MUZIK TRADISI BERTITIK BAJAU SAMA
Seni Persembahan

Pengenalan dan sejarah

Muzik tradisi ’Bertitik’ merupakan khazanah warisan masyarakat Bajau Sama di negeri Sabah. Kebiasaannya, ’Bertitik’ akan dimainkan sepanjang majlis perkahwinan berlangsung terutama dalam kalangan masyarakat Bajau Sama di Kota Belud, Sabah.

Permainan muzik ini bertujuan sebagai tanda atau syarat untuk memberitahu penduduk kampung bahawa terdapat majlis sedang berlangsung di sekitar kawasan berdekatan. Sementara itu, permainan muzik ’Bertitik’ ini akan mula dipersembahkan ketika waktu petang sebelum berlangsungnya malam berinai, semasa malam berinai dan berlangsungnya majlis persandingan antara mempelai yang diraikan.

Walau bagaimanapun, muzik ’Bertitik’ ini tidak boleh dimainkan apabila berlaku malapetaka atau ketika kesusahan, kesedihan dan kematian di kampung tersebut sehingga tamat tempoh berkabung selama 40 hari. Jika melanggar pantang larang ini boleh menyebabkan malapetaka terhadap seluruh penduduk kampung berkenaan.

Fungsi dan Peranan

Persembahan muzik ’Bertitik’ turut dimainkan ketika majlis kesyukuran, sambutan adat, perayaan, festival kesenian serta ketika meraikan kehadiran orang-orang kenamaan. Kumpulan pemain muzik ’Bertitik’ ini juga kerap dijemput untuk membuat persembahan dalam acara-acara tradisi, kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.

Busana/ Aksesori

Pemain-pemain kumpulan muzik ’Bertitik’ kebiasaannya terdiri dalam kalangan kaum lelaki. Mereka akan mengenakan busana tradisi kaum Bajau Sama dengan memakai baju potongan cekak musang daripada kain satin yang dijahit dengan renda benang emas. Mereka turut mengenakan butang emas, seluar panjang, samping dan tengkolok yang menggunakan kain tenunan dastar mengikut motif tradisional masyarakat Bajau Sama itu sendiri.

Peralatan/ Bahan-Bahan

Antara peralatan muzik yang digunakan ialah gendang, gong, bebandil, dan kulintangan. Keempat-empat alat muzik ini berfungsi sebagai satu alunan irama yang melambangkan keharmonian dan kesepakatan. Jika salah satu alat muzik ini tidak digunakan, alunan bunyi muzik Bertitik akan berubah menjadi sumbang. Alat muzik ini dimainkan oleh mereka yang sangat mahir mengendalikannya.

Tokoh dan Pencapaian

i.  ENCIK MARDAN BIN ABD RAKMAN

ii. PUAN JUDETH JOHN BAPTIST

Sumber Rujukan

   i.        MARDAN BIN ABD RAKMAN

    ii.      PUAN JUDETH JOHN BAPTIST

   iii.        NORDIN, N., & SAAT, G. (2022). ANTARA IDENTITI BAJAU SAMAH DAN BAJAU UBIAN, SEJAUH MANA PERBEZAANNYA: KAJIAN KES DI KAMPUNG PULAU GAYA ASAL, KOTA KINABALU, SABAH: BETWEEN THE IDENTITY OF BAJAU SAMAH AND THE BAJAU UBIAN, THE EXTENT OF THE DIFFERENCE: CASE STUDY IN KAMPUNG PULAU GAYA ASAL, KOTA KINABALU, SABAH. Jurnal Kinabalu, 28(1), 147-161.

   iv.        Azira, N. A. H. (2023). TARIAN LIMBAI: SEBUAH WARISAN TRADISI KAUM BAJAU: Limbai Dance: A Legacy of the Bajau Tradition. Jurnal Borneo Arkhailogia (Heritage, Archaeology and History), 8(1), 119-136.

Pangayan, V. B. (2022). TARIAN MONGILAG: TARIAN PAHLAWAN ETNIK KIMARAGANG. Apresiasi Seni Edisi ke-3, 118.

Lokasi