajab & Suraya Sintang, 201–253. Kota Kinabalu: Penerbit UMS. 


Lokasi
Pautan Google Maps :