KUIH SOPANG REBUS
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Kuih Sopang Rebus merupakan sejenis kuih tradisional Negeri Sembilan. Kuih ini dinamakan sedemikian merujuk kepada bentuknya yang dihasilkan daripada tepung bulat yang dileperkan menjadi separuh (disebut sebagai 'sopaghoh' dalam dialek Negeri Sembilan). Selepas diisikan inti, tepung dilipat menjadi separuh bahagian menyerupai bentuk kuih karipap. Maka terhasillah istilah ‘sopang’ daripada sebutan 'sopaghoh' dalam dialek Negeri Sembilan.

 

       Rebus merujuk kepada cara memasak zaman dahulu yang tidak menggunakan alat pengukus. Prosesnya menggunakan kuali yang berisi air yang dididihkan dan diletakkan loyang berisi kuih beralaskan lapik batang kayu, dan ditutup kualinya dengan penutup periuk atau penutup bekas nasi kayu. Oleh itu, kuih ini dinamakan sebagai Sopang Rebus walaupun ia tidaklah dimasak dalam cara merebus.

 

        Kuih ini amat digemari untuk hidangan sarapan ataupun minum petang dan juga sebagai pencuci mulut ketika berbuka puasa di bulan Ramadan. Ia diperbuat daripada tepung pulut, santan, gula enau, dan garam, dengan inti isi kelapa muda parut.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahannya:

·         2 biji isi kelapa muda dikukur

·         2 keping gula anau atau 1 cawan gula merah campur 1/2 cawan gula pasir

·         1/2 paket tepung pulut

·         2 helai daun pandan

·         2 cawan santan

·         secubit garam

·         Air untuk menguli tepung

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Cara membuat inti:


1.    Masukkan isi kelapa, gula anau, gula pasir dan dua cawan air.  Masak sambil kacau untuk elakkan hangus.

2.    Masukkan secubit garam dan daun pandan yang disimpul kemas. Masak sehingga inti kelapa ini kering.

3.    Jika perlu tambah sedikit gula.


 Cara memasak kuah santan:

1.    Campur 1 setengah sudu besar tepung pulut dalam periuk kecil berisi lebihan santan, juga 1/2 sudu gula dan secubit garam dalam santan. Masak dan sentiasa kacau sehingga mendidih dan jangan sampai pecah minyak santan.


Cara penyediaan:

 

1.    Masukkan tepung pulut dalam mangkuk, campur secubit garam.

2. Uli tepung dengan air sampai boleh dikepal dan dibentuk.

3. Sediakan loyang yang telah dilapik daun pisang. Layur sedikit daun pisang agar tidak mudah koyak.

4. Pastikan daun diletak di paras tinggi sedikit agar nanti kuah tidak tumpah ke bawah daun.

5. Gunakan sehelai plastik untuk membentuk kuih. Sapu sedikit minyak masak pada pemukaan plastik bagi memudahkan proses seterusnya.

6. Ambil sedikit tepung, bulatkan dan letak tepung di atas lapik plastik untuk membentuk tepung menjadi bulat leper. Letak inti di tengah-tengah, gunakan plastik untuk menutup kuih. Letak sedikit air sebelum tutup, tekan bucu kuih dan licinkan untuk lekatkan bucu kuih.

7. Sapu minyak di atas daun terlebih dahulu. Susun kuih dalam loyang, pastikan tidak terlalu rapat.

8. Masukkan kuah santan yang telah dimasak ke dalam loyang, agak-agak menutupi kuih sopang dan terus dikukus segera selama 20 minit.

9. Kuih sopang yang telah masak akan berubah warnanya dan sedia untuk dihidangkan.

 

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan

ii.    Tokoh: Puan Zainab binti Jamil (Ibu Soko Luak Ulu Muar)

Lokasi