TARIAN JOGHEE
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Asal usul nama joghee adalah gabungan perkataan ‘joget’ dan ‘gembira’. Tarian ini diperkenalkan oleh Allahyarham Aminah Nani (Mak Minah) yang merupakan seorang primadona dan tokoh seni lakon bangsawan. Tarian joghee selalu dipersembahkan ketika extra turn bangsawan. Pun begitu, tarian ini bebas dipersembahkan di acara-acara lain, bukan semata-mata ketika extra turn pementasan bangsawan.


Menurut Marlinda Mansor, tarian joghee ini dipulihara semula pada tahun 1993, ketika Mak  Minah diminta menjadi penasihat di Penang Culture Heritage. Pada waktu itu, Mak Minah diminta memperkenalkan tarian-tarian yang ada di Pulau Pinang. Maka, Mak Minah menyebut betapa tarian joghee ini harus dilestarikan semula. Pada tahun 1994 ketika berlangsungnya Malaysia Fest, tarian joghee ini diangkat semula. Menurut Marlinda Mansor lagi, tarian ini dikatakan mempunyai unsur-unsur tarian pedagang dan penjajah. Hal ini berikutan, ada yang mempercayai bahawa tarian ini masuk ke alam Melayu pada ketika zaman kolonialisme berlaku. Sungguhpun demikian, gerakan tarian ini lebih dekat dengan unsur-unsur gerakan masyarakat India dan Arab Parsi yang sangat sinonim dengan masyarakat berdarah campuran (Anak Mami dan Peranakan Jawi) di Pulau Pinang. Dalam bahasan lain, sekiranya tarian ini mula masuk ke alam Melayu ketika zaman kolonialisme, unsur Arab-Parsi lebih akrab dengan gerak tarinya, kerana dapat dilihat daripada pergerakan kepala, tangan dan juga kaki. 


Tarian joghee ini turut dikaji oleh masyarakat serumpun di negara jiran, Indonesia. Kajian menunjukkan, pertunjukan tari joghee atau tari jogi lahir daripada masyarakat suku Melayu Pulau Panjang, Batam, yang mendapat pengaruh daripada Pulau Pinang. Menurut kajian mahasiswa-mahasiswa Jurusan Tari, Fakultas Seni Pertunjukan Institut Seni Indonesia Yogyakarta dalam kajian estetika mereka pula, tarian joghee berelasi dengan kehidupan kaum nelayan. Tarian ini menceritakan kisah para wanita atau isteri yang menyiapkan diri untuk menyambut kepulangan para suami atau para jejaka yang pulang dari menangkap ikan di laut. Hal ini boleh diterima pakai kerana dekat dengan takrif joghee yang diperkenalkan Mak Minah, iaitu bermaksud ‘joget’ dan ‘gembira’, iaitu berjoget dan bergembira menanti kepulangan para lelaki yang keluar mencari rezeki.


Tarian atau muzik joghee pula beritma mudah, dengan pola muzik berulang-ulang. Hanya terdapat satu lagu joghee, membuatkan muziknya senang diingati. Tarian ini memperlihatkan tertib dan adab wanita, kerana pada bahagian permulaan, penari-penari ini akan masuk dengan menutup muka. Setelah itu, mereka akan melepaskan selendang yang melitupi muka, menunduk dan membuka tangan, sebagai tanda hormat. Setelah itu, tarian pun dilangsungkan sehingga tamat lagu joghee.


Fungsi dan Peranan

Sebagai alat berhibur

Sebagai tanda meraikan kepulangan kaum lelaki yang keluar mencari rezeki

Menjadi salah satu pertunjukan extra turn


Busana/ Aksesori

Sebelum dikreasi atau dikontemporarikan, pada asalnya, golongan wanita ini membuat persembahan joghee dengan melepaskan rambutnya, kerana wanita Melayu pada zahirnya berambut panjang.

Pemanis dahi dipakai di bahagian kepala.

Pada bahagian badan, para penari memakai vest bermanik dan berlabuci (kelihatan jelas pengaruh Parsi-India).

Bahagian bawah, penari memakai skirt labuh. Kini diberi unsur kontemporari, dengan memakai seluar bercekak di kaki.

Penari memakai gelang tangan dan loceng kaki, bertujuan untuk membunyikan ritma muzik, ketika gerakan hentakan kaki dilakukan.


Peralatan/ Bahan-Bahan

Manik, labuci.

Pemanis dahi.

Gelang tangan.

Gelang kaki.

Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Gerakan tari titik menapak. Gerakan ini dimulakan dengan hentakan kaki kanan (titik) diikuti hentakan kaki kiri (menapak), dan diulang-ulang menghadap depan. Hentakan ini dimeriahkan dengan bunyi gelang kaki yang dipakai penari. 

Gerakan tari titik menapak ini diteruskan dengan penari memusing ke bahagian sisi. 

Tangan pula digerakkan dengan kaedah teruling.

Kepala digerakkan (dihayun) ke kiri dan ke kanan mengikut kiraan lapan dan tempo muzik joghee.

Terdapat beberapa jenis gerakan dalam tarian joghee, antaranya gerakan cermin berganda, gerakan hamparan tikar dan gerakan tiga titik sisi. Dalam gerakan tiga titik sisi, penari akan mengangkat kakinya dari tengah ke sisi. 


Tokoh dan Pencapaian

-

Sumber Rujukan

i. Bahan Bacaan: https://www.facebook.com/jkknp.pinang/posts/httpsyoutube4saqhi7_96ocabaran-menari-tarian-joghee-bersama-kumpulan-kesenian-jk/3179906018730817/ 

https://www.youtube.com/watch?v=ErFYTwIUpys 

https://digilib.isi.ac.id/11606/5/jurnal.pdf 

https://www.youtube.com/watch?v=Fx6tAuNjc9U



i. Tokoh (jika ada temu bual tokoh)

Abd Razak Abd Malek & Nur Hidayati Mohamed Jamali (JKKN Pulau Pinang)

Marlinda Mansor (Penang Culture Centre)


Lokasi