MUZIK TRADISIONAL ALU BUNYI PERLIS
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Alu Bunyi dipercayai merupakan persembahan kesenian kedua tertua di negeri Perlis. Mengikut sejarah, kesenian ini berasal daripada pengembara Indo-China. Untuk sampai ke Tanah Melayu, mereka menggunakan perahu yang belayar berhampiran pantai dan mereka tinggal di kampung-kampung. Mereka menanam padi dan memainkan Alu Bunyi sebagai hiburan di waktu senggang. Permainan ini kemudiannya menarik minat pesawah-pesawah Melayu untuk mempelajarinya. Kesenian ini popular dalam kalangan pesawah padi dan turut dimainkan di dalam pesta menuai padi. Menurut kepercayaan sesetengah pihak, selain daripada hiburan, pesta menuai padi yang diadakan juga adalah sebagai satu cara memuja semangat padi supaya datang ke kampung pesawah dan tinggal di jelapang. Dipercayai juga bahawa semangat padi ini akan menghalang perosak padi seperti tikus dan burung daripada memusnahkan tanaman pesawah. 

Fungsi dan Peranan

Persembahan muzik Alu Bunyi kerap dipersembah semasa musim menuai dan pesta menuai. Pelbagai aktiviti lain turut diadakan semasa pesta ini seperti membuat emping dan ringgi. Pada masa kini, kebiasaannya persembahan muzik Alu Bunyi diadakan dalam majlis keramaian di negeri Perlis.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Mereka menggunakan peralatan pertanian untuk menghasilkan bunyi yang unik dan menghiburkan. Salah satunya ialah lesung dan alu yang digunakan untuk menumbuk padi. Pukulan alu ke atas lesung menghasilkan rentak yang seakan-akan sama dengan rentak alat muzik gamelan. Lesung dan alu biasanya diperbuat daripada kayu tui, jawi atau retak duri.

 

Sebuah kumpulan Alu Bunyi mempunyai seramai 9 hingga 12 orang ahli. Mereka terlatih dan mahir memainkan peralatan muzik. Mereka mengetuk bahagian tengah dan tepi lesung menggunakan alu sambil diiringi alunan bunyi serunai dan gendang bagi menghasilkan irama yang harmoni.

Tokoh dan Pencapaian

Tokoh merupakan Penerima Anugerah Penggiat Seni Budaya Negeri Perlis 2015 dan Pingat Jasa Kebaktian 2016.

Lokasi