TARIAN JOGET GAMELAN
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Joget gamelan merupakan salah satu tarian Melayu klasik yang dipercayai bermula sejak zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III lagi. Persembahan Joget Gamelan ketika itu berperanan sebagai penyeri majlis perkahwinan. Tarian ini dikatakan mula dipersembahkan di istana empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-19. Ia mula dipertunjuk buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan, Pahang dalam tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga dengan Wan Esah iaitu adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang. Tradisi gamelan mencapai kegemilangannya ketika zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah apabila baginda berkahwin dengan Tengku Ampuan Mariam pada tahun 1913.

Semasa di negeri Terengganu, Tengku Ampuan Mariam sendiri yang mereka cipta aspek pakaian atau gerak tarinya, sementara Tuanku Sultan Sulaiman pula mengetuai kumpulan muzik. Tarian Gamelan pada asalnya hanya dipersembah di dalam istana. Namun apabila tarian ini dihidupkan kembali selepas tahun 1960an, ia mula dibawa ke dalam pelbagai majlis terutamanya yang melibatkan sambutan terhadap kerabat diraja atau pembesar negeri. Secara estetikanya, tarian ini adalah tarian yang sangat cantik dan kaya dengan kepelbagaian jenis adat dalam geraknya. 

Menurut Tengku Mariam, pada asalnya terdapat 77 jenis repertoir Joget Gamelan. Tetapi hanya 12 tarian berikut sahaja yang masih ditarikan sehingga kini:

1)  Timang Burung

2)  Lambang Sari

3)  Ayak-Ayak

4)  Geliong

5)  Selang Arak/ Kunang-kunang Mabuk

6)  Togok

7)  Anom/ Nongga

8)  Ketam Renjong

9)  Lantai Lima

10) Topeng

11) Ketawang

12) Perang Manggung

Fungsi dan Peranan

Kini Joget Gamelan Terengganu kerap dipersembahkan di majlis dan acara keraian yang berkaitan dengan program seni budaya dan warisan anjuran pihak kerajaan dan swasta di Terengganu. Di Terengganu hanya penari kanak-kanak yang belum akil baligh sahaja yang boleh mempersembahkan Joget Gamelan di Terengganu. Ia juga turut menerima jemputan daripada negeri-negeri lain juga undangan ke luar negara. Tarian ini dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita sahaja. Ia boleh dipentaskan secara dalaman atau pun dalam persembahan terbuka mengikut jenis acara.

Joget Gamelan Terengganu kini kerap dipersembahkan dalam majlis dan acara keraian yang berkaitan dengan program seni budaya dan warisan, baik anjuran pihak kerajaan mahupun swasta di Terengganu. Hanya penari kanak-kanak perempuan sahaja yang dibenarkan mempersembahkan tarian ini di Terengganu. Selain itu, Joget Gamelan juga menerima jemputan untuk tampil di negeri-negeri lain dan menerima undangan ke luar negara. Tarian ini eksklusif dipersembahkan oleh penari wanita dan boleh dipentaskan di dalam atau di luar bilik mengikut jenis acara.

Busana/ Aksesori

Para penari memakai baju satin atau broked berleher bulat, berlengan panjang atau paras siku, dan dipakai dengan kain sarung bercorak berpetak  atau kain songket sutera benang emas penuh yang berlipat di kiri, kanan atau belakang.

Baju dimasukkan ke dalam sarung dan dikemaskan dengan pending. Selendang panjang  atau sabuk dipakai berjuntai dari pinggang ke bawah. Bahagian dada memakai la atau lapik dada, atau teratai kain baldu yang berhias manik rambu.

Kain selendang yang digunakan adalah kain sutera lembut atau kain limar. Di bahagian atas kepala, dipakai mahkota ‘gerak gempa tajuk asoka’, subang dipakai di telinga, gendik dipakai di dahi dan gayut tengkuk digantung ke batang cucuk sanggul kiri dan kanan. Cekak leher dibalut pada leher dan teratai diletak pada bahu. Penari juga memakai sarung kaki putih dan sepasang gelang kaki. Penari biasanya akan memegang kipas baldu benang emas dan juga selendang dalam pergerakan tarian. 

Peralatan/ Bahan-Bahan

Joget Gamelan diiringi ensembel Gamelan Melayu yang biasanya terdiri daripada alatan jenis metallaphone iaitu saron, keromong/bonang, kenong, gambang, gendang dan gong agong.

Tokoh dan Pencapaian

Salah seorang tokoh dan koreografer kesenian ini adalah Puan Zaharah binti Abdul Hamid atau lebih mesra dengan panggilan Kak Rah. Kak Rah mula terlibat sebagai penari gamelan pada tahun 1969. Beliau berpengalaman mengadakan persembahan di dalam dan di luar negara sejak lebih 50 tahun yang lalu. Sejak tahun 1989 beliau tidak lagi aktif sebagai penari gamelan, namun menyumbang sebagai tenaga pengajar dan pakar rujuk dalam tarian Gamelan Melayu di Terengganu sehingga kini. Beliau telah menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Gamelan Tradisional Melayu pada 2018 oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Tokoh Wirama sempena Anugerah Seni Budaya Terengganu 2023 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu

Sumber Rujukan

      i.        Bahan Bacaan:

-       Sumber Maklumat dari Galeri Warisan SaRi.

-       Penerbitan Buku: Joget Gamelan Terengganu dan Pahang

Pengarang:Ahmad Omar

Penerbit:    Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

TahunTerbit: 2005 ( cetakan pertama )

-       Terbitan Buku

Nur Zuraidah Mohamad (2012), Joget Gamelan Terengganu Dari Aspek Penceritaan dan   Cabaran Pemeliharaannya. Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, UNIMAS.

-       Umi Abdullah. (2006), Joget Gamelan Terengganu dan Pahang, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.

 

    ii.        Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

                 - Puan Zaharah Binti Abdul Hamid (Tokoh)

                 - Puan Wan Salmah Wan Sulaiman (Tokoh)- 019-9246688

                 - To' Puan Hajah Ariza binti Ibrahim (Pengurus Warisan SaRi)

                    013-982 8747

                 - Puan Norsafini Binti Jafar (penyelidik di dalam Analisis Tarian  

                    Klasik Melayu (Joget Gamelan) dan Pensyarah ASWARA

                    016-3267830

                 - Puan Amira Binti Mohamad (penerus dan pengajar Joget Gamelan

                    sehingga kini) - 013-9494883

Lokasi