AIR SARBAT
Makanan Tradisional

Pengenalan dan sejarah

Air Sarbat dicatatkan telah wujud sejak ribuan tahun lalu di Parsi. Malah Air Sarbat juga dicatatkan dalam buku Canon of Medicine dan Hikayat Seribu Satu Malam. Dalam masa yang singkat sahaja air Sarbat menjadi popular di seluruh India dan salah satunya adalah ketika pemerintahan Empayar Mughal. Semasa Empayar Mughal memerintah, resipinya telah ditambah baik yang mana ais dari banjaran Himalaya diletakkan bagi tujuan menghasilkan satu minuman yang sedap dan menyegarkan.

          Pada awal tahun 1900an, berlakunya gelombang perpindahan penduduk dari India ke Tanah Melayu. Mereka turut membawa masuk tradisi makanan dan minuman mereka, dan salah satunya ialah Air Sarbat. Kini Air Sarbat atau Ais Tingkap adalah satu jenis minuman tradisi yang digemari di Pulau Pinang. Minuman ini dipelopori oleh seorang peniaga di Lebuh Tamil, George Town sejak tahun 1919. Ketika musim panas, permintaan terhadap Air Sabat adalah sangat menggalakkan kerana  ia dapat menghilangkan rasa dahaga.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Bahan-bahan dan cara membuat Air Sarbat:

          Air Sarbat merupakan campuran air dan isi kelapa, getah anggur, buah kembang semangkuk, biji selasih, akar sarbat dan sirap gula. Namun ada juga yang meletakkan lemon dan laici mengikut cita rasa masing-masing.

         Campuran bahan-bahan tersebut dimasukkan ke dalam gelas bersama dengan ketulan ais untuk diminum segera. Ketulan ais yang semakin mencair akan mengurangkan rasa manis dalam minuman ini. Air Sarbat bermanfaat untuk menyejukkan panas badan, serta mengurangkan batuk dan demam panas.

Sumber Rujukan

i.      Bahan Bacaan : Ais Tingkap resipi turun temurun, https://www.astroawani.com

Ais Tingkap Memikat dengan Aroma dan Rasa yang menggoda, https://jomexplore.io, 1 Oktober 2023


Lokasi