Tarian Sewang merupakan salah satu tradisi kebudayaan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, terutamanya suku kaum Mah Meri, Bateq, Semai dan Temiar yang terdapat di Negeri Perak. Tarian ini diwarisi secara turun-temurun sebagai bentuk penghormatan kepada alam sekitar dan penyembahan makhluk ghaib. Persembahannnya adalah bergantung kepada jenis upacara rirutal yang dibuat kerana tarian Sewang terdiri dariapda beberapa jenis seperti Sewang Chenchem, Gamok, Panoh, Penhei, Manjar, Pungei, Tanggei, Selombang dan lain-lain lagi.
Menurut kepercayaan masyarakat Orang Asli di Perak, tarian Sewang memainkan peranan penting dalam aspek kerohanian dan sistem kebudayaan mereka. Sebagai tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun, tarian ini bukan sahaja menggambarkan identiti budaya masyarakat Orang Asli, tetapi juga menjadi medium yang mencerminkan kepercayaan dan nilai hidup mereka. Dari aspek kerohanian dan nilai spiritual, tarian Sewang diadakan sebagai satu bentuk penghormatan kepada roh nenek moyang, seperti dalam upacara menyambut Hari Moyang. Dalam upacara ini, sanggar khas dibina sebagai tempat persinggahan roh nenek moyang yang dijemput untuk hadir lalu persembahan tarian dilakukan.
Selain itu, tarian sewang juga memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan sosial. Ia digunakan untuk meraikan pelbagai acara, termasuk menyambut tetamu, perkahwinan, musim menuai padi, atau kepulangan ahli keluarga yang bekerja di perantauan. Tarian ini juga menjadi simbol kegembiraan dan kesyukuran dalam kalangan mereka. Menurut kepercayaan masyarakat ini, sewang berasal daripada mimpi yang dikaitkan dengan Pulau Buah (syurga) yang boleh memberikan mereka sumber rezeki baik daripada hasil tenaman buah, mahupun sumber padi. Oleh itu, sebagai satu bentuk dedikasi kepada kepercayaan tersebut, tarian Sewang akan dipersembahkan.
Selain fungsi kerohanian dan sosial, Sewang juga berfungsi sebagai medium perubatan tradisional. Dalam upacara perubatan, tarian ini biasanya berlangsung selama enam (6) malam berturut-turut, di mana hanya ahli komuniti Orang Asli yang dibenarkan terlibat. Orang luar dilarang berada di lokasi sehingga selesai upacara, menunjukkan pentingnya menjaga kesucian dan keaslian ritual tersebut.
Namun kini, seiring dengan perkembangan semasa, tarian ini telah menjadi salah satu persembahan ikonik bagi masyarakat Orang Asli. Ia dipersembahkan secara ekslusif dan komersial untuk tatapan umum yang bukan sahaja untuk upacara ritual, namun ia juga berperanan untuk persembahan kebudayaan bagi masyarakat Orang Asli. Ia juga sejajar dengan harapan masyarakat Orang Asli untuk terus memartabatkan amalan warisan budaya mereka.
Busana tradisional yang digunakan untuk tarian ini biasanya diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi seperti kulit pokok, daun kelapa, daun pinang, daun pandan yang telah dikeringkan, bunga-bungaan, dan pelbagai tumbuhan hutan lain. Keunikan busana ini terletak pada kreativiti setiap suku yang menghasilkan pakaian persembahan tarian Sewang daripada bahan-bahan ini.
Secara umumnya, masyarakat Orang Asli tidak mempunyai jenis pakaian spesifik untuk tarian Sewang. Sebaliknya, mereka menggunakan pakaian asas atau (pakaian harian) yang dilapiskan dengan elemen-elemen semula jadi. Daun-daun biasanya dianyam untuk membentuk selempang, skirt, atau lapis baju yang dikenakan di atas pakaian asas. Aksesori tambahan seperti gelang tangan, mahkota kepala, dan perhiasan dada juga sering diperbuat daripada bahan semula jadi seperti buluh, bunga, atau rotan. Terdapat juga persembahan menggunakan topeng muka khususnya dari suku Mah Meri yang diperbuat daripada pokok nangka ataupun pokok Meranti.
Dalam beberapa persembahan, busana yang digunakan sepenuhnya dihasilkan daripada kulit pokok yang diolah menjadi baju dan skirt. Walau bagaimanapun, bagi menambah keberagaman persembahan dan keselesaan, lapisan pakaian dalam yang seragam sering dipadankan dengan pakaian ini. Gabungan nuansa alam dengan busana yang lebih moden ini mencerminkan adaptasi budaya Orang Asli terhadap perubahan masa, sambil mengekalkan keaslian dan tradisi mereka.
Keseluruhan busana untuk tarian Sewang bukan sahaja melambangkan kreativiti masyarakat Orang Asli dalam memanfaatkan sumber alam, tetapi juga mencerminkan falsafah kehidupan mereka yang menghargai keseimbangan dan keharmonian dengan alam sekitar. Penampilan ini melengkapkan nilai estetik tarian Sewang yang sering dipersembahkan dalam pelbagai majlis seperti upacara keagamaan, penyembuhan, atau sambutan tertentu.
Tarian ini diiringi oleh nyanyian dan ensembel alat muzik Sewang iaitu Centong Buluh dan Pensol (Seruling Hidung). Centong buluh diperbuat dari batang buluh dengan potongan saiz panjang berbeza-beza untuk menghasilkan resonans bunyi yang berlainan. Saiz panjangnya di antara 18 hingga 48 inci dan dimainkan secara berkumpulan di antara lapan (8) hingga enam belas (16) orang atau lebih dalam satu persembahan. Ia akan diketuk ke atas kayu keras yang diletakkan melintang sesuai dengan barisan pemuzik.
Pensol ataupun seruling hidung turut diperbuat daripada batang buluh disesuaikan untuk menghasilkan bunyi yang mengayikkan. Dalam sesetengah persembahan lain, terdapat alat muzik gong, biola dan gendang turut serta dimainkan. Ia bertujuan untuk memberikan audiotori yang lebih dinamik dan bernuansa mengikut jenis persembahan yang dilakukan.
Tarian sewang dipersembahkan dengan cara yang tersusun dan penuh dengan variasi gerakan yang melambangkan makna mendalam untuk upacara ritual mahupun adat. Biasanya, tarian ini melibatkan sepuluh orang penari lelaki dan perempuan yang diketuai oleh Tok Halaq atau tukang karut. Mereka akan menyanyi bersama, di mana baris nyanyian oleh Tok Halaq akan diulangi oleh penari lain. Gerakan tarian pula dilakukan dalam beberapa bentuk:
Berbaris: Penari berdiri dalam satu barisan sambil menggerakkan tubuh mengikut irama muzik yang dimainkan
Bulatan: Penari bergerak dalam bulatan, berpusing mengikut arah jam atau lawan jam.
Berpasangan: Lelaki dan perempuan menari secara berpasangan dan kadang kala berpegangan tangan.
Beramai-ramai: Semua penari bergerak serentak untuk mencipta suasana yang meriah dengan iringan nyanyian beramai-ramai serta ragam gerak seragam.
Untuk persembahan yang bersifat spiritual, roh nenek moyang diseru kerana ia dipercayai akan hadir melalui binaan Sanggar (tempat pemujaan roh) dan nyanyian khas seperti mantera akan dibacakan. Penari juga akan terlibat sama untuk membaca mantera ini. Namun begitu, dalam persembahan pentas untuk tatapan umum, elemen kerohanian ini tidak dilibatkan kerana ia lebih bersifat persembahan budaya semata-mata
Selain itu, tarian sewang juga mempunyai elemen improvisasi yang bergantung kepada keadaan dan tujuan persembahan. Komuniti Orang Asli biasanya terlibat secara kolektif dalam keseluruhan proses penyediaan, termasuk pembinaan sanggar, penyediaan unggun api, dan pembuatan alat muzik serta persembahan yang dilakukan. Semangat kolektif ini menjadikan tarian sewang lebih daripada sekadar seni persembahan; ia adalah satu pengalaman komuniti yang mendalam.
-
Bahan Bacaan
Chan, C. S. C., & Saidon, Z. L. (2016, November). Constructing Contemporary Traditional Semai Music through an Exploration of the Talents and Interests of the Youth. In Conference MPAC (Vol. 22, p. 59).
Chan, C. S. C., & Saidon, Z. L. (2021). Advocating for The Sustainability of Semai Indigenous Music Through The Collaborative Creation of New Traditional Music: A Participatory Action Research (PAR) Methodology. Harmonia: Journal of Arts Research and Education, 21(1), 9-22.
Ching, C. C. S. (2012). Heterogeneity in the musical acquisition of Orang Asli children from the Mah Meri and Semai groups. Malaysian Journal of Music, 1(2), 1-18.
Linggang, D. A. D. J., Wirunsakunphiban, W., & Nusen, R. (2024). Mah Meri’s Main Jo-Oh (Hari Moyang Puja Pantai Ritual Dance): From Traditional to A Tourism Art Entertainment. Jurnal Gendang Alam (GA), 14(1), 64-79.
S. Mahadzir.(2021). Sewang: Tarian Tradisi Masyarakat Mah Meri. Dewan Budaya. Dewan Bahasa dan Budaya. Kuala Lumpur. Diambil daripada,
https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2021/12/29/989/#:~:text=Sewang%20bermaksud%20tari%2Dmenari.,sewang%20untuk%20menyambut%20Hari%20Moyang.