Tarian Zapin Tanjung Labuh berasal dari Kampung Tanjung Labuh, Batu Pahat, Johor. Tarian ini menampilkan keunikan tersendiri kerana ia hanya dimainkan oleh penari wanita, memperlihatkan gerakan kaki dan langkah gantung yang halus serta tertib.
Tarian ini dinamakan sempena Kampung Tanjung Labuh dan diwarisi oleh keluarga Salmah binti Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Mak Salmah. Zapin ini pada asalnya diperkenalkan oleh Mahmud bin Muhaban, atau Cikgu Mahmud Awang, sebelum diwariskan kepada Abdul Aziz bin Boon. Mak Salmah kemudian mempelajari dan meneruskan tradisi ini, seterusnya memperkembangkannya di kalangan ahli keluarganya. Zapin Tanjung Labuh mula mendapat perhatian awam selepas penyertaannya dalam Pertandingan Zapin Negeri Johor pada akhir tahun 1990-an.
Pada mulanya, Zapin Tanjung Labuh dimainkan secara tidak formal oleh penduduk kampung, biasanya secara berpasang-pasangan (berdua atau berempat), tanpa koreografi yang tetap. Ia sering dimainkan dalam majlis perkahwinan dan keramaian keluarga. Namun, Mak Salmah telah memperkenalkan penyesuaian dengan menjadikan tarian ini eksklusif dimainkan oleh wanita, mencerminkan unsur keanggunan wanita dalam persembahan.
Tarian Zapin Tanjung Labuh berfungsi sebagai lambang warisan budaya Kampung Tanjung Labuh. Tarian ini memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan sosial dan memastikan kesinambungan tradisi melalui generasi. Ia sering dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, keramaian, dan acara komuniti.
Penari Zapin Tanjung Labuh mengenakan Baju Kurung Johor, dipadankan dengan kain dagang luar. Pakaian ini melambangkan kesopanan dan keanggunan wanita Melayu, seiring dengan gerakan tarian yang halus dan tertib.
Alat muzik iringan: Gambus, marwas, rebana, dan biola
Kostum: Baju kurung Johor dan kain dagang
Zapin Tanjung Labuh memiliki empat ragam utama:
Langkah Satu: Pergerakan asas yang melangkah ke hadapan dengan langkahan kedua sedikit ’gantung’.
Langkah Dua: Perkembangan dari langkah asas, menampilkan pergerakan kaki yang bersilang atau seperti langkah ’tak jadi’.
Langkah Tiga: Ragam variasi dari Langkah Dua.
Langkah Empat: Langkah terakhir dengan terdapat pergerakan kaki kanan yang diundurkan dan kaki kiri digantung.
Keistimewaan tarian ini terletak pada gerakan tangan yang berada pada paras pinggang, berbeza dengan Zapin Kores di mana tangan dihayunkan hingga paras bahu. Gerakan yang halus dan tertib ini menonjolkan sifat kewanitaan dan ketelitian dalam koreografi.
Mak Salmah, atau Salmah binti Ahmad, merupakan tokoh utama yang memelihara tradisi Zapin Tanjung Labuh. Usaha beliau dalam menyesuaikan tarian ini untuk dimainkan oleh wanita dan memperhalusi elemen estetiknya telah memastikan ia kekal sebagai warisan budaya Kampung Tanjung Labuh.
Bahan Bacaan
Mustaffa, N., & Idris, M. Z. (2017). Accessing Accuracy of Structural Performance on Basic Steps in Recording Malay Zapin Dance Movement Using Motion Capture Accessing Accuracy of Structural Performance on Basic Steps in Recording Malay Zapin Dance Movement Using Motion Capture. Journal of Applied Environmental and Biological Sciences, 8, 165-73.
Nor, M. A. M. (2020). Eclecticism and syncretic traditions: the making of Malay folk dance. In Sharing Identities (pp. 37-55). Routledge India.
Bari, M. H. A., bin Samsuddin, M. E., & Kahn, S. M. (2021). PELESTARIAN DAN PEMARTABATAN ZAPIN JOHOR SEBAGAI WARISAN TERBILANG. JURNAL MELAYU SEDUNIA, 4(1), 75-113.
Tokoh: Salmah binti Ahmad (Mak Salmah) (Temubual)