Gambar

8

Video

tiada

Pelawat Hari ini

3

Jumlah Pelawat

3

Pengenalan dan sejarah

Lompat getah merupakan salah satu permainan tradisional kanak-kanak yang popular di Malaysia, khususnya dalam kalangan kanak-kanak perempuan, walaupun ada juga kanak-kanak lelaki yang turut serta. Permainan ini menggunakan tali panjang yang dihasilkan daripada getah gelang yang diikat sambung, kemudian dilompat mengikut urutan ketinggian tertentu. Bagi masyarakat Malaysia, ia menjadi sebahagian daripada memori kolektif zaman kanak-kanak, terutamanya sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an apabila gelang getah mudah diperoleh daripada pasar, kedai runcit, atau hasil tanaman getah yang meluas di Tanah Melayu.


Sejarah asal-usul permainan ini telah muncul sejak abad ke-7 di China. Pada ketika itu, permainan ini dipercayai berkembang daripada tradisi “Hundred Rope Jumping” sempena sambutan Tahun Baru Cina. Selain itu, ia juga dipengaruhi oleh latihan seni mempertahankan diri yang menekankan ketangkasan dan koordinasi pergerakan. Dari aktiviti ritual sambutan perayaan dan seni fizikal, ia kemudiannya diserap menjadi permainan kanak-kanak di China dengan nama “Chinese Jump Rope”.


Menjelang abad ke-20, permainan ini mula tersebar ke dunia Barat. Pada era 1960-an, ia dikenali di Jerman sebagai “Gummitwist” dan di United Kingdom serta Australia sebagai “Elastics”. Sekitar 1980-an pula, ia diperkenalkan secara lebih meluas di Amerika Syarikat dan menjadi popular khususnya dalam komuniti Asia-Amerika. Perubahan nama dan gaya permainan di Barat menunjukkan betapa permainan ini mudah menyesuaikan diri dengan budaya setempat, sekali gus membuktikan kelenturan nilai warisan ini.


    Namun begitu, penyebaran ke Asia Tenggara dipercayai berlaku lebih awal berbanding kemunculannya di Barat. Kedekatan geografi rantau ini dengan China serta hubungan perdagangan maritim yang telah lama terjalin membuka ruang besar kepada penyebaran budaya, termasuk permainan rakyat. Hal ini memungkinkan masyarakat Asia Tenggara seperti di Indonesia, Brunei, Thailand, dan Filipina sudah mengenali permainan ini lebih awal melalui interaksi langsung dengan pedagang Cina.


    Di Malaysia khususnya, lompat getah dipercayai diperkenalkan oleh komuniti Cina yang datang dan menetap di Tanah Melayu. Hubungan perdagangan dan migrasi masyarakat Cina sejak berabad lamanya telah mempertemukan budaya permainan ini dengan masyarakat tempatan. Kehadiran tanaman getah sebagai komoditi utama negara sejak awal abad ke-18 sehingga abad ke-20 turut memperkukuh penerimaannya, kerana gelang getah mudah didapati dan murah. Dari situlah permainan ini berkembang dan diwarisi, sehingga akhirnya diiktiraf sebagai salah satu permainan tradisional Malaysia yang mencerminkan kreativiti, kegembiraan, serta nilai kebersamaan dalam masyarakat.


    Sehingga kini, permainan lompat getah masih terus dimainkan sama ada di kawasan kampung mahupun dalam kalangan kanak-kanak yang menetap di bandar. Walaupun berdepan cabaran arus kemodenan dan persaingan permainan digital, ia tetap mendapat tempat dalam memori kolektif masyarakat. Malahan, permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak, tetapi turut disertai oleh golongan remaja dan dewasa sebagai satu bentuk solidariti nostalgia yang mengimbau zaman silam. Dalam konteks moden, lompat getah sering diangkat semula melalui penganjuran festival kebudayaan, sukaneka sekolah, serta program komuniti yang bertujuan memelihara warisan tradisional. Dengan cara ini, permainan ini bukan sahaja kekal hidup sebagai hiburan rakyat, tetapi juga menjadi medium penting dalam usaha memperkukuh identiti budaya dan menghubungkan generasi muda dengan warisan nenek moyang mereka.


    Fungsi dan Peranan

    Sama seperti permainan tradisional pada amnya, lompat getah ini turut mempunyai fungsi dan peranannya yang tersendiri. Antaranya adalah;


    1. Hiburan dan rekreasi

    Lompat getah berfungsi sebagai salah satu bentuk hiburan utama kanak-kanak pada zaman dahulu, khususnya sebelum wujudnya permainan moden atau teknologi digital. Ia dimainkan di halaman rumah, padang sekolah, atau tanah lapang untuk mengisi masa lapang. Gelak tawa dan sorakan rakan-rakan menjadikan permainan ini penuh keceriaan serta mampu menghilangkan kebosanan selepas waktu persekolahan.


    1. Melatih kecergasan fizikal dan mental

    Daripada itu, amalan jasmani kanak-kanak turut berkembang di mana, lompat getah membantu mengembangkan kekuatan otot kaki, daya tahan, serta koordinasi badan. Gerakan melompat dengan tepat mengikut corak permainan juga melatih daya tumpuan, kepantasan membuat keputusan, dan kawalan imbangan. Justeru, ia bukan sahaja aktiviti rekreasi tetapi juga bermanfaat untuk perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak.


    1. Menyemai nilai disiplin dan kesukanan

    Rentetan itu, ia telah membentuk satu struktur pemainan yang dapat menyemai nilai diri kanak-kanak. Permainan ini mempunyai peraturan tertentu yang mesti dipatuhi. Ia mengajar kanak-kanak tentang disiplin, semangat kesukanan, dan persaingan sihat. Mereka belajar menghormati giliran, mematuhi aturan, dan menerima keputusan sama ada menang atau kalah dengan sikap positif.


    1. Membina hubungan sosial

    Disinilah permainan ini telah mengatasi fungsinya sebagai bentuk hiburan, di mana ia turut berperanan sebagai medium interaksi sosial kerana dimainkan secara berkumpulan. Ia menggalakkan nilai kerjasama, toleransi, dan komunikasi antara pemain. Kanak-kanak akan belajar menyokong rakan, bergilir-gilir, serta menerima kekalahan dengan hati terbuka. Secara tidak langsung, permainan ini membentuk persahabatan dan memperkukuh ikatan komuniti.


    1. Warisan budaya dan identiti masyarakat

    Akhir sekali, lompat getah merupakan simbol warisan budaya yang melambangkan kreativiti masyarakat dalam memanfaatkan bahan mudah seperti getah gelang untuk dijadikan permainan. Ia juga menjadi identiti sosial yang diwarisi turun-temurun. Dengan terus dimainkan pada acara sukaneka atau festival kebudayaan, permainan ini membantu memelihara memori kolektif masyarakat.


    Busana/ Aksesori

    -

    Peralatan/ Bahan-Bahan

    Peralatan yang digunakan dalam permainan lompat getah sangat ringkas, murah, dan mudah disediakan. Antara bahan dan peralatan asas yang diperlukan ialah:


    1. Getah gelang

    • Peralatan utama permainan ini ialah getah gelang yang disambung hingga membentuk tali panjang. 

    • Gelang-gelang getah diikat satu persatu sehingga menghasilkan tali yang kuat dan anjal. 

    • Semakin banyak gelang digunakan, semakin panjang dan tahanlah tali getah tersebut.


    1. Kawasan lapang

    • Permainan ini biasanya dijalankan di kawasan yang luas dan rata seperti halaman rumah, padang sekolah, atau tanah lapang di kampung. 

    • Pemilihan kawasan yang selamat dan bebas daripada halangan penting untuk mengelakkan kecederaan ketika melompat.


    1. Bilangan pemain

    • Lompat getah memerlukan sekurang-kurangnya tiga orang pemain. 

    • Dua orang bertindak sebagai pemegang atau penjaga tali dengan melilitkan getah pada kaki, manakala seorang lagi menjadi pelompat. 

    • Sekiranya jumlah pemain lebih ramai, mereka boleh bergilir-gilir mengisi peranan, menjadikan permainan lebih adil.

    Kaedah / Cara Penyediaan/ Cara Persembahan

    Permainan lompat getah dimainkan secara berkumpulan dan mempunyai peraturan tertentu yang perlu dipatuhi bagi memastikan permainan berjalan dengan adil dan menyeronokkan. Berikut ialah cara dan peraturan asasnya:


    1. Persediaan permainan

    • Dua orang pemain berdiri berhadapan antara satu sama lain dengan tali getah dililitkan pada pergelangan kaki mereka dan membentuk satu ruang di tengah. 

    • Seorang lagi pemain bertindak sebagai pelompat.

    1. Urutan ketinggian tali

    • Permainan dimulakan dengan getah pada paras buku lali, kemudian dinaikkan sedikit demi sedikit ke paras betis, lutut, pinggang, dada, dan akhirnya paras bahu. 

    • Peningkatan ketinggian menjadi cabaran utama dalam menentukan ketangkasan pelompat.


    1. Corak lompatan

    • Pelompat perlu melaksanakan corak tertentu mengikut aturan kumpulan. 

    • Antara corak asas ialah (i) lompat masuk–keluar; (ii) lompat silang; (iii) lompat sebelah kaki atau (iv) lompat pusing. 

    • Setiap corak perlu dilakukan tanpa menyentuh atau menyangkut tali getah.


    1. Pertukaran giliran

    • Jika pelompat berjaya melepasi semua corak pada satu tahap ketinggian, permainan diteruskan ke tahap seterusnya. 

    • Namun, jika pelompat tersangkut atau gagal, giliran akan diberikan kepada pemain lain. 

    • Pelompat yang gagal biasanya akan berganti tempat dengan salah seorang pemegang getah.


    1. Penentuan pemenang

    • Pemenang ditentukan berdasarkan siapa yang mampu menyelesaikan semua tahap ketinggian dan corak lompatan tanpa gagal.

    • Sekiranya semua pemain tersingkir pada tahap tertentu, pemain yang bertahan paling lama dianggap sebagai pemenang.

    Tokoh dan Pencapaian

    -

    Sumber Rujukan

    Bahan Bacaan

    Anderson, T. (1944). Rope jumping. The Journal of Health and Physical Education, 15(4), 196–237. https://doi.org/10.1080/00221473.1944.10621140


    Haniemirae. (2012, May 15). Permainan lompat getah. Blogspot. https://haniemirae.blogspot.com/2012/05/permainan-lompat-getah.html


    Ibrahim, M. F., Pei, G. K., Hashim, H. A., & Hamzah, N. A. (2023). Pendekatan pengajaran teaching games for understanding melalui permainan tradisional. Penerbit Universiti Sains Malaysia.


    Majlis Daerah Kampar. (n.d.). Lompat getah. Retrieved September 5, 2025, from https://www.mdkampar.gov.my/index.php/ilham-seni/lompat-getah


    Scribd. (2015). Permainan lompat getah. Scribd. https://www.scribd.com/doc/258377012/PERMAINAN-LOMPAT-GETAH-docx


    Woodard, N. (2020). Jump rope connecting the past, present and future. International Journal of Physical Education, Fitness and Sports, 9(3), 45–52.


    Woodard, K. F., & Chen, Y. (2024). Effects of jump rope lessons on physical skills, inhibitory control, and perceived enjoyment of elementary students. Journal of Teaching in Physical Education, 1(aop), 1–10. https://doi.org/10.1123/jtpe.2023-0091

    Lokasi

    Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik
    Dapatkan Arah

    Maklumat Perhubungan JKKN Negeri

    Pegawai Kebudayaan

    Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

    atau

    Gunakan borang di bawah untuk berhubung terus dengan pihak Informan/Tokoh/Penyunting/Penyelidik. Kami akan membalas pertanyaan anda secepat mungkin!