Gambar

5

Video

tiada

Pelawat Hari ini

5

Jumlah Pelawat

68

Pengenalan dan sejarah

Kitab Tib merupakan salah satu manuskrip perubatan Melayu tradisional yang muncul pada abad ke-19 dan dianggap sebagai warisan penting dalam bidang perubatan tradisi Nusantara. Nama “Tib” itu sendiri dipinjam daripada istilah Arab al-tibb yang bermaksud ubat, tabib atau ilmu perubatan. Penamaannya mempunyai kaitan dengan karya perubatan Arab yang masyhur iaitu “Qānūn fī al-Tibb” karangan Ibnu Sina, yang sangat berpengaruh dalam sejarah perubatan Islam. Namun, Kitab Tib dalam konteks Melayu tidak mempunyai pengarang khusus. Ia kebanyakannya merupakan naskhah salinan yang ditulis semula oleh masyarakat terdahulu untuk tujuan penyebaran ilmu, lalu dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai panduan rawatan dan penjagaan kesihatan.


Isi kandungan Kitab Tib memperlihatkan kepelbagaian ilmu yang mencerminkan cara hidup, pengalaman, dan pemikiran orang Melayu zaman dahulu. Antara aspek utama yang dibincangkan ialah rawatan penyakit menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti akar kayu, herba, rempah-ratus dan tumbuhan tempatan. Penyakit-penyakit biasa seperti demam, batuk, senggugut, lelah, kudis, kayap dan cacar dirawat dengan ramuan tumbuhan, manakala penyakit rohani atau gangguan makhluk halus seperti rasukan hantu, syaitan dan jin pula ditangani dengan jampi serapah, doa serta azimat. Kandungan manuskrip ini juga tidak terhad kepada perubatan semata-mata, tetapi merangkumi perbincangan tentang pemulihan tenaga batin, ilmu pengasih, penyeri wajah, hingga kepada azimat yang kononnya memberi keyakinan ketika berhadapan dengan raja atau pembesar. Keunikan inilah yang menjadikan Kitab Tib bukan sekadar teks perubatan, tetapi juga khazanah budaya yang menyingkap cara orang Melayu memandang tubuh, kesihatan, alam, dan kuasa ghaib.


Dari sudut sejarah, pengetahuan dalam Kitab Tib telah menarik perhatian bangsa asing, khususnya pada zaman kolonial. The Pharmaceutical Society of Great Britain pernah menyimpan sebuah terjemahan berjudul The Medical Book of Malayan Medicine pada tahun 1886. Buku tersebut mengandungi preskripsi perubatan Melayu, termasuklah ubat bagi melegakan penyakit asma dan bronkitis yang kemudiannya turut digunakan di Barat sekitar tahun 1915. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu perubatan Melayu tidak terhad kepada ruang lingkup tempatan, bahkan mempunyai nilai praktikal yang diiktiraf masyarakat luar. Generasi kini mungkin kurang menyedari bahawa pengetahuan tersebut telah lama dihimpunkan dalam Kitab Tib yang kini diiktiraf sebagai Seni Warisan Negara di bawah kategori “Warisan Bahasa dan Persuratan”. Menurut rekod Perpustakaan Negara Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya 40 koleksi manuskrip Kitab Tib di Malaysia, manakala lebih 80 manuskrip lagi direkodkan di seluruh dunia.


Salah satu variasi penting ialah Kitab Tib Betawi, manuskrip perubatan tradisional masyarakat Melayu-Betawi yang terdiri daripada 504 halaman bertulisan tangan. Manuskrip ini unik kerana tidak mempunyai pembahagian bab, tanda baca yang lengkap, atau struktur sistematik. Ia ditulis dalam tulisan khat Arab seperti Nasakh, Thuluth, dan Ta‘liq, dengan penggunaan dialek Melayu Betawi yang banyak dipengaruhi oleh bahasa Arab. Perbendaharaan kata yang digunakan memperlihatkan pengaruh silang budaya, seperti “ayam” dieja sebagai “hayam,” “resdung” ditulis “restung,” dan penggunaan istilah Arab seperti illat untuk merujuk penyakit. Doa, ayat al-Quran, serta hadis sering digunakan sebagai sandaran rawatan, meskipun terdapat banyak kesalahan ejaan dan kekeliruan dalam teks yang memerlukan pentashihan dan tahqiq. Ini menunjukkan bahawa walaupun manuskrip ini berakar daripada tradisi Islam, proses penyalinan yang tidak sempurna menyebabkan berlaku penyimpangan teknikal.


Dari sudut pemikiran, penulisan dalam Kitab Tib jelas memperlihatkan pengaruh Islam yang kuat terhadap masyarakat Nusantara. Namun, tidak semua rujukan dalam manuskrip ini berasaskan sumber sahih. Sebagai contoh, terdapat riwayat tentang “Sarhabat,” jin yang dikatakan menjadi punca penyakit angin ahmar, yang tidak ditemui dalam mana-mana himpunan hadis sahih. Periwayatan seperti ini menunjukkan adanya unsur Maudhu’ (rekaan) dalam sesetengah bahagian kitab. Selain itu, penggunaan azimat dan tangkal sebagai medium rawatan turut dicatat, walaupun perkara ini dilarang dalam Islam. Ada juga teks doa yang berunsur Syiah ditemui dalam sebahagian versi Kitab Tib. Hal ini membuktikan bahawa walaupun Kitab Tib mempunyai nilai besar sebagai warisan ilmu, kandungannya bercampur aduk antara ilmu perubatan, kepercayaan tempatan, serta tafsiran agama yang bercampur unsur luar.


Keseluruhannya, Kitab Tib menjadi lambang kebijaksanaan dan kearifan masyarakat Melayu terdahulu dalam menguruskan kesihatan dan penyakit. Ia menghimpunkan aspek diagnosis, rawatan fizikal seperti bekam, urut dan khatan, penggunaan herba, doa, serta amalan pantang larang yang dianggap penting dalam pemulihan. Penyakit dikategorikan kepada dua punca utama iaitu semula jadi (faktor cuaca, air, panas, angin) dan ghaib (sihir, jin, hantu). Teknik diagnosis pula melibatkan pemeriksaan fizikal seperti nadi, mata, lidah dan kahak, serta ada juga yang bergantung kepada kaedah spiritual atau menurun sebagaimana terdapat dalam rawatan Main Puteri. Dari segi rawatan, kitab ini mencatatkan ramuan akar kayu, tumbuhan, serta rempah yang dihuraikan secara terperinci termasuk cara pengendalian untuk mendapatkan hasil terbaik. Pantang larang turut diberi penekanan kerana dipercayai memberi kesan langsung kepada keberkesanan rawatan.


Dengan segala ciri tersebut, Kitab Tib bukan sahaja sebuah manuskrip perubatan tetapi juga dokumen sosial dan budaya. Ia mencerminkan bagaimana masyarakat Melayu dahulu menggabungkan ilmu perubatan Arab-Islam dengan pengalaman tempatan, kepercayaan tradisional, serta pengaruh kosmologi yang lebih luas. Oleh sebab itulah, ia kini diiktiraf sebagai warisan persuratan yang amat bernilai, namun pada masa yang sama memerlukan usaha akademik yang lebih serius untuk ditahqiq, ditafsir, dan difahami dalam konteks sebenar.


Fungsi dan Peranan

Kitab Tib bukan sekadar manuskrip perubatan, tetapi berfungsi sebagai sebuah panduan menyeluruh yang mencerminkan sistem pengetahuan kesihatan masyarakat Melayu tradisional. Berikut adalah fungsi dan peranan Kitab Tib pada umumnya.


  1. Buku panduan dan rujukan perubatan tradisional

Fungsi utamanya adalah sebagai rujukan perubatan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit yang difahami pada zaman tersebut. Antara penyakit yang dihuraikan termasuklah sakit-sakit biasa seperti demam, batuk, kudis, sengugut, meroyan, dan asma, serta penyakit berjangkit seperti kayap dan cacar. Selain itu, Kitab Tib juga membincangkan penyakit yang dikaitkan dengan alam ghaib, termasuk rasukan hantu, jin, dan syaitan. Peranan ini menunjukkan bahawa kitab tersebut cuba merangkum segala bentuk kesakitan yang dipercayai oleh masyarakat, sama ada berpunca daripada faktor semula jadi atau kuasa luar biasa. Dengan itu, ia berfungsi sebagai ensiklopedia kesihatan tradisional yang mencakupi dimensi fizikal dan rohani.


  1. Dokumen rujukan herba dan sistem perubatan

Selain menjadi panduan rawatan penyakit, Kitab Tib berperanan sebagai dokumen pengetahuan herba dan akar kayu yang digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Kandungan kitab ini menghuraikan secara terperinci pelbagai ramuan, kaedah penyediaan, serta cara penggunaannya. Pengetahuan tentang tumbuh-tumbuhan ubatan seperti akar kayu, rempah, daun herba, dan bahan semula jadi lain dijadikan asas penyembuhan. Perincian tentang cara mengendalikan penawar termasuklah penyediaan, dos, dan pantang larang yang menunjukkan bahawa orang Melayu terdahulu mempunyai sistematik ilmu tersendiri dalam menguruskan sumber alam bagi tujuan kesihatan. Oleh itu, Kitab Tib berfungsi sebagai khazanah ilmu botani perubatan yang menjadi rujukan masyarakat ketika itu.


  1. Alat pendidikan budaya dan warisan

Fungsi lain yang jelas terkandung dalam Kitab Tib ialah sebagai alat pendidikan budaya dan warisan. Melalui penulisannya, generasi terdahulu dapat memindahkan pengetahuan dan pengalaman kesihatan kepada generasi seterusnya. Ia bukan sekadar buku ubat-ubatan, tetapi juga teks yang mengabadikan cara masyarakat Melayu menafsir penyakit, mengurus tubuh, dan berinteraksi dengan alam sekitarnya. Dengan memuatkan unsur pantang larang, azimat, doa, dan jampi serapah, kitab ini turut berperanan mendidik masyarakat tentang nilai-nilai budaya, kepercayaan, dan sistem kosmologi yang mengikat kehidupan seharian. Maka, Kitab Tib menjadi bukti bahawa ilmu perubatan tradisional tidak dapat dipisahkan daripada identiti budaya masyarakat Melayu.


  1. Sumber rujuk kolerasi perubatan tradisional dan amalan tempatan

Selain itu, Kitab Tib berperanan sebagai medium pertemuan antara tradisi Islam dan amalan tempatan. Penggunaan ayat al-Quran, hadis, doa, serta konsep-konsep perubatan Arab dalam manuskrip ini memperlihatkan sejauh mana Islam mempengaruhi pemikiran masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, manuskrip ini juga mencatatkan unsur-unsur yang kontroversi seperti penggunaan azimat dan tangkal yang tidak selari dengan ajaran Islam. Peranan kitab ini dalam konteks ini dapat dilihat sebagai wadah peralihan pengetahuan, iaitu integrasi antara ajaran agama dengan kepercayaan tempatan yang belum sepenuhnya disaring secara ilmiah. Justeru, Kitab Tib berfungsi sebagai refleksi kerencaman intelektual masyarakat Melayu yang hidup di persimpangan budaya, agama, dan tradisi.


  1. Fungsi sosial dan simbolisme

Dari sudut lain, Kitab Tib juga mempunyai fungsi sosial dan simbolik. Ia menjadi sumber kekuatan psikologi bagi masyarakat yang memerlukannya, terutama dalam menghadapi penyakit atau kesukaran hidup. Dengan adanya doa, azimat, dan jampi, kitab ini memberi harapan kepada pengamalnya bahawa mereka tidak bersendirian, tetapi mempunyai sokongan ilmu dan kuasa ghaib. Hal ini memperlihatkan bahawa fungsi kitab ini melampaui rawatan kesihatan, kerana ia turut berperanan sebagai alat memperkukuh keyakinan, ketenangan jiwa, dan hubungan spiritual dengan Tuhan serta alam.


  1. Dokumen artifak warisan persuratan Melayu

Akhir sekali, Kitab Tib kini berperanan sebagai dokumen warisan persuratan yang amat berharga. Sebagai salah satu teks klasik Melayu, ia menghubungkan kita dengan tradisi intelektual dan kebijaksanaan lampau yang sewajarnya diteliti, ditahqiq, dan dipelihara. Fungsinya bukan lagi semata-mata sebagai manual rawatan perubatan, tetapi sebagai bahan kajian akademik untuk memahami pandangan dunia Melayu tradisional dalam bidang kesihatan, budaya, dan agama. Pengiktirafannya sebagai Seni Warisan Negara di bawah kategori “Warisan Bahasa dan Persuratan” membuktikan peranan kitab ini sebagai nadi penting dalam usaha memelihara warisan ilmu yang tidak ketara.


Busana/ Aksesori

-

Peralatan/ Bahan-Bahan

Kekuatan utama Kitab Tib terletak pada huraian mengenai bahan-bahan dan ramuan yang digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Manuskrip ini merekodkan secara teliti pelbagai jenis ubat yang bersumberkan alam semula jadi, khususnya tumbuhan, rempah ratus, dan akar kayu. Penggunaan bahan semula jadi ini mencerminkan falsafah perubatan Melayu yang rapat dengan alam sekitar dan meyakini bahawa setiap tumbuhan serta benda ciptaan Tuhan mempunyai khasiat tertentu untuk kesejahteraan manusia. Oleh itu, ramuan dalam Kitab Tib boleh dibahagikan kepada beberapa kategori besar iaitu bahan herba dan akar kayu, rempah ratus dan tanaman harian, bahan mineral dan haiwan, serta unsur rohaniah seperti doa dan azimat.


  1. Herba Dan Akar Kayu 

Herba dan akar kayu merupakan bahan yang paling dominan dalam manuskrip ini. Pelbagai jenis daun, batang, akar, dan bunga digunakan untuk menghasilkan penawar penyakit. Sebagai contoh, daun kunyit dan halia sering disebut dalam ramuan untuk merawat masalah pencernaan dan sengugut, manakala akar kayu digunakan dalam campuran untuk mengubati penyakit kronik seperti demam berulang, batuk, atau kudis. Tumbuhan seperti mengkudu, sirih, pandan, dan serai turut menjadi ramuan asas, bukan sahaja kerana mudah didapati, tetapi juga kerana dipercayai mempunyai khasiat antiseptik, anti-radang, dan penyegar tubuh. Catatan ini membuktikan bahawa orang Melayu terdahulu sudah mempunyai pengetahuan etnobotani yang luas serta kemampuan menyesuaikan bahan alam untuk tujuan perubatan.


  1. Khasiat Rempah Ratus dan tumbuhan berkhasiat

Rempah ratus dan tanaman dapur juga memainkan peranan penting. Manuskrip ini memuatkan ramuan yang menggunakan lada hitam, bunga cengkih, kayu manis, jintan, dan pelbagai bijian lain. Rempah-rempah ini bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi juga dianggap berkesan sebagai ubat, misalnya untuk memanaskan tubuh, melancarkan peredaran darah, dan menghilangkan angin dalam badan. Ada ramuan tertentu yang digabungkan dengan asam jawa bagi tujuan membersihkan darah dan mengurangkan bengkak. Hal ini menunjukkan kesinambungan antara budaya pemakanan dan rawatan tradisional dalam kehidupan orang Melayu.


  1. Sumber mineral dan sumber daripada haiwan

Terdapat juga bahan mineral dan haiwan yang digunakan sebagai ubat. Walaupun lebih jarang disebut berbanding herba, kitab ini ada mencatatkan penggunaan unsur alam seperti kapur, garam, emas, dan batu permata yang dianggap mempunyai nilai terapeutik tertentu. Di samping itu, bahan daripada haiwan seperti madu lebah, susu, dan bahagian tubuh binatang tertentu turut dijadikan penawar. Misalnya, madu disebut sebagai ramuan pemanis serta ubat untuk meningkatkan tenaga dan sistem pernafasan, manakala susu digunakan sebagai bahan penguat tubuh. Ramuan berasaskan binatang ini sering digabungkan dengan tumbuhan untuk menghasilkan kesan rawatan yang lebih menyeluruh.


  1. Unsur kerohanian dan batiniah

Unsur rohaniah menjadi salah satu ciri khas Kitab Tib. Banyak naskhah kitab ini memuatkan azimat, doa, jampi serapah, dan bacaan ayat al-Quran yang digunakan sebagai pelengkap rawatan. Azimat berfungsi sebagai pelindung diri, jampi serapah dipercayai dapat menghalau makhluk halus atau memulihkan pesakit yang dirasuk, manakala doa dan ayat al-Quran digunakan sebagai bentuk ikhtiar rohani untuk memohon kesembuhan daripada Allah. Ada juga catatan tentang amalan “pemanis” atau “pengasih,” iaitu ramuan yang disertai bacaan tertentu untuk melembutkan hati atau menambah daya tarikan diri. Unsur ini menggambarkan kepercayaan masyarakat Melayu bahawa kesihatan tubuh tidak dapat dipisahkan daripada keseimbangan rohani, emosi, dan hubungan dengan dunia ghaib.


  1. Kaedah perawatan dan penawar

Kitab Tib turut memuatkan penjelasan terperinci tentang cara mengendalikan penawar. Ramuan tidak hanya disebut secara umum, tetapi diterangkan langkah demi langkah termasuk cara penyediaan, cara penyimpanan, dan kaedah penggunaan. Misalnya, ada ramuan yang perlu disangrai dahulu untuk membebaskan khasiatnya, ada yang perlu direndam dalam air suam, dan ada pula yang harus dicampurkan dengan madu atau minyak sebelum diminum atau disapu. Tatacara ini menunjukkan betapa seriusnya orang Melayu dahulu dalam memastikan keberkesanan rawatan, sekaligus menyerlahkan sifat saintifik mereka dalam konteks ilmu tradisional.


Secara keseluruhan, bahan-bahan dan ramuan dalam Kitab Tib tidak hanya menunjukkan pengetahuan praktikal tentang alam, tetapi juga mencerminkan pandangan dunia masyarakat Melayu yang menekankan keseimbangan antara jasmani dan rohani. Ia membuktikan bahawa kesihatan bagi orang Melayu bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi satu keadaan harmoni yang terjalin antara tubuh, alam, dan kuasa ghaib. Justeru, Kitab Tib berperanan sebagai sumber penting dalam memahami tradisi etnoperubatan Melayu serta khazanah warisan yang mendokumentasikan kearifan lokal dalam menjaga kesihatan diri dan komuniti.


Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

Proses rawatan dalam Kitab Tib memperlihatkan suatu sistem perubatan tradisional Melayu yang cukup lengkap kerana ia melibatkan aspek diagnosis, kaedah rawatan fizikal, rawatan rohani, serta pantang larang yang wajib dipatuhi oleh pesakit. Kaedah ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu terdahulu mempunyai kefahaman mendalam bahawa kesihatan bukan hanya berkaitan dengan tubuh badan semata-mata, tetapi juga melibatkan jiwa, persekitaran, serta kekuatan spiritual individu.


    Langkah 1:  Proses rawatan adalah diagnosis penyakit. 

    Kaedah ini tidak jauh berbeza dengan pemeriksaan dalam perubatan moden, walaupun bersifat tradisional. Tabib Melayu menilai tanda-tanda fizikal seperti denyutan nadi, warna kulit, keadaan mata, permukaan lidah, bentuk perut, telinga, dan kahak pesakit untuk mengenal pasti punca sakit. Pemerhatian yang teliti ini membolehkan mereka menentukan jenis penyakit serta menyesuaikan rawatan. Namun, dalam sesetengah keadaan, diagnosis turut melibatkan elemen spiritual melalui amalan “menurun,” iaitu tabib atau bomoh berinteraksi dengan makhluk ghaib untuk mendapatkan petunjuk. Proses ini sama dengan yang dipraktikkan dalam tradisi Main Puteri di Kelantan, di mana rawatan dijalankan dengan melibatkan aspek kesenian, muzik, dan komunikasi dengan roh. Hal ini membuktikan bahawa sistem diagnosis dalam Kitab Tib bersifat holistik, menggabungkan aspek fizikal dan spiritual.


    Langkah 2: Kaedah rawatan dan penyembuhan

    Setelah diagnosis dibuat, rawatan dilaksanakan menggunakan kaedah fizikal yang paling biasa seperti urut, bekam, khatan, dan penggunaan ubat herba. Urut digunakan untuk melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lenguh, dan melegakan angin dalam badan. Bekam pula dipercayai berkesan untuk mengeluarkan darah kotor serta memulihkan tenaga tubuh. Khatan dicatat bukan sahaja sebagai tuntutan agama, tetapi juga sebagai amalan kesihatan. Di samping itu, tabib Melayu menggunakan pelbagai ramuan herba yang telah dihuraikan dalam kitab untuk merawat penyakit tertentu. Ramuan ini diproses dengan pelbagai cara seperti direbus, disangrai, direndam atau digaul dengan bahan lain seperti madu dan minyak. Setiap proses mempunyai tujuan khusus, sama ada untuk mengaktifkan khasiat, melembutkan ramuan, atau menambahkan keberkesanannya.


    Langkah 3: Penekawan rawatan kerohanian dan batiniah

    Selain rawatan fizikal, Kitab Tib juga menekankan aspek rawatan rohani yang dianggap sama penting dalam pemulihan pesakit. Manuskrip ini memuatkan jampi serapah, doa, dan azimat yang digunakan dalam rawatan tertentu, khususnya apabila penyakit dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk halus atau sihir. Doa dan bacaan ayat al-Quran digunakan sebagai benteng spiritual, sementara azimat dipercayai dapat menjadi pelindung diri. Walau bagaimanapun, ada juga kandungan yang bersifat kontroversi kerana mencampuradukkan amalan Islam dengan unsur kepercayaan tempatan seperti tangkal dan mantera, yang pada sesetengah keadaan bertentangan dengan prinsip Islam sebenar. Perkara ini memperlihatkan bahawa rawatan rohani dalam Kitab Tib merupakan cerminan cara masyarakat Melayu menguruskan ketidakpastian dalam hidup, iaitu dengan menggabungkan unsur agama, budaya, dan kepercayaan mistik.


    Langkah 4: Pemahaman terhadap pantang larang

    Satu lagi komponen penting dalam proses rawatan yang ditekankan dalam Kitab Tib ialah pantang larang. Masyarakat Melayu percaya bahawa keberkesanan rawatan sangat bergantung kepada disiplin pesakit dalam mematuhi pantang larang yang ditetapkan. Pantang larang ini boleh berbentuk pantang makan (seperti mengelakkan makanan tertentu yang dianggap “sejuk” atau “bisa”), pantang perbuatan (tidak keluar malam, tidak mandi selepas waktu tertentu), atau pantang hubungan sosial (seperti tidak bercampur dengan orang tertentu ketika dalam proses rawatan). Pelanggaran pantang larang dipercayai boleh menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk, lambat sembuh, atau mendatangkan kesan buruk lain kepada kesihatan. Hal ini menunjukkan bahawa pantang larang bukan sekadar adat, tetapi sebahagian daripada sistem perubatan Melayu yang menekankan keseimbangan tubuh, alam, dan amalan sosial.


    Kesimpulannya, cara dan proses rawatan dalam Kitab Tib memperlihatkan satu pendekatan kesihatan tradisional yang menyeluruh. Ia bermula daripada proses diagnosis yang rapi, rawatan fizikal menggunakan ramuan alam, rawatan rohani berasaskan doa dan azimat, serta pantang larang yang mengikat gaya hidup pesakit. Semua elemen ini saling melengkapi, menjadikan Kitab Tib bukan hanya sebagai panduan perubatan, tetapi juga sebagai refleksi pandangan dunia masyarakat Melayu terhadap tubuh, penyakit, dan kesembuhan.


    Tokoh dan Pencapaian

    -

    Sumber Rujukan

    Bahan Bacaan

    Dewan Budaya. (2021, August 17). Khazanah ilmu perubatan Melayu dalam Kitab Tib. Dewan Budaya DBP. https://dewanbudaya.jendeladbp.my/2021/08/17/385/


    Dewan Sastera. (2022, April 11). Kitab Tib: Manuskrip perubatan Melayu klasik. Dewan Sastera DBP. https://dewansastera.jendeladbp.my/2022/04/11/3384/


    Gabungan Persatuan Perubatan Melayu Malaysia (GPMM). (2022, February 20). Kitab Tib: Di dalamnya tercatat rahsia ilmu perubatan Melayu zaman dahulu. GPMM Buletin. https://www.gpmmcare.org/buletin/2022/02/20/kitab-tib-di-dalamnya-tercatat-rahsia-ilmu-perubatan-melayu-zaman-dahulu/


    Ibrahim, N., & Shah, F. A. (2023). The prevalence of Quranic verses recitation in Malay medical treatment: A study on Kitab Tib MSS1653 manuscript. Al-Bayan: Journal of Qur’an and Hadith Studies, 21(3), 335–361. https://doi.org/10.1163/22321969-12340112


    Ibrahim, N., & Shah, F. A. (2024). Content analysis study of prophetic prayer medicament in Kitab Tib MSS1653 Malay medical manuscript. Al-Bayan: Journal of Qur’an and Hadith Studies, 22(2), 264–290. https://doi.org/10.1163/22321969-bja10062


    Jantung Melayu. (2018, April 1). Kitab Tib: Manuskrip obat dan ilmu tradisional Melayu. Jantung Melayu. https://jantungmelayu.co/2018/04/kitab-tib-manuskrip-obat-dan-ilmu-tradisional-melayu/


    Musa, N. Y., & Muhammad, A. (2018). Kitab Tib Betawi: Sorotan awal terhadap penulisan dan pemikiran ilmu perubatan Melayu tradisional. In Proceedings of Seminar Organised by the Centre for Language Studies and Generic Development (pp. 1–15). Universiti Malaysia Kelantan.


    Salleh, F. M., Saari, Z., Rahman, N. N. H. A., & Mustafa, N. (2020). Amalan diagnosis dalam perubatan Melayu berdasarkan Kitab Tib [Diagnosis practice in Malay medicine based on the Kitab Tib]. UMRAN – Journal of Islamic and Civilizational Studies, 6(3–2), 97–108. 


    Lokasi

    Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
    Dapatkan Arah

    Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

    Pegawai Kebudayaan

    Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

    atau

    Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!