Nazam adalah warisan puisi Melayu yang berasal
daripada puisi Arab. Ia mula berkembang ke
Tanah Melayu sejak kedatangan Islam sekitar abad ke-12 (Abdul Latif, 2013).
Nazam mula tersebar di Melaka pada abad ke-15 dan berkembang luas di Melaka
pada abad ke-20. Nazam diambil daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud gubahan puisi yang
meliputi sajak atau syair. Menurut Kamus At-tullab Arab-Melayu (1994), nazam
bererti merangkai, mengarang, menyusun dan mengatur. Definisi ini menunjukkan
bahawa Nazam bermakna puisi dan istilah bernazam bermaksud berlagu. Nazam
terbahagi kepada dua versi lagu iaitu versi Serkam dan versi Tanjung. Nazam turut berkembang di
beberapa buah negeri iaitu di Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Nazam di Melaka mengandungi Nazam Asli yang berteraskan ajaran Islam manakala
Nazam Kreatif yang berdasarkan peristiwa atau kisah semasa yang didendangkan
bersama alat muzik bergendang secara berkumpulan yang tidak bercanggah dengan
ajaran Islam dan warisan seni budaya Melayu (Abdul Latif, 2013). Persembahan
Nazam boleh dimainkan oleh kaum lelaki dan wanita.
Lirik lagu Nazam
Nazam Rukun Islam
Allah Allah Azzawajal Tuhan kami
kami minta akan ampun dosa kami
Lindungilah perjalanan hidup kami
kepada Mu ku berserah ya illahi
Agama Islam dipersusun atas lima
mengucap syahada tanda iman yang pertama
yang kedua solat itu tiang agama
yang ketiga puasa ramadan bulan utama
(Ulang)
Yang keempat keluar zakat jika sampai
nisab harta milik kamu jangan lalai
yang kelima naik haji ke baitullah
jika ada kuasa wajiblah
Nazam adalah medium dalam
menyampaikan ajaran Islam, hukum-hakam dan kisah-kisah nabi. Persembahan Nazam
sering diadakan dalam majlis rasmi Kerajaan Negeri serta dalam acara keramaian
masyarakat Melayu seperti majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran dan lain-lain
lagi.
Tiada pakaian yang khusus
dalam persembahan Nazam ini. Walau bagaimanapun, busana yang sering digunakan
adalah pakaian yang melambangkan identiti kemelayuan seperti baju Melayu bagi
lelaki dan baju kurung atau kebaya bagi wanita.
Persembahan Nazam Asli
tidak diiringi dengan alatan muzik,
berbeza dengan persembahan Nazam Kreatif yang diiringi dengan alunan
muzik sebagai menambahkan lagi keunikan kesenian ini. Alat muzik yang digunakan
bagi mengiringi persembahan ini adalah terdiri daripada perkusi ‘chimes’,
‘conga’, ‘cajon’, ‘tamborine’, ‘shaker’ dan ‘yanke’.
Puan Norliza
binti Haji Md Yamin merupakan penggiat muda Nazam di negeri Melaka. Beliau
berpengalaman luas dalam kesenian Nazam dan banyak terlibat dalam mengangkat
kesenian Nazam di negeri ini termasuk di peringkat sekolah dan institusi
pengajian tinggi. Antara sumbangan beliau adalah mengadakan pertandingan Nazam
dan persembahan Nazam di negeri Melaka. Secara tidak langsung, peranan beliau
telah berhasil menyebar luas dan mengangkat nilai estetika Nazam kepada
masyarakat.
i.
Bahan
Bacaan
Abdul Latiff Abu Bakar. (2013). Puisi Nazam Melaka. Jurnal Peradaban
Melayu, 8, 61-87.
Hussain bin
Unang, 1994, Kamus At-tullab Arab-Melayu, Kuala Lumpur
Darulfikir.
ii.
Tokoh (jika
ada temu bual tokoh)
Norliza binti Md Yamin. (2023). Tokoh Budaya Melaka 2019
(Penggerak Seni Budaya Melaka). Temubual pada 21 September 2023.