Main Peteri,
atau disebut juga sebagai Main Teghi dalam dialek Kelantan, adalah salah satu
kesenian autentik di negeri ini. Kesenian
ini adalah salah satu kaedah perubatan tradisi paling popular dalam masyarakat
Melayu Kelantan-Pattani sejak lama dahulu. Diakui bahawa sukar untuk
mengasingkan aspek seni persembahan dan ritual perubatan dalam kesenian ini
kerana terdapat pertalian rapat antara kedua-dua unsur itu.
Terdapat pelbagai versi berkaitan asal-usul Main Peteri
yang boleh dijadikan sumber maklumat, namun kerana ketiadaan rekod-rekod yang
tepat maka sumber lisan adalah satu-satunya rujukan yang ada.
Daripada sudut persembahan, Main Peteri dilihat sebagai
sebuah kesenian yang menarik kerana ia menggabungkan unsur-unsur lakonan,
nyanyian, tarian dan muzik, dengan unsur Islam, magis dan ritual. Tok Teghi
iaitu ketua kumpulan bertindak sebagai perantara bagi menghubungkan pesakit
dengan angin atau semangat yang diseru. Ketika proses ini berlangsung, Tok
Teghi akan mengalami perubahan watak; menjadi bengis dan garang, menjadi orang
tua nyanyuk, pemuda cacat, bersuara sengau dan pelbagai watak lain bagi menggambarkan
sakit yang ditanggung oleh pesakit.
Seni persembahan Main Peteri merupakan persembahan
kesenian yang jarang dipersembah di luar Kelantan. Dengan itu, persembahan ini
seharusnya diperluas agar masyarakat luar dapat mengetahui kesenian ini,
seterusnya dikekalkan sebagai warisan masa depan.
Selain daripada tujuan perubatan, kini Main Puteri sering dijadikan sebagai tontonan keilmuan dan juga rakaman bagi tujuan proses pembelajaran dan pendokumentasian.
Antara
kelengkapan dan prop yang digunakan untuk mengubati pesakit adalah seperti
beras kunyit, bertih, air kolam, nasi guru, alat keduri, kemenyan, kain yang
dijadikan sebagai lelangit dan tikar khadam.
Alat-alat muzik yang digunakan adalah rebab, gendang,
serunai, canang, gong, kesi, geduk dan gedombak. Dipercayai terdapat lebih 50
buah lagu dalam persembahan Main Peteri, namun pada masa kini tidak sampai
sepuluh lagu yang masih dipersembah. Antara lagu-lagu lazim yang dinyanyikan
ialah Kijang Mas, Mengulit, Pendekar, Cik Muda, Cik Kojo, Menora dan
Abe.
Kumpulan Teghi Pokjue Jelawat merupakan tokoh teghi utama. Ia pernah membuat persembahan di Perancis dan negeri Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.
i.Bahan
Bacaan: Menyingkap Rahsia, Merungkai Mitos Peteri: Kesenian Terapi Psikologi
(Lim Swee Tin & Mohd Sulhie Yusuf), 2021
ii.Tokoh/
Informen: Muhd Noor bin Arifin