REBANA PERAK
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Rebana Perak merupakan salah satu permainan alat muzik tradisional yang sangat terkenal di negeri Perak Darul Ridzuan, khususnya di kawasan persisiran Sungai Perak merangkumi daerah Kuala Kangsar hingga ke selatan di daerah Bagan Datoh. 

Perkataan Rebana berasal daripada dua perkataan Arab iaitu ‘Rab’ bermakna ‘pukulan’ dan ‘Na’ bermakna ‘kami’. Justeru, rebana membawa maksud ‘pukulan kami’. Alat muzik ini sering dimainkan dalam majlis-majlis tertentu dan mempunyai persamaan dengan permainan kompang, terutamanya dari segi kesesuaian majlis di mana ia dipersembahkan. 


Namun demikian, terdapat beberapa perbezaan yang ketara antara Rebana Perak dan kompang, antaranya dari segi saiz dan bahan pembuatannya. Rebana Perak mempunyai saiz yang lebih kecil berbanding kompang, dengan bahagian pemalu yang diperbuat daripada kulit kerbau atau lembu, berbeza dengan kompang yang menggunakan kulit kambing. Secara fizikal, Rebana Perak berbentuk bulat dengan diameter antara 25 sentimeter hingga 32 sentimeter dan ketinggian antara 11 sentimeter hingga 14 sentimeter. Beratnya juga agak signifikan, di mana sesetengah rebana mampu mencapai sehingga 4 kilogram sebiji.

Fungsi dan Peranan

Rebana Perak memainkan peranan yang penting dalam pelbagai konteks budaya dan tradisional masyarakat Melayu. Sebagai alat muzik tradisional, Rebana Perak sering dimainkan secara berkumpulan untuk menghasilkan irama dan harmoni yang padu. Dalam kumpulan persembahan, beberapa pemain rebana memainkan rebana dengan pelbagai saiz dan nada (pitch), yang digabungkan dengan alat muzik lain seperti marwas atau serunai. Kombinasi ini menghasilkan persembahan yang bertenaga, penuh semangat, dan mencerminkan kekayaan budaya Melayu. Fungsi Rebana Perak tidak terhad kepada hiburan semata-mata, tetapi meliputi pelbagai aspek sosial, keagamaan, dan seni.


Dalam konteks keagamaan, Rebana Perak sering digunakan untuk mengiringi zikir atau doa dalam upacara keagamaan. Irama yang dihasilkan oleh Rebana Perak mencipta suasana yang menenangkan, sekali gus memperdalamkan penghayatan rohani bagi peserta majlis tersebut. Dalam hal ini, Rebana Perak bukan sahaja berfungsi sebagai alat muzik, tetapi juga sebagai medium untuk meningkatkan pengalaman spiritual dan menyatukan komuniti melalui aktiviti keagamaan.


Selain itu, Rebana Perak turut memainkan peranan penting dalam seni persembahan tradisional Melayu, khususnya dalam tarian seperti Zapin, Inang, dan Joget. Dalam konteks ini, Rebana Perak digunakan untuk memberikan irama dan rentak yang menggerakkan penari. Ketukan rebana yang rancak dan berirama membantu menyelaraskan pergerakan penari, mencipta persembahan yang dinamik dan menarik perhatian penonton. Persembahan ini bukan sahaja menjadi wadah hiburan, tetapi juga medium untuk memperkenalkan dan mempertahankan tradisi seni tarian Melayu.


Busana/ Aksesori

Seni persembahan ini tidak mempunyai sebarang busana atau kostum khusus ketika ia dijalankan. Namun, dalam sesuatu majlis yang bersifat rasmi, pemain Rebana lazimnya akan mengenakan baju seragam Melayu Lengkap bagi lelaki dan Baju Kurung bagi wanita  dengan tona warna yang sama.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Rebana Perak mempunyai ukuran diameter antara 10 inci hingga 13 hingga dan tinggi empat (4) hingga lima (5) inci yang diperbuat daripada dua bahan utama iaitu kayu dan kulit haiwan. Kayu yang menjadi bingkai atau rangka rebana ini adalah dari jenis kayu halban, nangka dan kayu sungai. Manakala kulit yang bertindak sebagai diafram atau bahagian yang di talu adalah dari kulit lembu dan kerbau. Kulit lembu dan kerbau dikatakan menghasilkan bunyi yang lebih sedap didengar berbanding kulit kambing. 


Cara pembuatan rebana perak tidak terlalu kompleks jika dibandingkan dengan alat muzik gendang yang lain. Namun ia memerlukan ketelitian dan kehalusan pembinaannya untuk menghasilkan kualiti bunyi yang terbaik serta memastikan ia bertahan lama dengan jaminan kualiti yang baik.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Persembahan Rebana Perak lazimnya dimainkan oleh kaum lelaki secara berkumpulan dalam lingkungan lima (5) hingga 12 orang ataupun lebih. Permainan rebana dimainkan dalam bentuk bulatan dengan posisi bersila  ataupun boleh sahaja dimainkan secara berdiri, mengikut tujuan dan keperluan persembahan.



Sebelum persembahan dimulakan, terdapat beberapa keperluan yang perlu disediakan seperti rebana, rotan, kayu penyedak (digunakan untuk proses penalaan bunyi), dan Kitab Maulud Shariful Anam, iaitu sebuah teks tulisan Jawi digunakan sebagai rujukan lagu-lagu yang dinyanyikan.Setiap rebana perlu menjalani proses ”Menyedak”, iaitu memasukkan rotan ke dalam ”Baluh” untuk menegangkan kulit Rebana bagi memastikan kualiti bunyi yang optimum ketika persembahan. Ia merupakan prinsip utama proses penalaan bunyi dalam ensemble muzik sinkretik. 


Dalam satu set Rebana, terdapat tiga (3) jenis rebana dengan peranan tersendiri iaitu ”Rebana Peningkah”, ”Rebana Penyelang” dan ”Rebana Pelalu”. Rebana peningkah, berperanan mendahului persembahan yang mempunyai nada bunyi lebih tinggi dan dihiasi dengan ”genta tembaga” di sekeliling baluh bagi menghasilkan bunyi loceng apabila rebana dipalu. Rebana Penyelang pula memainkan pukulan di antara pukulan peningkah, manakala Rebana Pelalu memainkan pukulan asas dengan mengikuti rentak Peningkah dan Penyelang. 


Teknik permainan Rebana Perak hanya menggunakan tangan tanpa alat pemukul khas, di mana pemain merapatkan jari ketika memukul bahagian tepi rebana dan merenggangkan jari ketika memukul bahagian tengah. Dalam permainan ini, terdapat empat jenis pukulan utama yang digunakan, iaitu pukulan “Shariful Anam”, pukulan “Hadrah”, pukulan “Kincat”, dan pukulan “Lekun”. Berikut adalah deskripsi tentang jenis-jenis pukulan tersebut;


Jenis Pukulan

Deskripsi

Shariful Anam

Pukulan Shariful Anam dimulakan dengan kiraan satu, satu (1,1) yang diulang sebanyak dua kali ketika permulaan permainan atau pertukaran pukulan panjang ke pendek. 

Hadrah

Pukulan Hadrah dimulakan dengan kiraan satu, satu, dua, satu (1,1,2,1) dan bertukar dengan kiraan dua, satu (2,1) di antara bahagian panjang dan pendek.

Kincat

Pukulan Kincat menggunakan kiraan satu, satu, dua, satu iaitu pukulan di bahagian tengah, tepi, tengah, tengah, tepi (1,1,2,1). Pukulan ini sama dengan pukulan permulaan bagi pukulan Hadrah.

Lekun

Pukulan lekun menggunakan pukulan shariful annam pada separuh lagu. Separuh lagi menggunakan kiraan satu, satu iaitu tengah, tepi (1,1) yang diulang sehingga tamat permainan. 


Secara dasarnya, lagu yang dimainkan dalam persembahan Rebana Perak biasanya menggunakan satu jenis pukulan sahaja sama ada Hadrah atau Shariful Anam. Namun begitu, umumnya dalam kebanyakan lagu-lagu adalah menggabungkan pukulan Hadrah dengan Shariful Anam ataupun pukulan Hadrah dengan Kincat.


Struktur persembahan lagu ini pula terbahagi kepada dua bahagian utama, iaitu bahagian syair yang menggunakan pukulan panjang dan bahagian hadi yang menggunakan pukulan pendek.   Syair adalah teks yang direka sendiri oleh pencipta 

lagu dengan perkataan yang memuji Allah dan Rasul. Tiada kiraan khusus bagi pukulan panjang dan pendek kerana bilangan pukulan akan disesuaikan mengikut jenis lagu dan rentak yang dimainkan.


Dengan kombinasi pukulan yang bervariasi dan teknik permainan yang kemas, persembahan Rebana Perak bukan sahaja menyerlahkan keindahan muzik tradisional Melayu tetapi turut memainkan peranan penting dalam memupuk semangat kebersamaan, mempertahankan warisan budaya, dan memperkenalkan nilai-nilai tradisional kepada generasi muda.


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

Bahan Bacaan

Nadzri Mohamad & Ahmad Kamal Mohd. Yusop. (2023). Pendokumentasian Rebana Perak Sebagai Satu Warisan Muzik Tradisional Negeri Perak. Jurnal Tuah, 69-75


Nawani, M. F. (2013). Pewarisan Permainan Rebana Perak di Kampung Sungai Air Tawar. UNIMAS. 


Saaid, S. A., & Malek, M. R. (1995). Kesenian dan Hiburan Tradisional. Kuala Lumpur: Penerbit Prisma Sdn. Bhd. 


Salleh, N. M. (1995). Alat Muzik Tradisional Dalam Masyarakat Melayu Malaysia. Selangor: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. 


Suri, M. Z. S. (2017, December 18). Rebana Perak produk baharu pelancongan negeri. Berita Harian. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/365017/rebana-perak-produk-baharu-pelancongan-negeri 


Yusoff, W. A. K. (2006). Budaya Popular Dalam Pembangunan Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.


Lokasi