Sejarah asal-usul
persembahan bangsawan adalah dari India yang bernama Wayang Parsi atau Mendu
yang bergerak ke seluruh rantau dan akhirnya tiba di Pulau Pinang pada sekitar
tahun 1870-an. Negeri Kedah juga tidak ketinggalan mengalami fenomena
persembahan Bangsawan apabila timbulnya kumpulan-kumpulan Bangsawan seperti
Kumpulan Bangsawan Seri Kedah yang dipimpin oleh Tuan Haji Morad Ibrahim. Haji
Morad Ibrahim merupakan tokoh bangsawan negeri Kedah yang telah menghasilkan
banyak karya bangsawan yang berkualiti dan telah dipersembahkan di seluruh
Malaysia.
Watak
Para pelakon tidak terikat
dengan penggunaan skrip berbanding drama moden kini. Para pelakon hanya
menuturkan dialog secara spontan berdasarkan jalan cerita yang diberikan oleh
pengarah. Cerita bangsawan merupakan satu persembahan drama tradisi yang berkisar
tentang kisah raja-raja yang melibatkan alam kayangan dan nyata. Umpamanya
"Jula Juli Bintang Tujuh". Watak-watak dalam bangsawan biasanya
terdiri daripada raja dan permaisuri, pahlawan, putera kacak dan puteri yang
cantik, hamba, jin dan raksaksa. Watak wira atau wirawati juga dipanggil Seri
Panggung atau Orang Muda selaku watak utama.
Persembahan Bangsawan kini
seringkali dipersembahkan sebagai acara pentas di panggung-panggung seperti di
Istana Budaya dan Auditorium JKKN serta lain-lain panggung oleh produksi
tertentu bagi terus menghidupkan kesenian ini.
Pementasan Bangsawan sering menggunakan busana indah dan cantik seperti pakaian golongan istana dan raja bagi menghidupkan watak-watak golongan tersebut, manakala watak orang kampung dan miskin digambarkan memakai pakaian yang lusuh dan buruk.
Kelengkapan props dan
alatan muzik.
Persembahan melibatkan
penggunaan panggung, teknik lampu dan set saiklorama yang bertukar bagi
melatari pentas. Alat muzik yang digunakan
ialah piano, biola, gong, tabla, gendang, dram dan arkodion.
Persembahan dimulakan dengan muzik pembukaan sebagai overture dan boleh juga dibuka dengan tarian sebagai pembukaan. Kebiasaanya muzik-muzik yang dimainkan bergantung kepada latar cerita. Selepas overture persembahan diteruskan dengan extra-turn pembukaan.
Extra-turnpembukaan ini bersifat pilihan di mana ia bermaksud tidak wajib diadakan. Ia boleh diteruskan dengan gurindam dan syair atau boleh juga diadakan sebagai tanda selamat datang kepada penonton. Extra-turn pembukaan perlulah menggunakan lagu yang rancak atau tarian yang pantas.
Gurindam dan syair kebiasaannya
digunakan untuk menceritakan jalan cerita dan di
dalam puisi tersebut akan menyebut nama pemerintah, bencana yang akan menimpa
negara dan meninggalkan tanda tanya pada
penghujung syair atau gurindam. Ianya
bertujuan untuk memudahkan penonton untuk memahami jalan cerita tersebut. Usai
gurindam dan syair, lagu buka tirai akan dimainkan. Lagu buka tirai perlulah
berdurasi pendek dan perlu dimainkan terlebih dahulu sebelum tirai diangkat dan
berhenti setelah tirai dibuka sepenuhnya.
Naskhah Bangsawan
Antara naskhah Bangsawan yang boleh dianggap sebagai karya terbaik Haji Morad Ibrahim adalah Lagenda Terung Pipit yang dihasilkan pada sekitar 1990-an. Lagenda Terung Pipit mengisahkan tentang Kerajaan Lindungan Bulan yang mengalami konflik dengan kerajaan Bumi Bengkalih. Kehebatan Laksamana Terung Pipit digambarkan dengan kesaktiannya menghasilkan Bahtera Emas Lapis Suasa yang ditimbulkan dari perut laut Kuala Kedah.
Sepanjang penglibatan Morad Ibrahim dalam dunia teater dan bangsawan, menerima pelbagai anugerah mengiktiraf peranan dan sumbangannya yang tidak kenal penat dan lelahnya itu. Antaranya ialah sijil penghargaan badan penulis Persatuan Penulis Nasional Kedah (PENULIS); Anugerah Seni Negeri Kedah Darul Aman 2003 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada 28 Disember 2003; dan, Anugerah Sumbangsih
daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman bersempena Hari Anugerah Cemerlang 2004.
Menerima Anugerah Citra
Budi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. Pada tahun 2011, Yayasan
Artis 1Malaysia (YA1M) menyumbang RM1,000 yang disampaikan oleh Datuk Irwan
Shah (DJ DAVE), Pengerusi YA1M.
Morad Ibrahim menerima Anugerah Khas sebagai penghargaan atas sumbangan dalam industri teater bersempena Festival Teater Malaysia (FTM) 2016 daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berlangsung di Auditorium JKKN Kedah pada 20 hingga 26 November 2016.
Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Sultan Kedah telah menganugerah Morad Ibrahim denga darjah kebesaran Ahli
Mahkota Kedah (A.M.K) 27 Januari 2004, Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan Pingat
Perkhidmatan Lama (P.P.L). Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-XI,
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menganugerah darjah Ahli Mangku Negara
(A.M.N) 5 Jun 1999.