Foto 1: Persembahan Dondang Sayang
Sumber: Jabatan Warisan Negara
Dondang Sayang merupakan sejenis seni persembahan tradisional Melayu yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Melayu, Baba Nyonya, Chetti dan Portugis di Melaka. Istilah “dondang” membawa maksud menghiburkan hati, manakala “sayang” merujuk kepada kasih atau cinta, justeru secara literalnya, Dondang Sayang bermaksud “nyanyian kasih sayang”. Nyanyian ini sangat unik kerana digabungkan dengan pantun Melayu, yang dilagukan secara berbalas oleh dua penyanyi yang pada kebiasanya oleh lelaki dan wanita.
Secara tradisional, Dondang Sayang berperanan sebagai medium hiburan utama dalam kalangan institusi Kesultanan Melayu Melaka, golongan bangsawan, dan rakyat biasa. Ia sering dipersembahkan dalam majlis-majlis rasmi seperti perkahwinan, kenduri, dan perayaan, bukan sahaja sebagai hiburan semata-mata, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat pada ketika itu. Melalui pertukaran pantun secara spontan yang bersifat nasihat, sindiran halus atau jenaka, Dondang Sayang turut menjadi medium penyampaian nilai-nilai moral, budaya dan intelektual secara santai namun berkesan.
Dalam konteks masa kini, Dondang Sayang terus dipelihara sebagai warisan budaya tidak ketara yang kaya dengan nilai sejarah dan seni. Persembahannya masih kekal relevan dan sering ditampilkan dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, perhimpunan komuniti, pesta kebudayaan, serta program pelancongan budaya. Seiring dengan pengiktirafannya oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan pada 29 November 2018, pelbagai pihak termasuk institusi kebudayaan dan badan kerajaan telah menjalankan latihan, bengkel dan program pemuliharaan bagi memastikan kesinambungan seni ini. Usaha-usaha ini penting bagi memastikan Dondang Sayang terus diwarisi oleh generasi muda, sekaligus mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu khazanah seni lisan Melayu yang bernilai tinggi.
Busana yang dikenakan oleh para penyanyi atau pemantun dalam persembahan ini direka untuk bersesuaian dengan suasana formal dan tidak formal dan juga boleh disesuaikan mengikut tempat dan majlis, sama ada di pentas kebudayaan, kenduri kahwin, atau majlis rasmi kerajaan. Pemakaian ini turut memberikan gambaran visual yang kuat tentang nilai ketimuran dan kekayaan tekstil tradisional masyarakat Melayu serta pengaruh silang budaya seperti Baba Nyonya dan Chetti yang turut mengangkat Dondang Sayang dalam warisan mereka.
Pakaian Lelaki
Lelaki yang terlibat dalam persembahan Dondang Sayang lazimnya mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga, iaitu sejenis baju tradisional Melayu yang berpotongan ringkas tanpa kolar keras, dengan jahitan halus di bahagian leher (tulang belut). Baju ini dipadankan dengan seluar Melayu, sama ada berpotongan patelun (gaya tradisi Melayu Johor) atau potongan Cina yang lurus dan longgar. Lengkap dengan kain samping yang dililit kemas di pinggang, songkok sebagai penutup kepala, dan capal atau selipar kulit tradisional sebagai alas kaki.
Pakaian Wanita
Bagi wanita pula, terdapat dua pilihan busana utama iaitu Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Kebaya, bergantung kepada kesesuaian acara dan latar belakang etnik. Kedua-duanya dipadankan dengan kain sarung, sama ada daripada kain batik sarung bercorak tradisional atau kain batik lepas yang dililit kemas. Aksesori tambahan termasuk selendang yang dikenakan di bahu atau kepala sebagai simbol keayuan dan kesantunan, serta kasut seret atau sepatu tradisional yang melengkapi penampilan dengan penuh gaya.
Aksesori Tambahan
Dalam persembahan yang lebih formal atau majlis berskala besar, pemantun wanita turut mengenakan kerongsang tiga serangkai, subang, dan gelang
tangan sebagai pelengkap gaya. Pemantun lelaki pula kadangkala menambah rambai songkok atau cincin batu tradisional sebagai lambang karisma dan kekemasan.
Alat muzik ini memainkan peranan penting dalam menyesuaikan rentak dan irama bagi memperindah penyampaian pantun berbalas dalam persembahan Dondang Sayang. Antara alat muzik yang sering digunakan termasuk:
Biola
Biola merupakan sebahagian alat muzik utama dalam Dondang Sayang. Ia memainkan irama yang lunak dan mendayu, sekali gus menjadikan persembahan lebih menarik dan menyentuh perasaan. Biola juga membantu dalam memimpin melodi nyanyian secara harmoni.
Rebana
Rebana berperanan sebagai alat muzik pengiring yang menyokong persembahan pemantun. Bunyi rebana memberikan irama asas dan memperkukuh tempo persembahan, khususnya dalam suasana santai dan bersahaja.
Gong / Tetawak
Gong atau tetawak merupakan sebahagian alat muzik utama yang sering digunakan dalam persembahan berskala besar. Bunyi gong menandakan permulaan atau penekanan tertentu dalam persembahan, sekali gus menambahkan elemen dramatik dan simbolik.
Akordian
Akordian merupakan alat muzik utama yang menghasilkan melodi dalam persembahan Dondang Sayang, terutamanya dalam versi kontemporari. Ia sering digunakan bagi menggantikan fungsi biola dalam beberapa persembahan moden.
Gendang
Gendang memainkan peranan dalam membentuk struktur ritma yang konsisten. Ia juga membantu menyesuaikan rentak pantun dan nyanyian agar persembahan lebih teratur dan menarik.
Tamborin
Tamborin digunakan secara sekali-sekala dalam persembahan Dondang Sayang bagi menambah variasi bunyi dan memberi kesan irama yang lebih meriah. Ia sering digunakan dalam persembahan yang lebih santai atau bersifat hiburan umum.
Marakas
Marakas merupakan sejenis alat muzik dari negara Barat yang kadangkala digunakan dalam persembahan Dondang Sayang moden. Ia berfungsi sebagai alat sokongan yang menambah warna bunyi dan tekstur ritma dalam persembahan.
Persembahan Dondang Sayang dimulakan dengan gesekan biola yang berfungsi membuka suasana dan menarik perhatian penonton. Alunan biola ini kemudiannya diiringi oleh tingkahan rebana dan gong, menghasilkan rentak lembut dan beralun yang menjadi ciri khas irama Dondang Sayang. Setelah irama dimainkan, para pemantun mula menyampaikan pantun empat kerat secara berlagu dan berselang-seli antara satu sama lain.
Walaupun Dondang Sayang biasanya disampaikan secara berpasang-pasangan antara pemantun lelaki dan perempuan, jumlah pemantun tidak dihadkan. Pemantun pertama akan menyampaikan pantun soal, manakala pemantun kedua bertanggungjawab membalas pantun jawapan. Sekiranya pantun tidak dijawab, maka pemantun ketiga boleh mengambil alih untuk meneruskan nyanyian. Elemen spontan dan kebijaksanaan berpantun sangat ditekankan, menjadikan persembahan ini sebagai satu bentuk hiburan intelektual yang menguji kepantasan berfikir dan keindahan berbahasa.
Menariknya, tajuk pantun tidak ditetapkan secara khusus, membolehkan para pemantun memilih tema secara bebas bergantung kepada konteks majlis atau reaksi penonton. Terdapat lebih 99 tajuk pantun yang menjadi sebahagian daripada repertori tradisional pemantun, dan mereka dikehendaki mengingati dan menghafalnya agar dapat digunakan dalam pelbagai situasi dan suasana persembahan.
Tempoh persembahan Dondang Sayang tidak dihadkan secara rasmi. Dalam konteks tradisional, ia lazimnya berlarutan sehingga ke dinihari, mencerminkan sifatnya yang santai dan terbuka. Namun begitu, dalam acara tertentu seperti majlis perkahwinan, persembahan akan ditamatkan oleh pemain muzik atau tuan rumah berdasarkan keperluan majlis dan masa yang ditetapkan.
Antara lagu-lagu tradisional yang sering dinyanyikan atau dikaitkan dengan gaya Dondang Sayang adalah;
Dondang Sayang Melaka
Dondang Sayang Baba dan Nyonya
Dondang Sayang Tanjung Surat
Dondang Sayang Temasik
Dondang Sayang Pulau Pinang
Pisang Mas Bawa Belayar
Pisang Masak Sebiji
Kesenian Dondang Sayang bukan sekadar warisan budaya yang diwarisi turun-temurun, malah turut disemarakkan oleh tokoh-tokoh yang gigih memperjuangkan kelangsungan dan pemeliharaannya. Di antara mereka, dua figura tersohor telah menonjol sebagai pelopor dan penggiat utama yang telah menyumbang besar dalam memperkukuh kedudukan Dondang Sayang sebagai seni budaya bernilai tinggi di Malaysia.
YBhg. Datuk Mohd Baharim bin Mohd Sharip
Berpengalaman hampir lima dekad dalam dunia Dondang Sayang, YBhg. Datuk Mohd Baharim bin Mohd Sharip memulakan perjalanan seninya sebagai pemain muzik sebelum berkembang menjadi penyanyi dan pemantun utama. Komitmen beliau dalam bidang ini menyerlah apabila beliau menyertai Kumpulan Dendang Perantau, sebelum mengambil langkah lebih besar dengan menubuhkan Kumpulan Cak Kun Cak, kumpulan yang memainkan peranan penting dalam memperkenalkan Dondang Sayang ke peringkat lebih luas.
Sebagai individu yang aktif dalam pendidikan seni, beliau pernah dilantik sebagai Jurulatih Seni Muzik untuk Program Tunas Budaya, Jurulatih Bengkel Dondang Sayang, serta Jurulatih Muzik dan Lagu Asli di Institut Warisan Melaka (INSWA). Beliau turut diundang menjadi juri dalam pelbagai pertandingan muzik dan nyanyian, membuktikan kepercayaan tinggi terhadap kepakaran beliau dalam bidang ini.
Selain penglibatan persembahan, Datuk Baharim turut menonjol sebagai penulis dan pencipta pantun, dengan koleksi lebih 2,000 rangkap pantun Dondang Sayang yang telah dihasilkan. Setelah Kumpulan Cak Kun Cak dibubarkan, beliau menubuhkan Kumpulan Kenangan Mawar Biru dan memimpin sendiri sebagai pemuzik utama. Meskipun telah berusia, beliau masih giat menganjurkan bengkel dan persembahan serta tidak pernah jemu memupuk minat generasi baharu terhadap Dondang Sayang. Semangat dan dedikasi beliau digambarkan melalui kata-kata, “selagi hayat dikandung badan, saya akan terus memperjuangkan kesenian ini.”
Penglibatan beliau yang cemerlang turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah berprestij seperti:
Bintang Khidmat Terpuji (BKT) pada tahun 2000
Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada 2017
Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Tokoh Dondang Sayang Negeri Melaka
Tuan Haji Idriss bin Haji Sariff
Dilahirkan pada 20 Disember 1955 di Kampung Air Leleh, Melaka, Tuan Haji Idriss bin Haji Sariff merupakan seorang anak jati Melaka yang sangat sinonim dengan dunia Dondang Sayang. Mewarisi minat daripada bapanya yang juga seorang pemantun terkenal, beliau mula berkecimpung dalam seni ini sejak usia belasan tahun.
Berbekalkan bakat dan semangat tinggi, beliau menceburkan diri sebagai pemuzik dan berjaya membina kerjaya dalam pelbagai institusi seperti RTM Melaka, Kombo Briged Seni Melaka, dan Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Beliau turut menjadi tenaga pengajar dan pemuzik di Akademi Seni Melaka, sekaligus membina jambatan ilmu antara seni warisan dan institusi pendidikan.
Dalam usaha mengukuhkan platform kesenian, beliau menubuhkan kumpulan ‘Dendang Irama’, yang aktif mempersembahkan Dondang Sayang di pelbagai pentas negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Sebagai penyanyi, beliau turut menyertai pelbagai pertandingan nyanyian seperti Pertandingan Lagu P. Ramlee dan berjaya mara ke peringkat separuh akhir Pertandingan Bintang RTM.
Kini, beliau berperanan sebagai Ketua Jurulatih Muzik di Institut Warisan Melaka (INSWA) dan kerap terlibat dalam Bengkel Dondang Sayang serta pengajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Sumbangan beliau dalam bidang ini telah membawa kepada pengiktirafan sebagai:
Tokoh Penggiat Seni Budaya Melaka (2006)
Tokoh Dondang Sayang Negeri Melaka (2007)
Jurulatih Seni Budaya Negara Terbaik (2007)
Kedua-dua tokoh ini menjadi lambang kegigihan dan dedikasi dalam memastikan Dondang Sayang kekal hidup, terus berkembang dan tidak dilupakan oleh generasi masa kini. Kecintaan mereka terhadap seni ini bukan sahaja melestarikan warisan, malah memperkasa budaya bangsa.
Bahan Bacaan
Ong, S. N., & Manokaran, K. (2014). Orthographic and phonological integration of Malay words of the Pantun in the Dondang Sayang. The Malaysian Journal of Qualitative Research, 10(01), 101–118. https://doi.org/10.61211/mjqr100109
Sani, N. A. S. A., Subki, N. S. M., Kamal, J. I. A., & Jali, J. M. (2024). Menelusuri keunikan sejarah dondang sayang: Tradisi Melayu dan Baba Nyonya. Jurnal Kajian Lisan Malaysia, 2(2), 51-59.
Thomas, P. (1986). 1. A brief history of Dondang Sayang. In ISEAS Publishing eBooks (pp. 3–10). https://doi.org/10.1355/9789814377782-003
Zaman, N. B. K. Satu Kajian Keatas Penerimaan Penonton Terhadap Seni Persembahan Dondang Sayang Di Melaka. Dalam https://ir.unimas.my/id/eprint/21290/1/Satu%20kajian%20ke%20atas%20penerimaan%20penonton...(24%20pgs).pdf
Tokoh (jika ada temu bual tokoh)
YBhg. Datuk Mohd Baharim bin Mohd Sharip. Kumpulan Muzik Asli Institut Warisan Melaka (INSWA), Institut Warisan Melaka (INSWA), No.9, Rumah Kerajaan Bukit, 75150 Melaka.
Tuan Haji Idriss bin Haji Sariff. Kumpulan Muzik Asli Institut Warisan Melaka (INSWA), Institut Warisan Melaka (INSWA), No.9, Rumah Kerajaan Bukit, 75150 Melaka.